Berita Terkini

3 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 4 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 bulan yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 bulan yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Jerangkung Dalam Almari: Sejauh Mana 'Tidak Klise' Penentu Sebuah Naskhah Cemerlang?

Penampilan Hasnul Rahmat dan Wan Hanafi Su sangat menjadi dalam naskhah ini!

Filem & TV Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 04 Aug 2022 3:55PM

Selepas Mat Kilau, Adi Putra muncul dalam filem seram, Jerangkung Dalam Almari. - Gambar ihsan produksi Jerangkung Dalam Almari

oleh

Wafa Aula

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Semenjak kejayaan filem Mat Kilau, jumlah kehadiran penonton ke panggung dilihat semakin 'menggila' sekali gus merancakkan semula industri perfileman negara yang mengalami kelesuan akibat pandemik COVID-19. 

Setelah deretan filem aksi dan komedi, Ogos nampaknya menyaksikan filem bergenre seram lebih banyak menjengah ke layar perak.

Meminjam aura pelakon utama Mat Kilau iaitu Datuk Adi Putra, naskhah Jerangkung Dalam Almari terbitan Akid Productions yang ditayangkan mulai hari ini diharap dapat memberikan magis serupa dengan filem lakonan Adi Putra sebelum ini. 

Filem arahan Shadan Hashim ini mengisahkan Fikri lakonan Datuk Adi Putra yang sering diganggu makhluk halus yang datang daripada almari pakaiannya.

Lama-kelamaan, situasi menjadi semakin buruk apabila isteri dan anaknya turut mengalami pengalaman ngeri yang sama.

Shadan Hashim
Shadan Hashim

Bagi menamatkan misteri ini, Fikri akhirnya pulang ke rumah asal mereka dan menceritakan perkara berkenaan kepada abang Ali, lakonan cemerlang Hasnul Rahmat serta Kak Itah lakonan Anne Abdullah. Maka satu persatu misteri yang dialami mereka terbongkar.

Barisan pelakon Jerangkung Dalam Almari.
Barisan pelakon Jerangkung Dalam Almari.

Berbanding cerita seram yang pernah ditayangkan di Malaysia sebelum ini, Jerangkung Dalam Almari lari daripada klise dan berdiri dengan premis seramnya sendiri tanpa mempunyai apa-apa jampi, hantu yang melekat di dinding atau terbang.

Naskhah ini menawarkan falsafah di dalam setiap penceritaannya serta objek yang ditunjukkan. 

Sepanjang anda menonton filem ini, watak-watak di dalamnya akan bercerita tentang pakaian, almari dan mengapa makhluk halus ini memilih objek-objek sebegini untuk mendekati manusia.

Baju dan almari adalah objek yang sangat dekat dan mewakili keperibadian seseorang.

Maka makhluk halus ini mengekori dan mendekati anda dengan pakaian yang anda kenakan. Ia sebuah persoalan, pemahaman serta falsafah yang menarik untuk difikirkan.

Bukan itu sahaja, filem ini juga menunjukkan bagaimana puluhan tahun pengalaman bergelar pelakon benar-benar melahirkan seorang anak seni berkualiti hebat seperti Hasnul Rahmat dan Wan Hanafi Su. 

Wan Hanafi Su
Wan Hanafi Su

Watak Ali dan Pak Hassan sangat menjadi, membuatkan penonton benar-benar membenci dan benar-benar menghakimi watak-watak yang mereka wakili.

Gandingan mereka adalah pilihan yang sangat tepat dan pujian ini harus diberikan kepada pengarah.

Walaupun Adi Putra adalah nama besar yang sedang diperkatakan dan menjadi harapan serta aset filem ini, namun penulis merasakan kehadirannya tidak begitu menonjol (walaupun dia adalah watak utama). 

Sophia Albarakbah melakonkan watak sebagai isteri Adi Putra dalam Jerangkung Dalam Almari.
Sophia Albarakbah melakonkan watak sebagai isteri Adi Putra dalam Jerangkung Dalam Almari.

Mungkin kerana keserasiannya bersama pelakon baharu iaitu Sophia Albarakbah sedikit janggal selain beberapa dialog dalam naskah ini yang kurang mengesankan.

Bukan itu sahaja, filem seram Jerangkung Dalam Almari ini juga mempunyai kelompongan seperti garapan naskahnya yang longgar.

Dari plot ke plot, ia seperti bercempera. Adegan jungkir balik yang melatari cerita ini juga dilihat tidak kemas, sedikit berterabur dan terasa seperti disumbat-sumbat. 

Kekeluargaan adalah elemen penting dan sangat menarik untuk dibawa ke dalam filem kerana sentimen ini telah membuktikan kejayaannya bahkan di dalam filem-filem besar yang lain. 

Namun begitu, untuk sebuah filem seram, acuannya mestilah sepadan dan babak kekeluargaan ini tidak bolehlah dilihat seperti menenggelamkan atau mengelabui adegan seram yang sepatutnya mendapat spotlight utama filem ini. 

Mungkin kerana masa penggambaran terhad, isu teknikal dalam filem ini gagal dinilai dengan teliti seperti babak dubbing Adi Putra yang tidak menggunakan suara pelakon asalnya. 

Bagi bahagian lain pula, skor muzik yang dipilih untuk beberapa babak kedengaran seperti iklan komersial awal tahun 2000, mengingatkannya dengan drama jam tujuh malam di kaca televisyen.

Dalam ketiga-tiga act yang dipersembahkan Jerangkung Dalam Almari, langgam ceritanya tidak lancar seperti terlalu lewah di act pertama, terlalu tergesa di act kedua serta terasa dipaksa-paksa untuk dihabiskan di act ketiga. 

Jerangkung Dalam Almari mula ditayangkan hari ini.
Jerangkung Dalam Almari mula ditayangkan hari ini.

Jerangkung Dalam Almari mungkin tidak mempunyai adegan yang klise dengan filem seram yang pernah ada. Namun begitu, ia tetap bermain dengan elemen seram yang klise iaitu santau dan sihir. 

Menjadi ‘tidak klise’ sahaja tidak cukup untuk menobatkan karya itu cemerlang. Kerana apa guna ‘tidak klise’ namun keseluruhan penyampaian penceritaannya memeningkan kepala.

Apapun, Jerangkung Dalam Almari menyimpan falsafah yang menarik untuk dinikmati bersama. Ia tetap sebuah filem yang menarik untuk ditonton hujung minggu ini. Ayuhlah ke pawagam bermula 4 Ogos ini dan sama-sama menyokong naskhah filem tempatan kita. - Getaran, 4 Ogos 2022 

*rating 2 Getar untuk filem ini.


 

Sorotan

1

Perbuatan 6 Bekas Penuntut UPNM Dera, Buli,  Melampau - Pendakwaan

2

Meta Diminta Beri Penjelasan Selepas Turunkan Posting 'Anwar-Hamas'

3

Bakal Jemaah Terkandas, Kerajaan Dan TH Cari Penyelesaian Terbaik

4

Arab Saudi Nasihat Umat Islam Tidak Terpedaya Iklan Haji Palsu Di Media Sosial

5

Terengganu Langkah Kanan, Syafiq Ahmad Jaring Gol Terpantas Di Selayang

6

25 Tahun PKR: Hayati Perjuangan, Jangan Alpa Kuasa Dimiliki - Anwar

Disyorkan untuk anda

Selebriti 20 jam yang lalu

Daiyan Trisha Batalkan Kontrak Dengan Jenama Pro Israel

oleh Wartawan Hiburan Getaran

Selebriti 1 hari yang lalu

Pempengaruh, Ceddy Ang Layak Dipuji, Tak Pernah Berhenti Menyokong Palestine

Bagi Ceddy, konflik di Palestine bukanlah semata-mata isu agama, tetapi ia adalah hal kemanusiaan. 

oleh Rahayu MN