KUALA LUMPUR - Tindakan segelintir ibu bapa melakukan prank terhadap anak-anak menggunakan audio pontianak mengilai yang tular sejak akhir-akhir ini boleh memberi kesan jangka panjang kepada emosi dan psikologi si kecil.
Pensyarah Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nazirah Hassan berkata, prank melampau boleh menyebabkan kanak-kanak menjadi penakut, terlalu sensitif, pemarah dan berdendam.
“Sekiranya si kecil yang dikenakan menunjukkan emosi tidak baik seperti kecewa, menangis dan menjerit ketakutan, maka jelas prank tersebut adalah tidak baik dan melampaui batas.
“Malah, prank seumpama ini juga mengandungi unsur keagresifan yang tidak baik untuk perkembangan kanak-kanak,” katanya kepada Getaran.

Jelas beliau lagi, bagi tempoh jangka pendek, si kecil akan berasa tidak selesa dan malu, selain rasa tidak selamat semasa bersama individu yang melakukan prank tersebut.
“Ini termasuklah perasaan tidak selamat semasa berada di rumah. Situasi seperti ini tidak sepatutnya berlaku.
“Dalam tempoh jangka masa panjang pula, situasi itu boleh menggugat hubungan, mengurangkan kepercayaan dan mewujudkan perasaan tidak berguna dan trauma kepada si kecil,” katanya.
Menurut beliau, usia kanak-kanak adalah tempoh aktif bermain, belajar, meneroka dan meniru (pembelajaran sosial).
Justeru katanya, apa yang didedahkan termasuklah dari sekecil-kecil perkara akan mengganggu perkembangan mereka, terutamanya dari aspek kognitif (pemikiran).
“Pada segelintir individu prank dianggap ‘cool’ atau ‘gurauan’, tetapi ia sebenarnya tidak baik untuk si kecil.
“Sekiranya ada ibu bapa yang terlalu ‘ghairah’ untuk melakukan prank seumpama ini, tolong jangan kongsi rakaman itu di media sosial,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Zainal Madon berkata, kesan trauma yang dialami si kecil akibat prank berbentuk menakutkan mungkin berlarutan sehingga mereka meningkat dewasa.
“Kesan trauma bergantung kepada sejauh mana pendedahan mereka terhadap situasi itu. Ada trauma berpanjangan. Kadang-kadang dia takut kepada suasana gelap atau sunyi. Rangsangan tersebut akan flash back pada diri dia sebenarnya.
“Nanti apabila dia meningkat remaja mungkin nak pergi bilik air pun susah, apatah lagi kalau tinggal di sekolah berasrama. Situasi menakutkan ini akan menjadi igauan dan sering menghantui mereka,” katanya.
Beliau berkata, lebih memburukkan keadaan, kalau masalah ini berlarutan mangsa yang dikenakan memerlukan masa untuk pulih.
“Penerimaan individu yang diprank kepada situasi ini berbeza-beza. Ada yang ok, tapi ada sesetengah individu, dia memerlukan intervensi psikologi dan kaunseling khusus untuk pulih.
“Kaedah intervensi pula mengikut tahap umur. Kadang-kadang mungkin mereka boleh lepaskan dengan cara terapi misalnya terapi ekspresif atau terapi bermain. Ada juga meluahkan apa yang terpendam di hati melalui lukisan,” katanya.
Tegasnya, rawatan seumpama ini memang diperlukan bagi membantu mereka yang terkesan pulih daripada trauma dialami akibat prank tersebut.

Dalam pada itu, laman advokasi kesihatan, Public Health Malaysia (PHM) turut menyelar trend dianggap 'sampah' tersebut.
"Ada yang ketakutan sehingga memanjat tombol pintu. Ada yang menangis berteriakan menutup telinga dan wajah. Memang trauma!
"Segalanya dilakukan demi secebis perhatian di media sosial dengan harapan video mendapat FYP dan masuk beranda, beberapa like dan follower baru,” katanya.
Susulan itu, PHM menggesa agar trend ‘kegilaan’ ibu bapa hari ini dihentikan segera kerana tidak berbaloi dengan parut emosi yang ditinggalkan terhadap si kecil.
"Tuan puan, ibu bapa merupakan individu yang paling dipercayai, paling rapat dan paling penting untuk dunia kanak kanak.
“Apabila kepercayaan ini terhakis dan luntur akibat tindakan prank sebegini, ia akan memberi kesan dari segi personaliti dan emosi anak-anak,” katanya.
Perkongsian PHM itu menjadi tular di Facebook dan meraih sehingga 10,000 share dan dibanjiri ribuan komen netizen yang kebanyakannya mengecam perbuatan tersebut.
Terdahulu, ramai ibu bapa berkongsi video melakukan prank terhadap anak kecil masing-masing dengan meninggalkan mereka terkunci di dalam bilik yang dipasang audio pontianak mengilai menerusi aplikasi TikTok.
Rakaman video turut dibuat untuk melihat reaksi si kecil dengan kebanyakannya menangis ketakutan dan berkali-kali cuba memulas tombol pintu kerana mahu keluar dari bilik.
Lebih menyedihkan, video yang tular itu dianggap melucukan dengan ramai netizen menjadikannya sebagai bahan ketawa.
Majoriti netizen turut meluahkan kekecewaan mereka dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu di media sosial.
“Generasi TikTok sebahagian besarnya layak digelar generasi b****. Dulu sebelum wujud media sosial, kalau rakam aksi sengal kita simpan untuk diri sendiri kemudian delete sebab takut video kawan-kawan tengok malu tujuh keturunan,” kata Ahmad Safwan.
“Mohon pihak berkuasa ambil hak penjagaan kanak-kanak dari ibu bapa yang gagal melindungi dan menjadi teladan baik untuk mereka. Sedih tapi benar,” kata Pbz Cool.
“Demi sebuah konten sanggup bagi anak-anak lemah semangat. Boleh trauma pada diri budak-budak. Kasihan mak bapa yang kurang kasih sayang macam ini,” kata Noor Farizan. - Getaran, 16 Ogos 2022

