KUALA LUMPUR -- Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melancarkan satu kempen nasional di bawah kerangka MADANI berkaitan keselamatan infrastruktur dan perabot jalan seperti lampu jalan serta papan tanda.
Menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kempen itu dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan ini.
Beliau berkata kempen itu juga merangkumi usaha untuk mengatasi isu utama jalan berlubang atau rosak dan yang terkait perabot jalan lain.
“Kempen memperluaskan advokasi dan kefahaman berkaitan keselamatan penyelenggaraan jalan raya ini juga diharap dapat meningkatkan keterlibatan semua pihak terutama pemain industri, agensi kerajaan, swasta dan rakyat sendiri dalam usaha menjaga jalan raya dan infrastruktur yang berkaitan.
“Saya juga mahu kempen ini berorientasikan tindakan, berlandaskan konsep actions speak louder than words… Saya sedar kewujudan kempen-kempen seumpama ini sebelum ini namun polisi yang baik akan saya teruskan dengan suntikan penambahbaikan demi kepentingan rakyat Malaysia MADANI,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Nanta berkata perincian kempen itu akan dikongsi dalam masa terdekat.
Beliau berkata isu jalan berlubang dan masalah berkaitan infrastruktur serta perabot jalan seperti lampu jalan dan papan tanda bukanlah perkara baharu di Malaysia.
“Banyak kes seperti ini berlaku sama ada di jalan persekutuan di bawah bidang kuasa KKR mahupun di jalan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Saya memahami masalah ini yang kerap dilaporkan di media massa mahupun media sosial oleh pengguna, dan dari hari pertama saya menjejakkan kaki ke KKR, inilah antara perkara yang saya tekankan kepada semua warga kementerian,” katanya.
Nanta juga berkata meskipun isu itu dipandang remeh oleh sesetengah pihak namun kementerian tidak memandang ringan kerana kesannya boleh menyebabkan kemalangan dan kematian. - BERNAMA