Baru-baru ini, OPPO Malaysia melancarkan OPPO Find X3 Pro yang merupakan telefon pintar Android pertama di dunia yang mampu menangkap, memproses dan memaparkan imej dengan satu bilion warna, dengan adanya Full-path Colour Management System OPPO.
Dalam majlis yang sama, penyanyi antarabangsa, Yuna dan penyampai berita, Owen Yap turut diumumkan sebagai ‘Finder’ yang diberi kepercayaan untuk mempromosikan kehebatan OPPO Find X3.

“Kami berbesar hati untuk mempersembahkan sesuatu yang baharu buat rakyat Malaysia untuk merakam dunia dan keindahan aslinya yang penuh dengan warna, bagi menyampaikan sebuah cerita yang lengkap dan menarik.
Tambahan pula, kami percaya warna merupakan sebuah sumber inspirasi untuk kebanyakan orang. Dengan adanya OPPO Find X3 Pro, anda adalah pengarah filem anda sendiri dan ia memberi peluang untuk anda menghasilkan filem yang kelihatan profesional, namun hasil garapan anda sendiri,” ujar Nikki Chen, Pengarah Pemasaran, OPPO Malaysia.

“Yuna sentiasa berdedikasi untuk memberi inspirasi dan sentiasa berkongsi keindahan muzik kepada dunia.
“Keghairahan Yuna dalam menukar bait-bait perkataan menjadi sebuah lagu selaras dengan apa yang ingin OPPO Find X Series sampaikan, iaitu tentang meneroka pelbagai kemungkinan dalam kehidupan harian. Kami amat gembira dengan kehadiran Yuna sebagai seorang Finder.
“Manakala Owen adalah seorang yang dikenali dalam bidang penyiaran dan sering mencari informasi baharu dalam melaksanakan tugas dan ini menjadikan dia juga sangat sesuai menjadi seorang Finder,” ulas Nikki tentang pemilihan Yuna dan Owen.

Berkongsi tentang pengalamannya menggunakan OPPO Find X3 kepada pihak media, Yuna memberitahu dia sangat menyukai teknologi Billion Color yang diperkenalkan oleh OPPO ini.
“Saya seorang yang sering mengembara, dari satu negara ke satu negara untuk membuat persembahan. Sepanjang pengembaraan, saya gemar merakam pemandangan di tempat itu dan abadikan setiap detik-detik indah itu untuk dikongsikan bersama para peminat.
“Kini dengan adanya OPPO Find X3 Pro, detik-detik yang dirakam tampil lebih jelas, terang dan kelihatan lebih asli dengan keindahan warnanya dan itu sangat menggembirakan saya sebagai seorang yang suka bermain dengan kreativiti,” ujar Yuna.
Dengan kebolehan 60x pembesaran dengan menggunakan Microlens, Find X3 Pro juga turut boleh menyerlahkan keindahan mikroskopik, memberikan perincian yang cantik.

Ditambah pula dengan kualiti rakaman video Billion Colour 4K 10-bit, para pembikin filem atau point-and-shoot atau pengguna media sosial boleh menikmati rakaman yang stabil, kaya dengan warna dan jelas.
Selain itu, Yuna juga mengakui dia kagum dengan kualiti HDR dan pembesar suara stereo yang dikuasakan oleh Dolby Atmos.
“Bukan sahaja reka bentuknya yang premium dan ciri kamera yang hebat, Find X3 Pro juga memberikan sebuah pengalaman hiburan yang sangat hebat.
“Saya boleh menonton dengan kualiti HDR dan pembesar suara stereo yang dikuasakan dengan Dolby Atmos, lengkap dengan Ambient Sound Detection, ia memberikan sebuah pengalaman unik yang tidak ada pada telefon pintar lain,” tambah Yuna.
Sama seperti Yuna, Owen Yap juga merupakan seorang pengembara. Akaun media sosial beliau dipenuhi dengan kisah-kisah pengembaraannya ke serata dunia. Ulas Owen, OPPO Find X3 Pro menepati ciri-ciri sebuah telefon pintar yang didam-idamkan selama ini.

“Tugas saya sebagai seorang penyampai berita tidak terhad kepada melaporkan berita sahaja, bahkan saya juga mencari inspirasi dalam segenap aspek kehidupan untuk dikongsi dengan pengikut-pengikut di media sosial.
“Kebolehan pada Find X3 Pro untuk merakam video yang berkualiti hebat telah melengkapkan diri saya sebagai seseorang yang gemar bercerita.”
“Apabila saya tidak keluar mengembara, saya sering menghabiskan masa saya di studio untuk bersiap sedia untuk bersiar. Prestasi Find X3 Pro sememangnya menakjubkan, dengan chipset Snapdragon 888 yang memberikan saya pengalaman yang sangat lancar.
“Bukan itu sahaja, saya boleh menjimatkan masa dengan pengecasan kilat SuperVOOC 2.0 yang membolehkan saya untuk mengecas sehingga 40 peratus dalam masa 10 minit sahaja, atau 100 peratus dalam masa 80 minit dengan pengecasan tanpa wayar 30W AirVOOC.
“Memang sangat membantu saya menjalani kehidupan harian,” ujar Owen.
Bagi yang berminat untuk mendapatkan telefon pintar keluaran terbaru OPPO ini, berikut 5 spesifikasi yang perlu tahu.

1) Paparan True Billion Colour
Saksikan keindahan dunia dalam genggaman anda, dengan paparan Billion Colour QHD+ (3216 x 1440) OLED. Sebuah skrin yang selesa, berkeluasan 6.7 inci digabungkan dengan Full-path 10-bit Colour Management System OPPO, ia menghasilkan sebuah visual yang sangat indah.
Paparan Find X3 Pro mampu memberikan 5 ~ 120Hz kadar penyegaran semula dengan adanya panel LTPO OLED yang bersifat cekap-kuasa. Visual yang dipaparkan meluncur dengan lancar, di samping menjimatkan kuasa walaupun anda sedang melancarkan permainan video, meneliti berita di akaun sosial anda atau membaca eBook anda.
2) Rekaan Space Age : Estetik Futuristik
Rekaan Find X3 Pro sangat nipis dan ringan, dengan ketebalan hanya 8.26mm dan seberat 193g, ia meluncur dengan mudah ke dalam poket dan terletak elok dalam genggaman, di samping memiliki ketahanan air IP68 dan habuk.
Find X3 Pro yang didatangkan dalam variasi warna biru (Blue) menampilkan rekaan anti-silau dan kemasan satin dwi-tona untuk sebuah penampilan indah dan menawan.
Manakala Find X3 Pro dalam variasi hitam berkilat (Glossy Black) menampilkan kilauan porselin yang memantulkan cahaya pada kemasan seakan seramik untuk sebuah telefon pintar yang tampil ‘high-end’ dan lebih mewah.

3) Bateri Tahan Lebih Lama Dengan Pengecasan Kilat
Walaupun rangkanya nipis, bateri berkuasa 4,500mAh telah dimuatkan pada Find X3 Pro ini, memberikan tahap kuasa sepanjang hari. Dengan adanya pengecasan kilat SuperVOOC 2.0, anda boleh dapatkan sehingga 40 peratus kuasa dalam masa 10 minit sahaja. Pengecasan kilat tanpa wayar 30W AirVOOC, Find X3 Pro boleh dicas penuh pada 100 peratus dalam masa 80 minit sahaja.
4) ColorOS 11.2: Melancarkan Rutin Kehidupan Anda
Antaramuka ‘human-centric’ OPPO, ColorOS 11.2, menggabungkan sistem operasi Google, Android 11 untuk memberikan pengalaman hebat dan ciri keselamatan melangkaui kelasnya, tetapi masih mengekalkan akses penuh untuk lebih tiga juta aplikasi Google Play Store.
Dengan ciri keselamatan terbaru Android 11 dan ColorOS 11.2, Find X3 Pro memberikan pengguna kawalan untuk melindungi maklumat anda dan apabila anda ingin mengasingkan kerja dan perkara peribadi, System Cloner boleh menghasilkan dua sistem berbeza dalam satu telefon pintar.

5) Penggunaan ‘Human-Centric’
OPPO dengan bangganya bekerjasama dengan Hans Zimmer bagi menghasilkan deringan dan notifikasi eksklusif Find X3 Pro. Dengan lebih 200 projek, Hans Zimmer telah berjaya merangkul anugerah dari Academy Award®, dua Golden Globes®, tiga Grammys®, American Music Award dan Tony® Award – jadi bersiap sedia untuk sebuah pengalaman bunyian yang terindah dalam hidup anda.
Kekurangan warna visual menjejaskan satu daripada 12 lelaki, dan satu daripada 200 wanita. Dengan adanya Colour Vision Enhancement sebagai sebahagian daripada ColorOS 11.2, OPPO telah menjalankan sebuah versi Munsell 100 Hue Test yang lebih komprehensif, dengan menghasilkan 765 kalibrasi skrin yang warnanya disesuaikan untuk kesihatan mata pengguna Find X3 Pro. - Getaran, 31 Mac 2021
Semua gambar: OPPO Malaysia