Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Kisah Dongeng Nyata Che Puan Juliana Evans

Disiram kilauan bintang dunia hiburan sedari usia belasan tahun dan kini bergelar suri hati kepada seorang putera tampan dan bonda seorang puteri jelita, Che Puan Juliana Evans berkongsi kisah dongeng modennya.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 21 Aug 2021 9:00AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

I’m still the same Jue lah,” seloroh Che Puan Juliana Evans selaku mukadimah wawancara kami petang itu.

Dia berkata sedemikian selepas kami bergurau sambil bertanya panggilan apa yang harus digunakan kala berbicara dengannya.

Ini kerana, sejujurnya saya dan rakan-rakan kerja tidak mahu tersalah sebut atau dianggap kurang sopan jika tidak memanggilnya dengan gelaran khas yang diraih selepas menjadi suri hati Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah yang merupakan seorang anggota kerabat diraja Selangor – Johor.

Maklumlah, kami sudah lama tidak bersua muka dan bertegur sapa sejak pandemik COVID-19 melanda.

Ya, empat tahun lalu pelakon dan pengacara jelita yang bernama Juliana Sophie binti Johari Evans ini menjadi isteri yang sah kepada seorang kerabat diraja. Dan sejak itu hidupnya berubah.

Seperti kisah dongeng, dia dialu-alukan selayaknya seorang tuan puteri ke dalam sebuah keluarga yang baru dengan tatacara yang mungkin sedikit berbeza dengan gaya hidupnya sebelum ini.

Namun apa yang pasti, dirinya bahagia sejak bergelar isteri. Malah, kini dia sudahpun berperanan sebagai bonda kepada seorang puteri yang bernama Tengku Kamiliah binti Tengku Shariffuddin Shah, yang baru sahaja menginjak usia dua tahun pada tanggal 12 Julai yang lalu.

Oleh kerana itu juga kami sebenarnya tidak sangka yang dia akan menerima pelawaan untuk menjadi wajah TARA dan menghadiri sesi fotografi gara-gara kesibukannya mengurus rumah tangga.

Your past covers are beautiful. Sebab itu saya terima undangan TARA,” dia memuji sebelum menyambung bicara. 

“Tapi memang betul, hidup saya sekarang memang dah berubah. Semua yang saya ingin lakukan bergantung kepada jadual anak saya. Saya harus pastikan yang dia sudah tidur, kemudian barulah saya boleh lakukan apa yang saya rancang.

Ini termasuk mesyuarat lewat panggilan video di komputer, rakaman video untuk projek media sosial yang membabitkan jenama pelanggan atau mungkin aktiviti peribadi saya sendiri. Semuanya berpaksikan jadual anak saya,” tambahnya lagi sambil tersenyum.

Meskipun begitu, dirinya yang lebih mesra disapa Jue, sebenarnya masih aktif bekerja di bidang hiburan.

“Saya tak tahu kenapa ramai orang menyangka sejak saya berkahwin, saya sudah tidak aktif lagi di bidang ini. This has always been my passion. Saya memang mencintai apa yang saya lakukan. 

“Sebab itu kalau saya tiba di set, masih ramai yang bertanya. Jue masih berlakon atau mengacara lagi? Dan saya pasti menjawab, kenapa tidak?” jelasnya menjawab kemusykilan ramai pihak.

Buat yang mengikuti perkembangannya, mungkin sedia maklum bahawa Jue sempat mengacara sebuah program bual-bicara berkenaan kesihatan yang bernama 'Hey Doc' di Unifi TV. Dan dia juga sempat menjayakan filem Bella dan Jamie bersama Liyana Jasmay beberapa tahun sebelum ini.

“Sebenarnya saya ada banyak projek yang sudah selesai penggambaran cuma belum ditayangkan. Ini termasuk beberapa telemovie. Salah satunya bernama Dukun Diva yang masih menunggu tayangan. 

“Saya sebenarnya bernasib baik kerana sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan secara berperingkat, saya sempat menyiapkan kesemua projek penggambaran yang membabitkan diri saya. Jadi tiada projek saya yang tergendala. Alhamdulillah,” jelas bekas mahasiswa bidang perfileman dari Western Michigan University ini tentang perkembangan terbaharunya di bidang hiburan.

Memang terbukti, Jue gembira yang dia tidak tersangkut dalam mana-mana penggambaran yang belum selesai.

“Satu lagi sebab kenapa saya bersyukur adalah kerana saya sedar akan usia dan kemampuan saya sekarang.

“Dulu di usia yang jauh lebih muda saya boleh menjalani penggambaran berjam-jam. Berseronok pun sama. Menghadiri festival muzik selama tiga hari berturut-turut langsung tak jadi masalah.

“Sekarang tidak sama sekali! Kini apa-apa penggambaran yang memakan masa lebih daripada 12 jam sahaja sudah sangat memenatkan. Jadi sekarang saya ambil projek hanya kalau ada waktu terluang. Sebab memang minat. Tapi saya juga lebih memilih.

“Maklumlah, saya mula mengacara dan berlakon dari usia belasan tahun. Waktu itu saya ikut sahaja apa kehendak penerbitan. Saya tiada pengurus, ibu saya juga tidak ikut sama ke set penggambaran. Semua saya buat sendiri. Saya lakukan demi membantu keluarga dan diri sendiri. 

I paid for my education. Sampai ke Amerika Syarikat. Dan semuanya saya rasa kini sangat berbaloi. Semua sudah puas saya cuba dan lalui. Lantas sekarang sebagai seorang yang sudah dewasa, sudah tentu saya lebih memilih dan berhati-hati kala bekerja untuk sesuatu projek.

“Saya sudah tahu cara untuk menolak atau mengatakan tidak. Saya tidak perlu setuju dengan semua permintaan kerana saya bukan si gadis remaja itu lagi,” ujarnya panjang lebar.

Dan petang itu memang terserlah pengalaman yang dipunyai Juliana Evans. Kerdipan lampu kamera sesuatu yang biasa dia pantulkan. Biarpun sudah bergelar ibu, dia masih memancarkan aura seorang bintang. Cantik sudah pasti, namun kelincahan bergaya depan lensa juga tidak perlu diragui.

Menggayakan sebuah gaun merah menyala berserta padanan topi dan tas tangan dari Coach di samping koleksi aksesori Jevans miliknya sendiri, dia nyata berada dalam satu zon yang tidak asing baginya.

Setiap tangkapan gambar yang diabadikan oleh jurukamera kami, Sadiq tidak mengecewakan.

Namun di sebalik rona solekan Jib Salim yang merias wajah cantiknya, Jue ada memendam sesuatu.

“Sebenarnya bila menghadiri sesi fotografi ini mengingatkan saya pada dunia masa kini. Iaitu dunia media sosial. Kadang saya masih tertanya-tanya adakah semua orang bulat-bulat mempercayai apa yang terpampang di media sosial?

“Masyarakat harus sedar bahawa semua orang hanya akan berkongsi apa yang ingin mereka tunjukkan pada dunia luar. 

“Saya sendiri salah seorang daripada ribuan personaliti media sosial yang termasuk dalam kategori tersebut. Saya hanya akan tunjukkan apa yang saya mahu. Tak mungkin saya ingin menunjukkan sisi buruk saya di media sosial.

“Ramai yang sering memuji tika melihat hantaran saya di media sosial dengan mengatakan kulit saya cantik, saya kelihatan segar, langsing, tiada lingkaran gelap di bawah mata dan macam-macam lagi.

“Tapi jujur saya katakan, saya juga menggunakan filter atau aplikasi tertentu. Saya tak perlu berbohong kerana ramai orang melakukan perkara yang sama. Cuma tidaklah berlebihan.

“Apalagi kami para selebriti yang sentiasa ada rasa tekanan untuk wajib tampil sempurna di mata umum. Memang tidak mudah dan kesan khas atau aplikasi tapisan wajahlah cara paling cepat untuk kelihatan hebat di media sosial,” akunya lagi.

Jue mengaku bahawa media sosial hari ini kadang menjadi satu ruang toksik. Dalam ramai menggunakannya untuk tujuan positif, ramai juga yang menyalahgunakannya.

“Saya sendiri tidak setuju dengan tindakan orang yang menunjuk-nunjuk di media sosial. Apatah lagi dalam era pandemik ini.

“Ramai yang sedang menghadapi pelbagai masalah dan kekurangan dalam hidup, tapi ada sahaja mereka yang ‘privileged’ dan tidak sensitif, menayang kebenaran untuk rentas negeri atau negara, kemudian sempat bercuti. 

“Seperti sengaja memerangkap diri sendiri. Bila dikecam di media sosial melenting dan marah orang lain. Kenapa perlu lakukan semua itu?

“Kalau berpeluang merentas negeri di tengah pandemik dan sebagainya jangan salah gunakan. Dan tak perlulah menunjuk. Simpan sahaja kenangan itu sendiri,” tambahnya lagi.  

Selain itu Jue juga memberitahu, sebagai seorang selebriti, dia punya tanggungjawab besar dalam mengendalikan media sosialnya.

“Kami sering dibayar dan diamanahkan untuk mempromosi pelbagai produk di media sosial. Namun tidak semuanya baik.

“Terus terang saya katakan, kadang ada produk yang saya pernah cuba dan tidak mujarab atau menyebabkan ketidakselesaan. Jadi saya tak akan promosikan.

“Betul semua orang nak cantik. Tapi ingatlah tak semua benda yang menggunakan jalan pintas dan cepat itu baik dan selamat. Dari kecil kita diajar semua yang baik perlukan usaha. Jadi, be realistic.

“Saya juga tidak suka dengan setengah produk kecantikan yang seolah-olah hendak menyampaikan mesej bahawa orang yang berkulit hitam tidak cantik. Mesej apa yang sedang kita cuba sampaikan dengan iklan sedemikian?

“Pesan saya, sayangkan diri sendiri. Utamakan kesihatan. Dan yang paling penting jangan percayakan media sosial sepenuhnya.

“Kadang mematikan media sosial untuk satu tempoh tertentu sangat menenangkan. Saya pernah lakukannya sewaktu pergi bercuti. Dan saya rasa bebas, tenang dan sama sekali tidak tertekan atau terganggu. Once in a while you need that digital detox,”sambungnya penuh tegas.

Sungguhpun begitu Jue menyedari bahawa media sosial adalah sesuatu yang tak dapat dielakkan dan sudah menjadi alat pemasaran wajib masa kini. 

“Seperti saya katakan, bukan tak guna 100%, tapi berpada-pada. Bersederhana. Mungkin semasa saya bermula dahulu media sosial tiada, jadi saya tak perlu fikirkan semua itu.

"Sekarang jenama pelanggan ada banyak permintaan dan saya harus akur dan cepat belajar. Tapi setakat itu sahaja saya gunakannya dan tidak berlebihan.

“Banyak lagi benda yang sudah saya kecapi tapi saya tak perlu kongsi di media sosial.

“Jadi saya harap semua orang akan mengingati bahawa social media does not define you at all. Ia mungkin intaian ke dalam hidup seseorang tapi tidak mungkin 100 %,” terang Jue lagi.

Selain menyimpan cita-cita untuk terus memajukan perniagaan jenama aksesorinya Jevans, dia juga merencana hasrat untuk menerbit di masa terdekat.

“Saya pelajar filem. Saya juga pelakon dan pengacara. Saya suka menyunting video sendiri dan setelah lama berada di depan layar, saya memang ingin berada di balik tabir, menerbit dan mengarah. Insyaa Allah semua ini ada dalam perancangan.

"Biarpun sepanjang bergelar anak seni ada yang mungkin mengkritik dan mengatakan saya tak pernah menang anugerah dan sebagainya, saya tidak kisah. Saya gembira dengan pilihan yang telah saya buat kerana ia telah membawa saya ke titik ini dalam kehidupan.

"Jadi saya bersyukur. Dan tiap kali saya rasa hilang semangat dan insecure, ya saya juga kadang rasa kurang yakin seperti semua manusia lain, saya dengar semula lagu-lagu lama zaman saya muda gembira dahulu. Then when I remember that was my jam, semangat saya kembali pulih dan semua menjadi OK semula.

"Saya sarankan anda mencubanya juga,” kata Jue menutup bicara sambil tersenyum. - Getaran, 21 Ogos 2021

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Che Puan Juliana Evans

Pengarang Urusan : M. Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras & Teks : Shah Shamshiri  

Suntingan Teks: Ili Farhana 

Penata Gaya : Arie Sampornak

Busana, Topi dan Tas Tangan : Coach

Aksesori : Jevans by Juliana Evans

Tali Pinggang : Milik Penata Gaya 

Solekan & Dandanan : Jib Salim

Jurugambar dan Suntingan Gambar : Sadiq Asyraf

Juruvideo : Syeda Imran

Penyunting Video : Muharram Kasim

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi :  Petra News, Bangsar

Isu Pada

Kisah Dongeng Nyata Che Puan Juliana Evans

21 Aug 2021

Berita Berkaitan

1

Seni & Hiburan 1 minggu yang lalu

"Saya Dah Jumpa Pilihan Yang Paling Tepat, Ibu Saya Sayang Dan Anggap Dia Seperti Anak" - Zul Ariffin

2

Selebriti 1 minggu yang lalu

Datuk Red Sedang Usaha Untuk Langsaikan Hutang Sebanyak RM7 Juta, Akui Pernah Jadi ‘Scammer’

3

Selebriti 1 minggu yang lalu

Muatnaik Foto Raya Bersama, Netizen 'Approved' Syed Saddiq Dan Bella Astillah

4

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

Sorotan

1

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

2

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

3

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

4

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu

5

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

6

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

7

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu