Berita Terkini

15 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


Selepas Ditinggalkan Pinewood, Bagaimana Nasib Iskandar Studio Malaysia?

Besar harapan banyak pihak, terutama sekali industri perfileman Malaysia dengan pembukaan studio canggih Iskandar Malaysia Studio. Tetapi apakah nasibnya sekarang selepas ditinggalkan Pinewood Studio?

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 08 Aug 2021 3:17PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sepuluh tahun lalu, industri perfileman di Malaysia dimegahkan dengan berita yang mencanangkan Malaysia akhirnya berjaya mempunyai studio perfileman serba canggih. 

Ia diuar-uarkan sebagai studio paling moden di Asia Pasifik. Studio yang dibina di negara ini katanya mampu menjadi kebanggaan industri sinema, khususnya Malaysia yang dijoloki bakal menjadi hab baharu industri perfileman di rantau ini.

Dengan penyertaan Pinewood Studio, organisasi studio filem dari Britain, yang menjalin pakatan strategik dengan Iskandar Malaysia Studio, studio canggih itu siap pada tahun 2013 dalam wilayah pelaburan Johor, Iskandar Malaysia.

Ia dinamakan Pinewood Iskandar Malaysia Studio (PIMS) dan mula beroperasi pada tahun 2014.

Untuk rekod, nama Iskandar Malaysia Studio diberikan bersempena kawasan pelaburan tapak dibinanya studio itu di wilayah baharu ekonomi yang dirancang di Johor sehingga tahun 2025 dengan komitmen pelaburan sekitar AS$40.5 bilion pada ketika itu. 

Pinewood Group adalah konglomerat perfileman terkenal di Britain yang wujud sejak lebih 85 tahun dan dikenali ramai menerusi jenamanya sebagai pengeluar filem siri cereka, James Bond dan Harry Potter.

Kompleks studio perfileman itu terletak di atas tanah seluas 20 hektar yang kos pembinaannya bernilai AS$170 juta (RM730 juta).

Studio itu milik syarikat pelaburan Malaysia, Khazanah Nasional Berhad. Ia diramalkan oleh pengurusannya boleh menyumbang kepada ekonomi Malaysia dalam tempoh tujuh atau lapan tahun akan datang yakni pada tahun 2020 dengan anggaran pendapatan AS$560 juta (RM2.3 bilion) setahun.

Sekali gus, mereka turut mensasarkan 10,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dalam tempoh itu, iaitu sekitar 1,700 pekerjaaan setiap tahun bermula 2014.

Film Stage 1 di Iskandar Malaysia Studio
Film Stage 1 di Iskandar Malaysia Studio

Lebih menakjubkan, ketika itu pengurusan studio berkenaan merancang menjadikan hab perfileman baharu di Malaysia itu sebagai destinasi baharu produksi filem dari seluruh dunia, khususnya rantau Asia dan Eropah. 

Selain bermodalkan kewujudan studio canggih itu, insentif yang diberikan adalah tawaran harga sewaan lebih murah berbanding studio filem di negara lain di Asia, tenaga kerja berbaloi, cuaca baik sepanjang tahun serta pemulangan rebat kos penggambaran sebanyak 30 peratus menerusi Insentif Penggambaran Filem di Malaysia (FIMI) yang disediakan FINAS untuk produksi asing bermula tahun 2013.

Masa itu semuanya membayangkan keindahan.

Ramai mengandaikan kehebatan bahawa PIMS bakal memberi nafas baharu untuk industri sinema Malaysia. Dan, tentulah ia dilihat sebagai sesuatu yang ideal dan akan turut membuka banyak peluang pekerjaan untuk anak tempatan, termasuk warga industri kandungan kreatif di negara ini.

Ramai warga filem mula mengorak senyum dan menaruh harapan besar terhadap pembinaannya.

Bermula 2014, PIMS digunakan. Datanglah produksi Hollywood untuk siapkan sambungan siri TV terbitannya berjudul ‘Marco Polo.’

Semasa penggambaran program bersiri untuk tayangan Netflix itu, ‘Marco Polo’ dikhabarkan mampu memberi peluang pekerjaan kepada kira-kira 500 petugas produksi tetapi ia bukan hanya kru dari Malaysia sebaliknya petugas dari 18 negara lain diambil bekerja dalam set siri terbitan Weinstein Company dari Amerika Syarikat itu. 

Masa itu, ramai kru tempatan dan asing berkumpul di PIMS. Suasananya meriah, liputan media diberikan secara meluas kerana kos penerbitan Marco Polo di PIMS dianggarkan menelan belanja besar. Itu baru satu projek. 

Masa itu jugalah, pengurusan PIMS mula yakin studio itu akan menjanjikan sesuatu yang besar untuk masa akan datang kerana ketika itu peluang pekerjaan terbuka dengan meluas, termasuk penyediaan khidmat dalam sektor pengangkutan, katering dan logistik.

Film Stage 5 di Iskandar Malaysia Studio
Film Stage 5 di Iskandar Malaysia Studio

Pada tempoh itu, saya sempat bertemu seorang pengarah dalam PEMANDU, unit pengurusan dan prestasi di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek ialah Pengarah National Key Economic Areas (NKEA) dalam PEMANDU untuk Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur (CCI). 

Beliau begitu positif kewujudan Pinewood Iskandar Malaysia Studio menjanjikan satu skop ekonomi yang bakal menjana pendapatan besar.

Beliau memberi beberapa harapan dengan berhujah PIMS akan menjadi lubuk baharu aktiviti ekonomi dan secara tidak langsung merancakkan industri kandungan kreatif dan komunikasi untuk masa mendatang.

Beliau begitu teruja membayangkan masa depan cerah dalam perkembangan ekonomi dengan adanya banyak ruang pekerjaan dan aktiviti yang boleh menjana pendapatan untuk rakyat Malaysia, khususnya industri hiliran berdasarkan ketika itu produksi ‘Marco Polo’ rancak membuat penggambaran yang menyaksikan lebih 500 petugas bekerja dalam produksi itu di studio berkenaan.

Kemudian, dilaporkan ada beberapa lagi produksi menjalankan penggambaran dalam studio berkenaan seperti program TV, ‘The Voice’ dan ‘Asia’s Got Talent’ serta beberapa produksi berbahasa Mandarin.

Dalam pertemuan itu, saya berhujah dengan Dr. Fadhlullah Suhaimi bahawa PIMS memang boleh merangsang ekonomi jika studio canggih itu konsisten menjadi pilihan ramai produser dari luar negara, tetapi tidak membantu tahap mutu filem negara kita. 

Ini kerana anak tempatan dalam bidang pengarahan filem atau karyawan baharu akan semakin sukar mendapat peluang berkarya kerana projek itu bertumpu untuk ruang pekerjaan produksi luar sebagai kru semata-mata, selain rakyat tempatan hanya menjadi penyedia perkhidmatan katering, pengangkutan mahupun perniagaan hiliran saja.

“Saya rasa lebih baik dalam masa sama, disediakan modal dan mengambil pengarah filem tempatan yang dibiayai PIMS untuk mereka berkarya dan memanfaatkan studio canggih yang kita ada ini supaya Malaysia juga boleh menghasilkan filem bermutu tinggi dari aspek teknikal,” kata penulis kepadanya. 

Namun, jawapan daripada Dr. Fadhlullah Suhaimi mengecewakan penulis dengan mengatakan pihaknya “memfokuskan peluang pekerjaan sebanyak mungkin untuk rakyat, bukan untuk bantu buat filem.”

'Deep water tank' di Iskandar Malaysia Studio
'Deep water tank' di Iskandar Malaysia Studio

Beberapa tahun selepas itu, mula kedengaran rungutan syarikat produksi tempatan yang tidak mampu menyewa atau menggunakan khidmat studio canggih di PIMS berikutan ia dikatakan sangat mahal sewaannya, tidak berbaloi dengan jumlah bajet produksi filem atau siri TV tempatan yang biasanya hanya menyediakan peruntukan kecil. 

Sebab itu, PIMS dilihat gagal dimanfaatkan oleh syarikat tempatan kerana masalah kos penyewaan studio yang mahal dan dalam erti kata lain, jika mahu menggunakan studio canggih di PIMS, mereka harus ada bajet besar untuk produksi mereka. 

Dalam tempoh lima tahun, tidak banyak penggambaran dibuat di PIMS. Tidak banyak pula produksi luar yang datang menggunakan PIMS seperti diramalkan sebelumnya.

Malah, ada produksi luar negara lebih suka menggunakan set semula jadi di negeri tertentu dalam Malaysia tanpa menggunakan kemudahan studio serba canggih seperti ditawarkan di PIMS. 

Pada September 2019, secara ironinya produksi dari Hollywood, Edge of the World memilih persekitaran hutan di Sarawak bagi menyiapkan filem epik mengisahkan kehidupan James Brooke serta masyarakat peribumi di negeri itu berlatarkan tahun 1839.

Langsung mereka tidak menggunakan studio di PIMS. Pascapenerbitannya juga hanya menggunakan studio biasa di Kuala Lumpur, bukan PIMS.

Begitu juga khabarnya selepas itu dilaporkan syarikat filem, Bruce Lee Film Company memilih Pulau Pinang untuk lokasi penggambaran Little Dragon, filem biopik mengenai Bruce Lee. 

Ruang kerja pascapenerbitan di Iskandar Malaysia Studio
Ruang kerja pascapenerbitan di Iskandar Malaysia Studio

Pada masa sama, sejak wujudnya PIMS, langsung tidak ada lagi mana-mana syarikat filem cereka tempatan yang berani atau sanggup menggunakan khidmat di studio itu.

Sayangnya juga, tidak ada filem tempatan bermutu tinggi setaraf Hollywood meskipun kemudahan dan kelengkapan yang ada di Malaysia seperti PIMS adalah secanggih studio Hollywood.

Pada 2019, dilaporkan Pinewood Studio meninggalkan PIMS kerana sudah habis tempoh kerjasama strategiknya yang dijanjikan untuk tempoh 10 tahun, iaitu bermula perancangan pembinaan, rundingan dan pelan pemasaran untuk PIMS sejak 2009 lagi.

Pemergian Pinewood Studio menjadikan PIMS selepas itu cuma dikenali dengan nama Iskandar Malaysia Studio. 

Kini, kita tidak tahu apa produksi dari Eropah mahupun dari negara luar lain yang menggunakan khidmat Iskandar Malaysia Studio.

Tidak ada berita melaporkan ada produksi luar negara berbelanja berjuta-juta ringgit untuk menyewa di studio berkenaan, apatah lagi sudah setahun lebih negara kita turut dibadai pandemik wabak COVID-19, sekali gus memburukkan lagi situasi hingga menjadikan studio canggih milik negara ini tidak ada penyewa.

Kita khuatir kelak studio serba canggih dan mempunyai peralatan serba moden di Iskandar Malaysia Studio akan menjadi projek gajah putih.

Sasaran kononnya dapat membuka peluang 10,000 pekerjaan termasuk untuk kru tempatan nampaknya tidak menjadi kenyataan. Lebih malang, kru tempatan sekarang merungut mereka tidak ada pekerjaaan gara-gara akibat pandemik. 

TV Studio 2 di Iskandar Studio Malaysia
TV Studio 2 di Iskandar Studio Malaysia

Sasaran menjadikan ia pusat ekonomi bertunjangkan industri kreatif dengan anggaran RM2.3 bilion setahun nampaknya tidak tercapai. Iskandar Malaysia Studio mungkin kini berada dalam keadaan sukar dimanfaatkan mengikut perancangan asalnya.

Tidak mustahil, jika keadaan ini terus berlaku, jika tiada lagi produksi yang berminat menggunakan khidmat di studio itu bagi tempoh lama, berkemungkinan Iskandar Malaysia Studio akan ditutup.

Apakah nasibnya kelak menjadi malang seperti mana nasib pembinaan perkampungan filem E-Village di Dengkil, Selangor pada tahun 1999 dulu?

Jika dibandingkan, E-Village bukan lagi berstatus projek gajah putih, sebaliknya sudah jadi 'bangkai gajah'.

Mengimbau semula kebanggaan Kerajaan Persekutuan masa itu merancang pembinaaan studio filem berteknologi tinggi, E-Village membuatkan ramai yang berasa kagum, teruja dan gembira.

Malah, malam pelancaran rasmi projek E-Village suatu ketika dulu menyaksikan bintang filem terkenal antarabangsa, Jackie Chan turut hadir dan dijemput naik ke pentas utama dalam suasana gah dan penuh gemilang. 

Kesudahannya, projek E-Village yang dirancang menerusi agenda Super Koridor Multimedia (MSC) akhirnya menjadi pusara tanpa nisan.

Semoga Iskandar Malaysia Studio tidak mengalami nasib malang seumpama itu. - Getaran, 8 Ogos 2021

Semua gambar: Laman Web Iskandar Studio Malaysia

Isu Pada

Aisyah Aziz Singkap Rahsia

07 Aug 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Tiada Kompromi Untuk Pihak Sengaja Cetuskan Isu 3R - Menteri

2

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

3

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

4

Semasa 3 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

Sorotan

1

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

2

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

3

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut