web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 7 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Hikmah Hijrah, Belum Cuba Belum Tahu

Dalam hidup, adakala kita perlu berani membuat penghijrahan. Keluar dari zon selesa dan percaya bahawa rencana Allah adalah yang terbaik bagi setiap hamba-Nya.

TARA Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 07 Aug 2021 8:59AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Melakukan perubahan dalam hidup bukan perkara enteng. Apatah lagi hal yang sudah sebati dengan diri bertahun lamanya. Cabaran paling besar adalah memulakan langkah pertama dalam membuat sesuatu keputusan. 

Penulis masih ingat, saat mahu melangkah keluar dari Shah Alam pada April lepas. Kedengaran biasa, jujurnya perkara itu banyak buat diri berperang dengan emosi dan menuntut kekuatan yang bukan sedikit agar berfikiran positif serta akur pada hakikat.

Sehinggakan penulis menyalahkan diri kerana alpa serta tidak membuat persediaan awal dan akhirnya perlu keluar dari daerah yang sudah sebati di hati sejak empat dekad lalu. 

Sejak dilahirkan di setinggan Kampung Lembah Bena, Batu Tiga di Shah Alam (sudah berganti pembangunan baharu) sehingga menyambut usia 40 tahun Mac lalu, Shah Alam menjadi cinta pertama yang sukar untuk dilepaskan.

Tidak pernah terlintas langsung di fikiran penulis akan keluar dari sini dan memulakan hidup baru di daerah lain. Sebelum ini, penulis yakin dan selesa untuk terus setia menjalani kehidupan di bandaraya Anggerik. 

Tidak boleh larut dengan lara hati, keputusan dibuat dan syukur kerana Maha Esa permudahkan urusan. Selepas perbincangan bersama adik-beradik serta mendapat restu emak (menetap dengan penulis) penghijrahan ke daerah lain berjalan lancar.

Benar, di halaman baharu banyak peluang hadir. Perasaan sukar dan risau perlahan-lahan menjauh pergi. Meskipun masih berharap dan berusaha untuk kembali ke ibu negeri Selangor itu, rutin hidup di daerah baru semakin serasi dengan diri.

Rencana Allah itu terbaik. Suasana tempat baru ini lebih selesa dan kemeriahan hidup bersama keluarga semakin bermakna. Paling seronok, penulis dapat menatap wajah cucu saudara setiap hari tanpa perlu membuat panggilan video.

Episod perpindahan ini bukan yang pertama dalam hidup. Sebelum ini penulis pernah buat keputusan besar apabila meninggalkan syarikat lama untuk ke organisasi baharu setelah 10 tahun berkhidmat. 

Semestinya ia bukan keputusan yang mudah. Dengan sokongan sahabat baik ketika itu, kaki terus melangkah. Sesungguhnya, memang benar hikmah hadir bersama.

Kerjaya penulis berkembang dan mendapat peluang lebih besar sehingga mampu menjejakkan kaki ke bumi Eropah yang tidak pernah terlintas di fikiran.

Dalam hidup, adakala kita perlu berani membuat penghijrahan. Keluar dari zon selesa dan percaya bahawa rencana Allah adalah yang terbaik bagi setiap hamba-Nya.

Sebenarnya, apalah sangat hijrah penulis jika dibandingkan dengan peristiwa perpindahan Nabi Muhammad SAW dari kota Makkah ke Kota Madinah. Tidak bernisbah meski sebesar hama.

Namun, semangat itulah yang penulis pegang dalam membuat keputusan membabitkan perubahan dalam hidup. Kata orang, belum cuba belum tahu! - Getaran, 7 Ogos 2021

Semua gambar hiasan dari Pexels (Cottonbro dan Jukan Tateisi)
 

Isu Pada

Aisyah Aziz Singkap Rahsia

07 Aug 2021

Sorotan

1

Notis Pemakluman Rasmi Pembubaran DUN Negeri Sembilan Diserahkan Hari Ini

2

Pemimpin Adat Dilarang Masuk Ke Majlis DKU, Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin Dilanda Kekecohan

3

Nahas Simpang Renggam: Suspek Disiasat Kerana Membunuh

4

Jentera PH Untuk PRN Johor Dilancar Esok

5

DAP Tangguh Persidangan Kebangsaan, Pertahan Semua Kerusi Penyandang Di Johor Negeri Sembilan

6

DUN Negeri Sembilan Bubar Hari Ini