Berita Terkini

17 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Aisyah Aziz Singkap Rahsia

Istimewa sempena Hari Kebangsaan Singapura yang bakal tiba, kami tampilkan bintang tersohor kelahiran Kota Singa, Aisyah Aziz sebagai wajah TARA minggu ini. Yuk, singkap rahsia di sebalik kehidupan dan kerjayanya.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 07 Aug 2021 9:00AM

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Pandemik tolonglah pergi jauh-jauh. Kehadiranmu tidak pernah diundang. Banyak urusan menjadi rumit. Ini tak boleh, itu tak boleh. Ini tugasan kedua yang memerlukan saya menemubual penghias muka hadapan TARA secara maya. 

Menjengkelkan! Memang benar dunia tanpa sempadan ini memungkinkan segalanya. Walau di mana jua kita berada, pertemuan di dalam talian boleh diatur. Tapi percayalah kemesraannya tidak sama dengan pertemuan empat mata.

Lebih-lebih lagi jika insan yang ingin diungkap kisahnya itu tidak pernah ditemui sebelum ini. Tambah gusar, saya tidak pernah bertemu dengan Nur Aishah binti Aziz, penyanyi yang bintangnya mula bersinar setelah terlibat dengan program Akademi Fantasia musim ke-10 pada 2013.

Namun, tanggungjawab harus digalas. Selain mengintai ke akaun media sosial penyanyi yang senang dikenali sebagai Aisyah Aziz ini, saya juga buat sedikit kajian tentang perkembangan kariernya. Tidak banyak berita tentang Aisyah semenjak pandemik COVID-19 bermula tahun lalu. 

Bagi yang masih samar-samar tentang siapa gerangan Aisyah ini, dengan senang hati saya perkenalkan dia kepada anda. Aisyah merupakan adik kepada penyanyi dan pelakon Aliff Aziz. Biarpun tanah tumpah darahnya di Singapura, namun kerjaya seninya berputik di Malaysia. 

Lagu debut nyanyiannya, ‘Mimpi’ dihasilkan oleh penyanyi dan komposer tersohor Faizal Tahir dan Omar K. Jangan tak tahu, dia juga pernah merangkul beberapa anugerah di Anugerah Planet Muzik (APM). Antara trofi yang dijulang ialah Kolaborasi Terbaik APM 2014 dan Lagu Terbaik Singapura, APM 2017.

Seperti yang dijanjikan, Rabu lalu, tepat jam 11.30 pagi kami akhirnya bersua buat julung-julung kalinya di platform digital Google Meet untuk berkongsi cerita.

Tampil santai, Aisyah menyapa mesra. Saya menghela nafas lega kerana sebelum ini termakan jua dengan cakap-cakap belakang yang mendakwa Aishah sukar didekati. Betullah pepatah Melayu yang mengatakan, tak kenal, maka tak cinta. 

 

Bergelut dengan emosi

Banyak yang kami bicara hari itu, daripada perkembangan terkini hinggalah ke kisah peribadi. Aisyah nampaknya sangat terbuka. Beberapa kali juga dia memberitahu yang dia sebenarnya sangat teruja untuk berbual-bual dengan teman media dari Malaysia.

Sesekali kedengaran Aisyah menghela nafas lega. Tingkahnya ini sebenarnya membuat hati saya terdetik dengan persoalan – ‘adakah Aishah okey, atau dia sebenarnya sedang melalui saat-saat sukar?’ 

Tapi pertanyaan ini tidak terus dilontarkan. Terlajak kata nanti buruk padahnya. Namun 10 minit terakhir temu bual ini merungkai segalanya. Usikan saya tentang jambangan bunga yang diterima baru-baru ini membuatkan Aisyah membuka cerita.

Ternyata Aishah sebenarnya sedang bergelut dengan kesihatan mental. Patutlah dari awal lagi dia beberapa kali memberitahu yang dia kini sedang belajar mencintai diri sendiri. Waktu pandemik diguna sebaik mungkin untuk merawat diri, dia mahu menjadi diri sendiri.

“Bagaimana harus saya terangkan? Saya sejak dulu tidak suka bercerita tentang hal-hal peribadi, terutamanya kisah cinta. Saya seorang introvert, jadi saya lebih suka simpan semuanya sendiri. Tetapi tidak mengapalah, rasanya saya memang perlukan seseorang untuk bercerita ketika ini,” ujar Aisyah dengan nada perlahan.  

“Saya baru sahaja putuskan hubungan cinta saya dengan seseorang beberapa bulan lalu. Saya tinggalkan sebuah perhubungan yang sudah terjalin selama lima tahun.

“Bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya harus lakukan demi sebuah kehidupan yang lebih baik. Saya sedari saya tidak gembira sepanjang tempoh perhubungan kami.

“Saya tidak menjadi diri sendiri. Susah sebenarnya hendak jelaskan. Ia berselirat. Saya rasa kami dari dua dunia yang berbeza. Sudah terlalu lama saya memendam rasa.

“Dalam diam ia memakan diri. Lima tahun bukanlah satu tempoh yang pendek. Jadi for a long time, I was killing myself. Saya lambat menyedari hal ini sedangkan tanda-tandanya sudah ada sejak beberapa tahun lalu.

“Mungkin kerana saya terlalu mencuba untuk menggembirakan orang lain sehingga saya lupa untuk senangkan hati sendiri,” luah Aishah yang jelas menahan sebak. 

Melihat keadaan Aisyah, saya beri dia ruang untuk bertenang seketika. Saya tidak mahu memberi tekanan kerana saya tahu, walaupun dia sedia membuka mulut, tapi dia juga sebenarnya sedang mengumpul kekuatan untuk bangkit semula. 

“Walaupun perpisahan ini adalah jalan terbaik untuk kami berdua, tapi ia meninggalkan parut yang cukup dalam. Sebabnya, rasa sayang itu masih berbaki.

“Sejak beberapa bulan yang lalu, saya cukup tertekan. Saya tiba-tiba rasa kosong. Saya mula berfikir perkara-perkara yang tidak baik tentang diri sendiri. Bila terlalu banyak berfikir, saya mula diserang anxiety disorder dan depression. The struggle is real.

“Saya tak boleh hadapi perkara ini sendiri dan akhirnya saya buat keputusan untuk dapatkan bantuan profesional. Sebabnya, perasaan yang saya alami ini sebenarnya sudah berlanjutan lebih lebih dari dua tahun. Ketika saya berada dalam sebuah perhubungan yang tidak menggembirakan,” sambung Aisyah menyusun kata satu demi satu.

Tidak terhenti di situ, Aisyah terus berkongsi tentang rawatan yang sedang diikuti. Menurut penyanyi yang popular dengan lagu ‘Bila Entah’ ini, dia mahu mereka yang berhadapan isu kesihatan mental mendapatkan rawatan segera. 

“Berjumpa pakar psikiatri bukan bermakna kita gila atau tidak siuman, tetapi ia perlu supaya keadaan tidak bertambah rumit.

“Saya masih dalam rawatan dan terapi ini sangat membantu. Sepanjang tempoh terapi dua jam itu saya boleh luahkan semua perkara yang bermain di fikiran dan hasilnya cukup menakjubkan. Lega dan saya mula yakin dengan diri sendiri.

“Kalau dulu saya selalu rasa gelisah, tak boleh tidur dan tidak bersemangat, sekarang masalah ini sedikit demi sedikit semakin hilang. Paling penting, saya mula mencintai diri sendiri,” ulas Aisyah yang percaya hubungan terdahulu adalah pencetus kepada kecelaruan emosi dan fikirannya. 

 

Buah tangan terbaru hasil nukilan sendiri

Cukup-cukuplah menyingkap kisah duka. Lumrah kehidupan, dalam duka pasti ada sukanya. Begitulah kisahnya dengan Aisyah, biarpun hatinya tidak menguntum senyum, namun sepanjang tempoh pandemik ini dia perlahan-lahan menemui ketenangan. 

“Saya banyak buat aktiviti fizikal. Yoga, meditasi. Lama-lama saya dapat idea untuk menulis lagu dan saya juga sudah mula melukis. Saya tak pernah pun melukis sebelum ini, tapi bila sudah terlalu lama di rumah, saya cuba aktiviti ini dan ia menyeronokkan. 

“Sebelum pandemik, saya banyak fikir apa yang orang nak, lebih fikirkan kehendak orang lain, daripada kehendak diri sendiri.

“Bila lockdown, barulah saya mula terfikir untuk buat sesuatu untuk diri sendiri. Ini adalah masa untuk buat apa sahaja yang saya mahukan.

“Apa pun yang saya lakukan, tiada yang melihat, tiada yang kisah. It’s so cool for me and I can be more creative without the need to impress people

“Saya anggap pandemik ini adalah waktu untuk saya bertenang. Artistically, it has brought in a new perspective for me. Saya jadi lebih berani.

“Waktu inilah saya mampu menulis lebih banyak lagu. Padahal sebelum ini tidak pernah terfikir tentang itu. Other than that, memang banyak yang bermain di fikiran.

“Saya harap sangat keadaan kembali pulih supaya saya boleh kembali ke Malaysia untuk buat persembahan seperti dulu,” ujar Aisyah panjang lebar. 

Diam-diam Aisyah rupa-rupanya baru sahaja selesai merakam album piring hitam yang memuatkan 12 buah lagu Inggeris.

Album yang dirakam sepenuhnya di Kota Singa itu adalah projek istimewa bersama kenalan rapat dalam industri muzik. Ketika ramai melupakan piring hitam, gadis berbintang Gemini ini melakukannya.  

“Ikut perancangan, album ini akan dilancarkan pada September hadapan. Ini adalah special project di mana ia memuatkan lagu-lagu popular berbahasa Inggeris yang dirakam semula.

“Rakaman sudah selesai dan kini pihak penerbit sedang mencetaknya. Walaupun album piring hitam ini tidak memuatkan lagu-lagu saya sendiri, tetapi ia sesuatu yang menyeronokkan.

“Saya percaya mereka yang mendengar album piring hitam akan suka dengan album ini. Sebabnya seleksi lagu juga sangat meluas. Ada lagu dari Prince, Sade, Billie Eilish, Radiohead dan ramai lagi.

“Rakaman dibuat secara live dan saya sememangnya teruja dengan kemunculan album ini,” ujar Aisyah. 

Dalam masa yang sama, Aisyah juga sedang giat untuk menerbitkan EP yang kedua. Malah, dia juga mengharapkan album ini boleh dilancarkan pada bulan yang sama.

Kongsi Aisyah, album itu bakal memuatkan lima buah lagu kesemuanya dan ia ‘dikerjakan’ dengan teman-teman rapat, memandangkan dia kini tidak lagi bersama Rocketfuel Entertainment.

“Saya bekerja dengan kawan-kawan kali ini. Jadi sudah tentu hasilnya tidak sama seperti lagu-lagu ketika saya bersama syarikat rakaman. Album ini akan menjadi lain daripada yang lain, tambahan pula ia memuatkan lagu-lagu yang saya tulis sendiri.

“Ada lagu Inggeris, Melayu dan campur-campur. Konsep album masih pop tapi ada sentuhan funk and quite deep. Sekarang dah 60 peratus siap.

Mudah-mudahan saya mampu siapkan ikut jadual. If not in September, perhaps by end of this year,” ulas Aisyah yang sebelum ini pernah hadir dengan album EP Inggeris, The Live Extended Play yang dirakam secara langsung dengan band pengiring. Ia mengandungi lima lagu - 'Sugar', 'Escape', 'Love Like This', 'Chasing Destruction' dan 'Tame Me.'

Semoga bintang Aisyah terus bersinar dan kami di Malaysia akan terus menanti buah tangan terbaharunya selepas ini - Getaran, 7 Ogos 2021

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Aisyah Aziz

Pengarang Urusan : M. Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri  & Aisyah Aziz

Teks : Rahayu MN

Suntingan Teks: Ili Farhana

Penata Gaya : Putri Adif

Busana : Denise

Solekan & Dandanan : Jane Lau

Jurugambar : Erwinshah Hastings

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi :  Singapura

Isu Pada

Aisyah Aziz Singkap Rahsia

07 Aug 2021

Sorotan

1

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

2

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

3

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

4

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara

5

Tragedi Helikopter: Kerajaan Perak Akan Bincang Bentuk Bantuan Kepada Waris

6

Prestasi Malaysia Dalam Laporan Amnesty International Buruk

7

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan