Berita Terkini

1 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Nurul Shamsul - Citra Perempuan Melawan

Jauh dari New Zealand, kami bawakan bekas finalis ratu cantik New Zealand, Nurul Shamsul untuk menjerkah stigma tidak masuk akal yang selalu dilemparkan kepada perempuan.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 26 Jun 2021 9:00AM

oleh

Wafa Aula

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Jika difikirkan semula, setiap kali berada dalam situasi yang serba terbatas, kita secara tidak langsung akan mencari cara lain yang boleh menghadirkan lebih banyak pilihan. Ruang fikir kita terbuka. Kita mula menyanggah zon selesa. 

Itulah yang saya rasakan semasa menulis tentang wajah TARA kali ini ketika arahan Perintah Kawalan Pergerakan dikeluarkan. 

Jika dulu saya menulis secara intim lewat pertemuan empat mata dengan para selebriti yang tinggal di Malaysia. Namun siapa sangka, semakin terhad ruang bergerak yang saya miliki, semakin jauh rupanya saya merantau mencari cerita dari benua yang tidak pernah saya jejaki.

Saya berusaha semampu mungkin menghadiahkan dua perkara indah kepada anda sepanjang artikel ini. 

Pertama, nikmatilah gambar-gambar yang melatari artikel ini. Ia dipotret secara eksklusif dari Hamilton Gardens, New Zealand di tengah jatuhan warna-warni dedaun musim luruh, hanya untuk anda. 

Kedua, sudah semestinya kita akan menyelongkar lebih dalam dan tajam keindahan dunia fikir bintang TARA minggu ini iaitu bekas finalis pertandingan ratu cantik Miss Universe New Zealand, Nurul Zuriantie Binti Shamsul, atau lebih dikenali sebagai Nurul Shamsul.

Perbezaan zon masa Malaysia dan New Zealand tidaklah begitu ketara. Saya teruja melihat wajah Nurul muncul di skrin dengan senyuman lebar semasa temu ramah atas talian. Saya berdoa senyap-senyap agar jaringan internet saya akan baik-baik sahaja. Ternyata nasib menyebelahi saya. 

Cadangnya, saya hanya mahu mengambil masa Nurul setengah jam sahaja namun entah kenapa tiba-tiba perbualan kami menjadi semakin rancak. 

Kami seperti dua sahabat  yang bertemu setelah lama terpisah. Bermacam hal kami bualkan hingga terbawa ke jam berikutnya. Nurul bijak membuat orang berasa senang dengannya, sungguh luar biasa.

 

Perempuan Tidak Sekadar Tentang Rupa Paras

Walaupun sudah tiga tahun meninggalkan pentas Miss Universe New Zealand, namun gelaran itu sudah menjadi sebahagian daripada identiti Nurul. Dia baru berusia 20 tahun sewaktu memilih ke pentas Ratu Cantik. 

Percaturannya bernas. Kehadirannya dalam pertandingan bertaraf dunia itu membuatkan ramai pihak tersentak. Dia mendapat sorotan media kerana keberaniannya menjenamakan semula kecantikan dalam kelas yang tersendiri. 

Di sana, dia tidak hanya mewakili dirinya namun turut membawa nama Malaysia juga identitinya sebagai gadis berhijab. Nurul adalah suara kelompok minoriti di New Zealand.

Bayangkan, ketika begitu pentingnya sosok Nurul di Miss Universe New Zealand dinilai oleh para juri. Warganet lain pula ceritanya. Nurul dikritik dan dikatakan ’biasa je’ memandangkan parasnya yang dikatakan tidak seperti kebanyakan model atau ratu cantik yang lain.

Namun Nurul berasakan ‘biasa je’ adalah penghormatan terbesar buat dirinya. Ia menunjukkan bahawa kecantikan juga wujud dalam diri orang-orang ‘biasa je’ seperti kebanyakan kita. Mengapa kalau bercakap tentang perempuan, perkara yang dinilai hanya tentang rupa parasnya?

“Inilah yang menyebabkan saya memulakan projek Beyond Beauty bagi memecahkan stereotaip terhadap perempuan. Sebagai peserta pertandingan ratu cantik, saya rasa bertanggungjawab untuk mendidik masyarakat agar melihat wanita lebih dari sekadar kecantikan rupa paras.

“Banyak kualiti yang ada pada diri seorang perempuan tanpa mengira siapa dan dari mana mereka berasal.

“Melalui Beyond Beauty, saya inginkan wanita lebih mencintai diri mereka sendiri dan tampil lebih yakin dalam mengejar cita-cita mereka tanpa mengira batasan.

“Ramai dalam kalangan kita yang susah nak yakin diri. Bila buat silap, kita rasa dunia kita seperti sudah berakhir. Belajarlah mencintai setiap sisi diri kita. Setiap wanita adalah unik dan mempunyai kelebihan tersendiri. Perbezaan ini sebenarnya sangat indah,” katanya.

Perbualan kami kemudian menyentuh naratif penghakiman yang tidak adil dalam masyarakat bila bercakap tentang perempuan. Perempuan harus begitu dan begini. Anak perempuan harus bangun seawal ini. Kalau jadi isteri tidak boleh terlalu hebat dari suami. Jika memberi pendapat dianggap beremosi. 

“Banyak senario yang selalu menyalahkan wanita terutamanya dalam kes gangguan seksual. Wanita disalahkan kerana cara berpakaian. Sedangkan yang memulakan jenayah itu ialah lelaki.”

“Lebih parah, terdapat juga para wanita yang menyokong idea berat sebelah ini walaupun mereka golongan terpelajar bergelar sarjana dan profesor. 

“Sedih memikirkan ada wanita yang menjatuhkan wanita lain dan bukannya memperkasakan. Jangan rendahkan diri kita untuk sesiapa atau apa-apapun.

“Berpeganglah kepada nilai dan prinsip  sebab ini adalah kehidupan kita. Kita ada sekali sahaja masa untuk hidup jadi maknakanlah ia segila mungkin,” katanya membara sebelum jeda. 

 

The Next Jacinda Ardern?

Perdana Menteri termuda New Zealand adalah seorang perempuan iaitu Jacinda Ardern yang dianggap memiliki corak kepemimpinan terbaik di dunia hari ini. 

“Dulu ada debat dalam kalangan warganegara ini yang tidak bersetuju Jacinda sebagai Perdana Menteri kerana beliau akan mengandung kemudian bersalin. Ini pasti akan memberi kesan kepada cara beliau bekerja. Namun lihatlah semua tanggapan itu salah sama sekali. Beliau membuktikan sebaliknya. 

“Beliau menunjukkan sisi lain kepemimpinan seorang perempuan. Lihatlah bagaimana beliau peduli tentang orang lain dan sangat fokus mencari jalan menyelesaikan masalah dan bukannya menyalahkan.

“Jacinda Ardern adalah bukti bergerak bahawa perempuan sebenarnya sedang melakukan sesuatu,” jelasnya.

“Jadi bagaimana perasaan apabila figura penting kepemimpinan dunia menulis nama Nurul di buku biografinya?” tanya saya. Ketawa Nurul pecah kemudian tersipu. 

“Saya sebenarnya tak tahu beliau ada menyebut tentang saya. Kawan saya yang maklumkan kepada saya. Itupun selepas dua tahun buku itu diterbitkan.” 

Rupa-rupanya Nurul dan Jacinda pernah bertemu beberapa kali dan berkongsi banyak persamaan. Kedua-duanya datang dari pekan dan kolej yang sama. Mereka juga pernah menyumbang tenaga melakukan aktiviti kesukarelawanan di Amnesty International.

“Sewaktu berumur 18 tahun, cikgu saya pernah berseloroh menyatakan saya akan menjadi the next Jacinda Ardern,” ceritanya yang membesar di New Zealand sejak berumur 5 tahun lagi.

“Mungkin awak berbakat menjadi Perdana Menteri?” usik saya

“Oh tidak,” seraya dia berkata dan kami berdua ketawa.

 

Perempuan Dan Kerja Melawan Sumpahan

Setiap perempuan tidak wajar merasakan hidup mereka seperti sumpahan. Kita berhak berasa selamat, dihargai, diberikan peluang untuk menunjukkan kebolehan diri tanpa dianggap sebagai pencabar kepada lelaki.

Nurul Shamsul mempunyai tekad dan perjuangan lebih besar selepas keluar dari Miss Universe New Zealand tiga tahun lalu. Langkahnya tidak pernah berhenti sejak itu.

Dia berhasrat untuk bekerjasama dalam penggubalan polisi yang akan memberi fokus kepada pemerkasaan wanita. Maka sebab itulah dia gigih menyambung pelajaran sarjana dalam bidang psikologi dengan pengkhususan kepada polisi awam. 

“Selalu ada ruang istimewa dalam hati saya setiap kali bercakap tentang wanita dan kanak-kanak. Saya rasa polisi sosial mengenai kesihatan dan kehidupan golongan ini perlu diperjuangkan. Dua tahun awal pertumbuhan kanak-kanak sangat penting. 

“Saya mahu wujudkan polisi yang boleh menjamin dua tahun awal anak-anak ini agar sentiasa terjaga seperti mendapatkan nutrisi yang cukup dan perhatian daripada ibu bapa. Hancur hati saya bila  tahu kanak-kanak ini tidak mendapat nutrisi pemakanan yang cukup. 

“Sokongan kepada ibu bapa juga perlu dititikberatkan. Jika ibu bapa menghadapi masalah, sudah tentu anak-anak mereka akan terjejas. Alangkah baiknya kalau kita boleh pecahkan kitaran tidak sihat ini,” kata Nurul yang pernah bekerja sementara di Institut Wanita Budaya. 

 

Ingin Pulang

Wabak menghambat banyak perkara. Dalam keadaan yang sukar ini, Nurul mengingatkan semua betapa pentingnya untuk kita merenung diri dan mensyukuri apa yang kita miliki hari ini.

Walau jauh menetap di negara asing, Nurul turut cakna dan berduka dengan situasi getir yang dihadapi Malaysia hari ini.

“Mungkin ramai yang merasakan pada umur tertentu kita sudah mempunyai kerja yang stabil atau berkahwin. Tapi keadaan begitu sukar hari ini dan kebanyakan kita tidak pun memiliki semua itu.

“Media sosial membuatkan kita membanding-banding hidup dengan orang lain. Tak mengapa, kerana hakikatnya kita semua sedang belajar menjadi versi terbaik diri kita sendiri,” katanya sebelum menutup temu ramah.

Nurul menyimpan hasrat besar untuk kembali ke Malaysia dan berbakti di tanah tumpah darahnya ini setelah pandemik mereda.

Dengan kecerdikan, keberanian serta empati yang ada pada gadis muda ini, ia menyedarkan semua bahawa inilah definisi sebenarnya kecantikan seorang ratu yang sudah pasti negara akan menyambut kehadirannya nanti dengan tangan terbuka. -  Getaran, 26 Jun 2021.

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Nurul Shamsul

Pengarang Urusan : M. Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri  & Nurul Shamsul

Teks : Wafa Awla

Suntingan : Shah Shamshiri

Pakaian : RUBY New Zealand (Baju), Lizza Creations (Tudung)

Solekan : Gagan Chohan dari Pink Lotus Bridal Make-up & Hair

Jurugambar : Tayla Dunnett dari Auaha Photography

Juruvideo  : Antonia Carter dari Antonia Creative

Suntingan Video : Muharram Kasim

Rekaletak : Hanif Zahari

Lokasi :  Hamilton Gardens, New Zealand

























 

Isu Pada

Nurul Shamsul - Citra Perempuan Melawan

26 Jun 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 minggu yang lalu

Jenazah Allahyarham Megat Ashman Aqif Dikebumi Di Christchurch Esok

2

Semasa 2 minggu yang lalu

2 Pelajar Malaysia Maut Dalam Kemalangan Di Tasik Tekapo, New Zealand

3

Semasa 5 bulan yang lalu

'Pelamin Anganku Musnah', Pengantin Perempuan ‘Lesap’ Dengan Wang Hantaran

4

Luar Negara 7 bulan yang lalu

New Zealand Kuat Kuasa Peraturan Baharu Bagi Kawal Penggunaan Vape

Sorotan

1

32 Keluarga Dipindahkan Selepas Banjir Lahar Sejuk Landa Jawa Timur, Indonesia

2

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Dijangka Beroperasi Semula Dalam Tempoh 24 Jam

3

PRK DUN Kuala Kubu Baharu: Calon Atas Nama Kerajaan Perpaduan, Bukan Parti - Zamry

4

JS-SEZ, SFZ Mampu Pacu Ekonomi Johor Atasi Negeri Lain – PM

5

Peluang PN Menang Di KKB Lebih Besar Kalau Calon Melayu - Sanusi

6

MCMC Ambil Keterangan Chegubard, Salim Iskandar Dan Papagomo

7

Tun Musa Teguh Dengan Prinsip, Integriti – PM