Berita Terkini

2 jam yang lalu: PM Ismail Sabri dijadual rasmi Hawana 2022 di Melaka Ahad ini 3 jam yang lalu: Malaysia, Jepun muktamadkan tiga MoC di Tokyo 3 jam yang lalu: Filipina: Pengembara ambil dos penggalak tidak perlu jalani saringan COVID-19 3 jam yang lalu: Negara Asia Pasifik sahkan Deklarasi Bangkok 3 jam yang lalu: Hap Seng catat untung bersih RM156.30 Juta pada suku pertama

IKUTI KAMI


YHB Sleepsalot Mencari Suara Sendiri

Muda dan dahagakan kejayaan. TARA minggu ini berkenalan dengan permata hip hop terbaharu Singapura, YHB Sleepsalot yang bakal memberikan impak dalam dunia muzik rantau ini.

TARA Dikemaskini 10 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 19 Jun 2021 9:00AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

“Sara, minggu depan awak akan tulis cover story untuk TARA dan akan temu ramah YHB Sleepsalot. Oh ya, dia adalah selebriti Singapura pertama untuk wajah TARA tau, jangan stres.”

Demikian kata editor saya lewat panggilan telefon. Ketika itu, saya berasa kecut perut, mana tidaknya saya masih baru dalam dunia penulisan kreatif. 

Namun, memikirkan peluang yang mungkin datang sekali dalam seumur hidup untuk menemu ramah seorang bintang Singapura seintim ini, saya bertekad menyahut cabaran ini.

Semasa melakukan bacaan lanjut mengenai artis berbakat ini, saya mendapat tahu yang rupa-rupanya dia adalah peminat Justin Bieber, sama seperti saya. Jadi, saya putuskan suasana temu ramah ini akan menjadi akrab memandangkan kami Beliebers sejati! 

YHB Sleepsalot adalah bakat baharu yang sedang bersinar dalam industri hiburan Singapura. Suaranya yang unik dan diskografi yang serba boleh telah mencuri perhatian Def Jam South East Asia untuk menawarkan kontrak rakaman kepadanya pada tahun 2020.

Sebenarnya, untuk ditawarkan bernaung oleh mana-mana label rakaman seawal usia ini adalah satu keajaiban, lebih-lebih lagi oleh Def Jam Recordings yang terkenal sebagai syarikat rakaman gergasi. 

Semasa temu ramah ini dijalankan secara maya,  YHB dan saya telah berkongsi banyak topik termasuklah kekaguman kami terhadap 'Justin Bieber' dan bagaimana rancangan Tuhan selalu datang kepadanya dalam saat yang tidak disangka-sangka. Kami berdua bergelak ketawa sepanjang sesi ini. 

“Cuba ceritakan siapakah YHB yang sebenar dan bagaimanakah perjalanan muzik anda bermula?” saya memulakan pertanyaan.

“Kalau orang lain dengar nama saya sekali imbas, mungkin kedengaran seperti golongan kerabat diraja. Tapi sebenarnya itu singkatan nama penuh saya yang tidak boleh saya dedahkan.

“Saya meminati muzik sejak kecil lagi kerana terikut-ikut dengan ibu bapa saya yang meminati pelbagai genre muzik. Justeru itu, pengaruh muzik mereka yang pelbagai ini telah menambahkan lagi minat saya terhadap dunia muzik dengan lebih mendalam.

“Pertama kali saya cuba bernyanyi di depan awam adalah ketika saya menyertai pertunjukan bakat sekolah pada usia 13 tahun dan saya menyanyikan lagu ‘Baby’ oleh Justin Bieber. Meskipun tersingkir pada pusingan awal, ia sama sekali tidak mematahkan semangat saya,” jelasnya membuka bicara.

Ternyata sejak di usia muda lagi, dia sudah tahu akan cita-citanya untuk bergelar penghibur. 

“Ini kerana, saya tahu bahawa saya ditakdirkan untuk berada dalam industri ini tanpa mempedulikan berapa banyak kegagalan yang harus saya hadapi.

“Saya mengakui kemunculan saya ke dalam dunia seni banyak terpengaruh dengan Justin Bieber. Sejak itu saya sering mengimpikan untuk bergelar sebagai seorang penghibur sama sepertinya.

“Perjalanan saya dalam dunia hip hop dan rap pula bermula ketika mendengar lagu Eminem dan tertarik dengan nilai penceritaan di sebaliknya. Lantas sepanjang persekolahan, saya mula menulis lagu dan akhirnya merakamkan satu kompilasi muzik pada usia 17 tahun. 

“Saya juga mempunyai kelebihan bercakap dengan laju yang memudahkan saya bernyanyi rap. Semasa membesar, saya selalu dimarahi kerana bercakap terlalu banyak dan laju. Tidak tahu pula ia akan menjadi sangat berguna dalam kerjaya saya hari ini,” selorohnya lagi. 

Namun saya tertanya pula bagaimana proses penulisan lagu untuk seseorang semuda usianya. Adakah sama seperti orang lain? 

“Sejujurnya, penciptaan lagu tidak susah buat saya. Saya hanya perlu fokus kepada jenis mesej yang ingin saya sampaikan. Maklumlah saya jenis orang yang mudah hilang fokus. Selalunya, saya akan menulis muzik ketika saya berasa bosan kerana keadaan itu membuatkan saya lebih kreatif.

“Kalau bercerita tentang ilham pula, ia boleh datang pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira tempat. Jadi saya akan tulis semua ilham itu di dalam buku nota kecil. Jika saya mahu melengkapkan lagu, saya akan rujuk semula buku catatan itu,” jelasnya lagi. 

Menurutnya, untuk setakat ini jangka masa yang paling lama diambil untuk menyiapkan lagu adalah 30 minit hingga satu jam. Manakala masa yang paling pendek adalah 15 minit, iaitu semasa dia menulis lagu bersama Sona One. 

Sungguhpun begitu, seperti ramai penghibur yang baru mula melangkah ke dalam industri, YHB mengaku dia sebenarnya seorang yang pemalu pada awal pembabitan. 

“Sejujurnya, saya seorang yang sangat malu berhadapan dengan kamera dan orang ramai. Banyak kali juga saya terfikir bahawa saya akan kejung di atas pentas, tapi mujurlah ia belum pernah terjadi lagi. 

“Setakat ini saya seronok membuat persembahan sehingga menyebabkan rasa gugup hilang. Malah saya juga mempunyai seseorang yang saya minati dan sering memberi inspirasi kepada kerjaya saya. 

“Jadi, apabila peminat datang dan memberitahu bahawa mereka terinspirasi dengan muzik yang saya bawakan, sudah tentu ia sangat menyentuh hati saya. Kadangkala saya tidak tahu macam mana nak beri reaksi tapi wajah akan terus bertukar merah,” ulasnya lanjut. 

YHB mengakui yang dia sendiri tidak pernah menyangka bakatnya dapat dihidu seawal usia 16 tahun. 

“Kadangkala saya berasa situasi saya sama seperti Justin Bieber dan Usher. Saya berasa sangat bertuah kerana bakat saya tika berusia 16 tahun dicungkil oleh dua figura terbesar dunia hip hop serantau iaitu Alyph dan SonaOne.

“Semuanya bermula ketika sedutan rakaman ringkas lagu ‘Karabujan’ dihasilkan. Ia telah mencuri perhatian Alyph dan juga SonaOne melalui media sosial. Ketika itulah Def Jam Asia Tenggara memberikan saya peluang dengan menjadikan saya salah seorang artis rakaman mereka,” ceritanya teruja. 

Terbaharu YHB kini muncul dengan lagu yang berjudul ‘Jatuh Boi.’ Malah ia juga dihasilkan dengan sebuah klip video yang menarik.

“Asalnya saya dan dua produser berbual di dalam lif. Tiba-tiba kami merasakan perbualan itu boleh bertukar menjadi lagu. Kami akhirnya menulis dan menghasilkan lagu tersebut dalam tempoh kurang daripada 48 jam,” katanya tentang asal-usul lagu tersebut.

Dirinya turut menambah mengenai penggambaran video muzik pula, terdapat babak hujan dan kilat. Ini kerana semasa dia merakam lagu ini, keadaan cuaca sedang hujan lebat ditambah dengan ribut petir yang sangat kuat. Maka, dia berfikir untuk memasukkan elemen ini dalam video muziknya.

“Saya benar-benar ingin menyampaikan mesej yang positif kepada pendengar. Lagu ini dihasilkan dengan kolaborasi pelbagai pihak. Jadi saya sangat berharap saya mampu menyampaikan semangat kerjasama kami menghasilkan lagu ini kepada pendengar,” jelasnya panjang lebar.

Dan dalam keadaan lockdown di negaranya YHB masih mampu berkarya.

“Sepanjang tahun lalu, saya sebenarnya berkeras kepada diri saya sendiri. Setiap kali saya menulis lagu, saya pasti akan mencari suatu untuk dikritik. 

“Semasa mendengar kembali lagu-lagu lama, saya boleh tahu yang saya sedang cuba meniru muzik orang lain. Hinggalah pada satu hari, saya bermain beats secara rawak dan kebetulan menjumpai satu note yang saya cari selama ini. Ia asli dan saya tidak cuba meniru sesiapa.

“Selepas itu saya mula menyukai lagu saya dan ia terserlah dalam semua karya saya,” katanya lagi.

Menyimpan hasrat untuk membawa muziknya ke peringkat antarabangsa YHB sudah bersedia untuk muncul di gelanggang seni persembahan global.

Kini dia ingin mencari suaranya sendiri dalam hip hop dan mencipta sesuatu yang benar-benar baharu. 

“Saya mahu terus berusaha mencari suara saya sendiri untuk membawa hip hop lebih jauh lagi. Saya ingin membuktikan bahawa saya serba boleh dan selesa bereksperimen dengan apa jua rentak yang diberikan walau dengan rentak Trap sekali pun. 

“Ia tidak menjadi masalah buat diri saya. Saya menyimpan impian mahu berkolaborasi dengan The Weeknd dan Alyph satu hari nanti kerana mereka mempunyai suara yang unik dan sesuai dengan nada saya,” bingkasnya menutup bicara.

Kami yakin YHB Sleepsalot bakal menjadi satu jenama hip hop yang akan disegani di rantau ini dalam masa terdekat. - Getaran, 19 Jun 2021.

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : YHB Sleepsalot

Pengarang Urusan : M. Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri  

Teks : Sara Mack Lubis

Suntingan : Ili Farhana & Shah Shamshiri

Pakaian : Milik Artis

Solekan dan Dandanan : Sha Shamsi

Jurugambar : Hans Goh

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi :  JC Studio, Singapura

Terima Kasih Cik Anne Mukhtar, Def Jam Southeast Asia dan Universal Music Malaysia.


 

Isu Pada

YHB Sleepsalot Mencari Suara Sendiri

19 Jun 2021

Sorotan

1

“Saya Jaga Yasin Semasa Episod Bipolar Itu” - Faizal Tahir 

2

Kanak-Kanak Umur 1 Tahun 4 Bulan Maut Dilanggar Bas Sekolah

3

Zuraida Patut Lepaskan Kerusi Parlimen Ampang Juga - Fahmi Fadzil