Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Kemilau Bintang Wany Hasrita

Kehadirannya disambut baik industri hiburan tempatan dan kini namanya sebaris artis-artis terbesar tanah air. Kami dekati Wany Hasrita untuk mengetahui rahsia di balik kecekalannya.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 15 May 2021 9:40AM

Gambar: Mohd. Azim Abd. Rahman

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Melihat kepada perjalanan seni gadis penuh santun dan manis ini, dia boleh dikatakan cukup bertuah. Kehadirannya dalam dunia hiburan tanah air disambut baik oleh peminat muzik tempatan.

Lebih membanggakan, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan ini dilihat bijak menyusun langkah sehingga akhirnya dia disayangi ramai sekali gus meraih populariti dalam waktu yang singkat. 

Kemilau bintang pemilik nama Nurshazwany Hasrita Hasbullah atau nama pentasnya, Wany Hasrita  membuatkan ramai yang terpesona, ramai yang mengejar dan sudah semestinya ramai yang menjadikan dia sebagai idola. 

Buktinya, ketika dia sedang bertatih meneroka dunia hiburan yang bukan kepalang saingannya ini, Wany dijulang sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 pada 2018.

Hanya dua tahun masa diperlukan oleh Wany untuk mengecap kejayaan manis yang menjadi buruan ramai selebriti di luar sana. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah kisah bukan angan yang dilalui oleh Wany.

Kini penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu ‘Menahan Rindu’ ini sudah boleh tersenyum bangga. Keputusannya menandatangani kontrak sebagai artis rakaman sudah memekarkan satu demi satu kuntuman indah sepanjang lima tahun bergelar insan seni.

Sebagai penghias muka hadapan sisipan TARA minggu ini, sudah semestinya Wany tidak boleh lari daripada ditebak dengan persoalan bagaimana dia mencorakkan perjalanan kariernya? Apa pendekatan yang diambil untuk memastikan kontroversi bukanlah ‘makanan’ untuknya meraih populariti?

“Sejujurnya, Wany bukanlah terlalu berjaga-jaga, tapi this is who I am. Wany menjadi diri sendiri. Wany percaya pembawakan diri tu yang ‘menjaga’ atau menjauhkan diri Wany daripada isu-isu yang tidak diingini. Contoh, Wany lebih suka mengambil pendekatan berdiam diri jika ada isu yang sedang hangat diperkatakan.”

“Sebabnya walau apa pun yang kita suarakan, tidak semua orang akan puas hati dengan jawapan kita. Mereka akan terus buat interpretasi sendiri. At the end of the day, berdiam diri adalah yang terbaik.

“Biar perkara itu berlalu atau terhenti di situ sahaja, tidak perlu panjang-panjangkan,” ujar Wany yang begitu teruja apabila wajahnya mendapat sentuhan jurusolek tersohor Datin Saidatulnisa Aminuddin pada sesi fotografi tempoh hari. 

Jelas Wany lagi, kehidupan sebagai insan seni bukanlah semuanya indah seperti selalu yang dibayangkan oleh orang awam, ada jua sisi pahit yang harus ditelan. Ada benarnya kenyataan Wany ini kerana hakikatnya golongan selebriti tidak boleh menjalani kehidupan seperti orang lain. 

“Sama ada suka atau tidak, banyak yang perlu dikorbankan. Kehidupan sosial Wany tidak sama seperti sebelum bergelar penyanyi dahulu. Kalau dulu, bolehlah cari masa untuk ‘me time’, jalan sorang-sorang, shopping sorang-sorang dan makan sendiri-sendiri, kini semua itu sudah tidak boleh dilakukan. 

“Itulah yang Wany terpaksa korbankan. Bila ramai yang sudah mengenali, Wany perlu berhati-hati demi keselamatan diri. Sebabnya di luar sana itu, ada bermacam-macam jenis manusia. Sekarang kalau mahu ke mana-mana, mesti ditemani oleh pengurus atau Wany bawa ibu sekali,” ujar Wany.

Dalam masa yang sama, Wany juga percaya gaya pergaulannya juga memainkan peranan. Itulah sebab dia sangat berhati-hati dalam memilih kawan. Bukan berhidung tinggi, tetapi dia selesa dengan cara itu kerana sejak dari kecil dia banyak berkongsi masa dengan ibunya, Norita Jaafar.

“Mungkin kerana Wany anak tunggal. Jadi, Wany sudah biasa berada di dalam circle yang kecil. Sebab itu Wany cakap tadi, Wany sebenarnya suka habiskan masa sendirian dengan lakukan perkara-perkara yang Wany suka. Wany memang tidak mempunyai ramai kawan. Rasanya ramai yang tahu tentang perkara ini.”

“Kawan-kawan dalam industri pun boleh kira dengan jari siapa yang betul-betul rapat. Bukan tidak terbuka untuk berkawan, tetapi Wany percaya apabila kita semakin dewasa, circle of friends semakin mengecil.

“Lagipun Wany bukan seorang yang suka melepak di luar jika tidak ada apa-apa keperluan. Senang cerita, kalau kita tidak membuka ruang dan peluang untuk orang mencari kesalahan kita, kita akan susah terpalit dengan kontroversi,” ulas Wany yang rupa-rupanya punya agenda besar untuk kelangsungan karier seninya.

 

Idamkan gaya berbeza, tak mahu tumpu satu pasaran

Wany yang bakal berusia 30 tahun pada 2022 nanti sudah mula berkira-kira untuk melakukan perubahan besar dalam merencana perjalanan seni yang lebih memberi impak. Tanpa berselindung, penyanyi yang mempunyai kelab peminat, WanyHasnizers ini mahu melakukan penjenamaan semula. Dia mahu menggapai sesuatu yang belum pernah dinikmatinya sebelum ini.

“Seiring dengan pertambahan usia, Wany sebenarnya sudah bersedia untuk melangkah ke fasa yang lebih matang. Wany mahu lakukan perubahan dalam penjenamaan diri, perubahan imej.

“Wany rasa perubahan ini perlu dilakukan untuk melebarkan sayap dalam dunia seni serta mendapat lebih banyak peluang dalam bidang-bidang lain seperti fesyen atau gaya hidup. Wany kena tinggalkan penampilan yang terlalu bersahaja supaya orang boleh melihat Wany sebagai seorang selebriti yang versatil,” ulas Wany berterus-terang.  

Wah! Adakah ini bermakna Wany cuba sudah muak dengan penampilan sedia ada? Apakah dia masih tidak puas dengan nikmat yang dikecapi selama ini? 

“Eh! Janganlah salah sangka,"  kilas Wany spontan. Riak wajahnya juga sedikit terkejut dengan kedua-dua soalan di atas. Namun, gadis lembut tutur kata ini tidak melatah, hati-hati dia memberi penjelasan.

“Wany bukan tidak bersyukur, jauh sekali hendak menjadi individu lain. Malah, Wany juga sama sekali tidak pernah muak atau mula membenci dengan penampilan Wany ketika ini.

“Adatlah, sebagai manusia biasa, akan tiba masanya kita mahu membawa diri ke tahap seterusnya. Takkanlah hendak berada di takuk sama sepanjang usia.

“Wany yakin dan percaya peminat atau pengikut Wany faham dengan situasi ini dan mereka pasti akan sentiasa memberi sokongan,” tegas Wan.

Lantas, tanpa diminta Wany terus bercerita lanjut tentang agenda yang disusun demi merealisasikan penjenamaan diri yang diidam.

“Untuk permulaan, Wany sedang berkira-kira untuk mencari seseorang atau pasukan (team) yang boleh memberi nasihat, tunjuk ajar dan juga magis ke atas penjenamaan semula ini. Selain itu, Wany juga mengintai kalau ada kelas grooming yang sesuai.

“Pembaharuan mesti dilakukan jika Wany mahu terbang lebih tinggi. Wany mahu memancing perhatian pasaran urban pula.  Sekali lagi Wany tekankan, Wany bukan mahu menjadi orang lain, tetapi Wany mahu meraih lebih banyak peluang,” ujar Wany yang akan muncul dengan single terbaru berjudul ‘Pedas’.

 

‘Pedas’ umpan pasaran urban

Mengimbas kembali detik-detik di awal kemunculannya, Wany mencipta fenomena tersendiri apabila berani tampil dengan lagu yang agak ‘ketinggalan zaman’, walhal dia generasi baru yang lebih terdedah dengan genre muzik lebih moden. 

Namun, dia membuktikan lagu ‘Menahan Rindu’ ciptaan Ibnu dan Gouffran ini memberi impak besar di kalangan peminat muzik Melayu. Ketika itu, stesen-stesen radio berlumba-lumba memutarkan lagu siulan ramai ini.

Sungguhpun begitu, untuk bertahan dan kekal relevan dalam industri, seseorang penyanyi harus lebih fleksibel dan berani mencuba pelbagai perkara baharu, termasuklah membawa genre muzik berbeza, sementelah pendengar muzik kini semakin bijak.

Biarpun dikenali sebagai penyanyi yang membawakan lagu-lagu berentak balada, single terbaharu ciptaan Altimet ini bakal mempersembahkan sesuatu yang berbeza daripada Wany. Sesuai dengan rencananya yang mencuri perhatian pasaran urban, demi penjenamaan diri yang baharu.

“Genre single yang turut menampilkan penyanyi rap wanita, Sophia Liana (DeFam) ini berbeza dengan lagu-lagu sebelum ini. Wany memang sengaja ambil pendekatan ini kerana tidak mahu peminat bosan.

“Selain itu, Wany juga mahu mengumpan pasaran urban untuk sama-sama mendengar lagu terbaharu ini. Yalah, takkanlah selamanya tampil dengan lagu balada. Sebagai seorang penyanyi, Wany juga mahu meraih pencapaian untuk setiap karya yang dihasilkan.” 

“Wany sudah beberapa kali keluarkan lagu balada dan yang terbaharu, ‘Cinta Khayalan’ yang Wany rasakan tidak mendapat mendapat sambutan seperti lagu-lagu sebelum ini. Mungkin inilah petanda di mana peminat sudah mengharapkan sesuatu yang di luar keselesaan Wany.

“Biarpun sudah 5 tahun dalam industri, Wany sebenarnya masih bereksperimen dalam nyanyian. Masih dalam proses pembelajaran. Perjalanan Wany masih jauh untuk sampai ke posisi yang dikecapi oleh nama-nama besar dalam industri,” ujar Wany merendah diri sambil menutup bicara.

Kami pasti Wany punya masa depan yang lebih cerah di masa akan datang. Semoga Wany berjaya memenuhi impian yang telah direncanakan. - Getaran, 15 Mei 2021

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA - GETARAN

Wajah TARA : Wany Hasrita

Editor Getaran: M. Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri

Teks : Rahayu MN

Suntingan : Ili Farhana

Penata Gaya : Farahdinana

Pakaian : Wan and Mary

Solekan : Saidatulnisa Aminuddin

Jurugambar : Azim Rahman

Video Belakang Tabir : Azim Rahman

Suntingan Video : Muharram Kasim

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi : Hilton Kuala Lumpur 

Isu Pada

Kemilau Bintang Wany Hasrita

15 May 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 4 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 4 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini