Melakonkan watak tokoh penting lagi disanjung tinggi seperti Buya Hamka pastinya merupakan sesuatu yang sukar buat sesiapa sahaja yang menggalas tanggungjawab ini.
Itulah yang dirasai pelakon utamanya iaitu Vino G Bastian apabila terpaksa menghidupkan watak tokoh penting tersebut sewaktu menjayakan filem biopik, Buya Hamka.
Menurut Vino, antara cabaran melakonkan watak Buya Hamka ini adalah bagaimana dia mahu menghidupkan watak seseorang yang dia tidak pernah bertemu dan harus melalui proses yang panjang kerana penggambaran mengambil masa selama enam bulan dan turut menjalani penggambaran di Mesir.

"Saya perlu banyak membaca buku-buku mengenai Buya Hamka. Saya juga bertemu dengan ahli keluarganya untuk mengetahui bagaimana personalitinya.
“Biarpun saya juga berketurunan Minang seperti Buya Hamka, namun sukar bagi saya bertutur dalam bahasa Minang terutamanya apabila perkataan-perkataan dari zaman dulu.
“Jadi saya pergi bengkel persediaan dan ada jurulatih yang melatih dan menjaga dialog bahasa Minang saya," katanya kepada Getaran sewaktu ditemui di sidang media pelancaran treler filem Buya Hamka di Jakarta, Indonesia.
Dalam filem ini juga, wajah Vino juga terpaksa disolek dengan kesan khas untuk menghidupkan watak Buya Hamka ketika tua dan mengambil masa selama lima jam untuk siap sepenuhnya sebelum boleh memulakan penggambaran.
Malah, bajet untuk solekan kesan khas ini juga menelan belanja sebanyak RM400,000 menggunakan khidmat jurusolek dari London.
Tambah Vino lagi, antara cabaran untuk melakonkan watak Buya Hamka ini adalah ketika melakonkan babak berceramah kerana dia takut andai tersalah pembawakannya.
"Saya takut andai apa yang saya sampaikan nanti tidak sesuai dengan apa yang pernah Buya Hamka sampaikan. Saya tidak mahu improvisasi cara dia berceramah.
“Saya mahu apa yang saya sampaikan adalah apa yang pernah dia sampaikan. Saya cuba sedaya upaya untuk mengurangkan kesalahan. Mujur ada ahli agama dan ahli bahasa yang membantu," kongsinya.
Lebih menarik, arwah ibu Vino sendiri pernah diislamkan Buya Hamka sebelum bernikah dengan bapanya namun dia hanya mengetahui tentang hal itu, setelah menjalani penggambaran filem ini. Ibunya juga tidak sempat menonton filem ini kerana telah meninggal dunia pada tahun 2020.
Bagi Laudya Cynthia Bella pula, dia bersyukur dapat membintangi filem yang dapat memberi manfaat kepada semua. Ketika penggambaran filem ini dijalankan pada tahun 2019, dia masih tinggal di Kuala Lumpur.
"Empat tahun sudah berlalu sejak kami selesai penggambaran. Kemudian pandemik melanda dan filem ini tertangguh tayangannya.
"Tetapi saya percaya setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Dan, saya percaya bulan ini adalah bulan terbaik kerana ia adalah bulan Ramadan.
"Semoga dengan adanya filem Buya Hamka, seluruh Indonesia dapat belajar dari filem ini kerana proses belajar itu bukan hanya di sekolah. Tapi lewat filem juga kita boleh pelajari sesuatu," katanya.

Sama seperti Vino, Laudya juga merupakan berketurunan Minang. Jadi proses lakonan mereka berdua lebih mudah kerana masing-masing sudah tahu dialek dan bahasa Minang.
Sering kali membawakan watak sebagai Presiden Indonesia iaitu Soekarno, Anjasmara mengakui, ini adalah kali keempat dia membawakan watak ikonik itu.
Ditanya adakah sukar untuknya membawakan watak sebagai Soekarno, kata Anjasmara, untuk kali keempat, dia sudah tidak berasa sukar lagi kerana sudah terbiasa.
"Alhamdulillah, saya tidak melalui sebarang kesulitan untuk memainkan watak Soekarno. Cuma saya perlu mengingat kembali bagaimana mahu membawa watak ini.
"Biarpun sudah banyak kali saya memainkan watak ini, kali ini saya terima kerana filem ini adalah filem yang sangat besar. Tambahan pula memang waktu itu jadual saya lapang. Jadi kenapa tidak saya terima," katanya yang merupakan anak tiri kepada anak perempuan Soekarno.
Filem Buya Hamka arahan sutradara terkenal Indonesia iaitu Fajar Bustomi dan ditulis Alim Sudio serta Cassandra Masardi ini mengambil masa selama sembilan tahun untuk disiapkan sepenuhnya dan menelan belanja kira-kira AS$12 juta (sekitar RM53,670,000).
Dua produksi gergasi Indonesia iaitu Falcon Pictures dan Starvision telah bergabung untuk menerbitkan filem ini dengan kerjasama Majlis Ulama Indonesia.
Filem ini bakal menemui penonton Indonesia pada 20 April ini dan dijangka akan ditayangkan di Malaysia selepas selesai tayangan di Indonesia.
Untuk bahagian pertama, filem ini akan memaparkan zaman di mana Hamka menjadi pengurus Muhammadiyah di Makassar dan berhasil memberikan kemajuan yang pesat kepada organisasi tersebut.
Hamka juga mulai menjadi penulis sastera dan cerita romantiknya menjadi kesukaan pembaca. Hamka dan keluarganya kemudian berpindah ke Medan kerana dia dilantik menjadi pemimpin redaksi majalah Pedoman Masyarakat.
Posisi ini membuatkan dia berhadapan kesulitan dengan pihak Jepun hingga harus ditutup kerana dianggap berbahaya.
Keluarga Hamka mula dilanda masalah ketika salah seorang anak mereka meninggal kerana sakit. Usaha Hamka untuk melakukan pendekatan terhadap pihak Jepun disalah tafsir sebagai penjilat dan dia dimusuhi sehingga Hamka diminta untuk undur dari jabatannya sebagai pengurus Muhammadiyah. - Getaran, 25 Mac 2023