Pejam celik, pejam celik, bulan yang dinantikan oleh umat Islam, Ramadan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk dihayati dan disyukuri.
Bulan yang menjanjikan pahala berlipat kali ganda ini sememangnya dirindukan. Bulan yang ‘menghadiahkan’ keampunan daripada Allah ini sememangnya dinanti-nantikan oleh mereka yang beramal soleh.
Bagi penulis, seorang pendosa yang masih bertatih untuk memperbaiki diri ke jalan Allah, Ramadan adalah bulan untuk penulis terapi diri, memulihkan hati, menjauhkan diri daripada hal-hal dunia yang sesungguhnya kadangkala melalaikan diri.
Benar, sebagai seorang individu yang masih makan gaji, mana mungkin penulis mampu meninggalkan tugasan kerja selama sebulan.
Namun, jadual kerja tidaklah sepadat hari-hari biasa. Jika ada pun, acara yang disertakan dengan majlis berbuka puasa dan kerja-kerja amal sempena Ramadan. Dek itulah, Ramadan sentiasa dekat di hati. Tahun ini penulis sudah punya beberapa ‘wish list’ yang mahu dijayakan bagi menghayati bulan yang mulia ini.
Salah satu daripada ialah, ingin bersedekah setiap hari, walaupun sekecil-kecil jumlahnya (mengikut kemampuan). Bukanlah niat ingin menunjuk-nunjuk, tetapi sekadar ingin berkongsi.
Selain itu, penulis juga ingin elakkan pembaziran makanan. Beli atau masak yang hanya mampu dimakan, bukan mengikut nafsu.

Anda pula bagaimana? Pasti ada juga berniat di dalam hati untuk melakukan itu dan ini bukan? Sebagai umat Islam yang sentiasa mencari redaNya, tiada salahnya kita memasang niat yang baik-baik. Abaikan cakap-cakap sesetengah orang yang suka menempelak – “Solat yang wajib pun tonggang-terbalik, ada hati nak solat Tarawih!”
Mengapa tidak? Kita beribadat niat kerana Allah Ta’ala, jadi biarlah Dia yang menentukan amalan kita itu diterima atau tidak. Bukan mereka yang bergelar ‘hamba’. Begitu juga dengan amalan memakai tudung atau skarf di sepanjang Ramadan sebagai tanda hormat dan menghayati Islam.
Tidak dinafikan ia mengundang pelbagai pendapat, tetapi penulis sentiasa melihat perkara ini pada sisi positif. Bagi penulis tiada salahnya, sekurang-kurangnya ia memberi pengalaman dan mendidik seorang wanita itu untuk berubah ke arah kebaikan.
Lama-kelamaan, mungkin hatinya terbuka untuk berhijab. Siapalah anda yang mahu menjatuhkan hukum? Tepuk dada, tanyalah hati. Adakah anda benar-benar layak mengkritik saudara Islam yang lain? Adalah lebih baik anda mendoakan yang baik-baik dan beri teguran yang membina.
Ramadan adalah peluang terbaik untuk kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah. Manfaatkan masa dengan sebaik-baiknya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan kembali memahami Islam yang sebenar selain hikmah menjalani ibadah puasa.
Rasulullah SAW menyatakan apabila datangnya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.’ (HR al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini juga boleh diertikan bahawa di dalam bulan ini, segala amalan yang membawa insan ke syurga dipermudahkan, yang mendorong kepada neraka disempitkan dan gangguan, tipu daya serta godaan syaitan dikekang.
Amalan berpuasa di bulan Ramadan itu contohnya adalah bermatlamat untuk membentuk sifat takwa di dalam diri seseorang. Ia memberi peluang untuk kita mensyukuri nikmat dan rezeki yang dikecapi. Bahkan mendidik diri supaya banyakkan bersabar apabila menahan lapar dan dahaga.
Ingat! Puasa itu wajib ke atas umat Islam. Kita semua perlu menahan diri dari makan dan minum atau apa-apa jua yang boleh membatalkan puasa, sepanjang hari mulai dari terbitnya fajar sehinggalah terbenamnya matahari dalam bulan Ramadhan.
Untuk menyegarkan kembali ingatan, berikut adalah syarat- syarat wajib berpuasa:
1) Islam: Puasa tidak wajib kepada yang bukan Islam.
2) Baliqh: Tidak diwajibkan puasa kepada mereka yang belum baligh atau belum cukup umur. Namun digalakkan latihan berpuasa kepada kanak-kanak.
3) Berakal: Orang gila tidak diwajibkan berpuasa.
4) Berkemampuan: Orang sakit/uzur yang akan bertambah sakit jika berpuasa atau orang yang terlalu tua yang tidak mampu berpuasa tidak diwajibkan berpuasa.
5) Bermukim: Musafir tidak wajib berpuasa tetapi wajib qada (menggantikan) puasa yang ditinggalkan.
6) Suci: Ertinya suci daripada haid dan nifas bagi wanita.
Semoga Ramadan kali ini lebih diberkati oleh Allah dan menjadi ruang untuk hambaNya memperbanyakkan amalan dan memulihkan diri secara rohani dan jasmani. Semoga Allah menerima segala amalan kita, memakbulkan doa, dan menetapkan hati ke jalan yang diredai. - Getaran, 17 Mac 2023