Kartunis lagenda tanah air Fatah Ngah yang popular dengan kartunnya Lagak A. Mamud telah kembali ke rahmatullah pada 5 Februari 2023.
Allahyarham meninggal dunia pada pagi Ahad di rumahnya Kampung Alor Tembusu, Dungun Terengganu kerana sakit tua.
Fatah yang mula melukis pada tahun 1978 untuk majalah Medan Pelajar dan Bambino merupakan antara generasi awal yang mula-mula menyertai majalah Gila-Gila.
Ketika bersama majalah Gila-Gila beliau telah menghasilkan satu siri kartun yang menjadi trademark buat dirinya iaitu Lagak A. Mamud.
Siri ini mengangkat dialek negeri Terengganu sebagai pertuturan dalam kartunnya disamping karakter A. Mamud yang ranggi dan berfesyen tahun 60-an lengkap berkaca mata hitam dengan gaya rambut ramosnya.
Tidak lupa juga motor Vespa yang sentiasa menemani A. Mamud walau dimana dia berada.

Kartunis Fatah telah berjaya membuktikan bahawa kartun dan komik boleh menjadi alat yang berkuasa untuk mengekalkan warisan dan budaya.
Medium ini boleh menyampaikan nilai budaya, tradisi dan kepercayaan dengan cara yang menghiburkan, menarik serta membolehkan ia diakses oleh khalayak yang luas.
Komik juga boleh menggambarkan peristiwa dan tokoh sejarah, membantu mengekalkan warisan budaya untuk generasi akan datang.
Selain itu, dengan menggambarkan budaya yang pelbagai secara positif, kartun dan komik boleh menggalakkan persefahaman dan toleransi budaya.
Justeru itu ia boleh memainkan peranan penting dalam memelihara dan mempromosikan warisan budaya.
Kartun Lagak A. Mamud boleh berfungsi sebagai satu bentuk dokumentasi kehidupan pada tahun 60-an dan 70-an. Siri ini menggambarkan sikap, fesyen, teknologi dan peristiwa pada masa itu.
Melalui jenaka dan sindiran pelbagai mesej boleh disampaikan dan sudah tentu ia menggambarkan isu sosial, politik, pendidikan, hiburan dan lain-lain lagi.
Hal ini dikatakan demikian kerana kartun boleh menjadi sumber maklumat sejarah yang penting dengan membantu mengekalkan ingatan, gambaran unik kehidupan dan landskap budaya pada tahun 60-an dan 70-an untuk generasi akan datang.

Fatah juga sangat berjaya dengan menghasilkan gaya lukisan dalam kartun. Reka bentuk watak kartun yang dihasilkan menjadi sangat unik dan asli. Kartun dan komik selalunya mempunyai gaya tersendiri yang membezakannya daripada bentuk seni lain.
Gaya ini boleh terdiri daripada garisan ringkas dan minimalis kepada ilustrasi yang sangat terperinci, dan ia boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti latar belakang pengalaman kartunis serta subjek yang dilukis.
Reka bentuk watak kartun juga penting, kerana ia memainkan peranan utama dalam membentuk personaliti dan daya tarikan watak tersebut.
Watak yang terhasil selalunya ekspresif, emotif, menggunakan bahasa badan, ekspresi muka dan isyarat visual lain untuk menyampaikan watak dan perasaan.
Gaya dan watak kartun yang unik serta asli inilah yang menjadikannya begitu menarik dan kekal diingati.
Gabungan lukisan berkualiti tinggi dan reka bentuk watak yang cemerlang boleh menghasilkan kartun yang benar-benar tidak dapat dilupakan yang tahan ujian masa.
Bagi generasi muda pula kita boleh melihat kartun sebagai sumber identiti negara. Kartun boleh menjadi gerbang waktu kepada nilai budaya, tradisi dan sejarah sesebuah negara.
Ia membantu mendidik dan berkomunikasi dengan generasi muda tentang warisan budaya, identiti serta jati diri yang pernah dilalui oleh genarasi terdahulu.
Semoga komik dan kartun peninggalan Fatah akan dikenang sampai bila-bila dan menjadi sebahagian daripada sejarah negara.
Fatah telah berjaya membuktikan bahawa kartun dan komik bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi merupakan satu khazanah yang menjadi rujukan tentang perjalanan menjadi sebuah negara yang maju. – Getaran, 19 Februari 2023
Penulis merupakan pensyarah seni visual di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).