Berita Terkini

22 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Bingkisan Hati Dayang Nurfaizah Dalam Belagu II

Selepas kejayaan album 'Belagu', penyanyi bersuara emas, Dayang Nurfaizah kembali dengan album sekuel 'Belagu 2', kali ini  vokal dan muziknya lebih mewah dan gah kerana diiringi Budapest Scoring Orchestra.

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 11 Feb 2023 5:00PM

Dayang Nurfaizah - Gambar PR

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Bukan kali pertama figura terkenal ini menjadi penghias sampul depan TARA. Malah beliau antara selebriti terawal yang menjadi our cover girl pada tahun 2021. 

Kali ini kami sekali lagi membuat keputusan untuk mengabadikan wajah manisnya sebagai penghias sampul hadapan bagi edisi 4 Februari 2023 bersempena pelancaran album terbarunya iaitu 'Belagu 2' sama seperti sewaktu beliau merilis album 'Belagu' yang pertama dahulu. 

Saat pertama kali, saya  melihat gambar-gambar promosi Dayang Nurfaizah untuk album baharu ini, saya terpukau dek kecantikan sosok tubuh genit anak jati kebanggaan Sarawak ini mengenakan busana tradisional lengkap dengan keringkam.

“Kali ini memang Dayang mahu tampil berbeza daripada album 'Belagu 1'. Dalam album yang pertama, look Dayang tampak lebih moden. Tetapi untuk album yang kedua ini, Dayang beritahu penata gaya iaitu Khairul Abidin bahawa Dayang mahukan sesuatu yang berbeza iaitu klasik tetapi moden,” ceritanya saat saya memuji gambar-gambar di dalam album Belagu 2.  

Untuk gambar yang kami pilih sebagai penghias muka depan, Dayang telah menyarungkan fabrik kepunyaan nendanya yang telah berusia puluhan tahun yang telah diterbangkan khas dari Sarawak. 

Tampil imej klasik moden

“Fabrik ini memang tradisi masyarakat Sarawak termasuk dengan keringkam. Menurut kata orang yang pakar tentang fabrik ini, usia fabrik ini mungkin lebih daripada 100 tahun. Jadi Dayang beritahu ibu supaya tolong simpan fabrik ini kerana Dayang nak pakai,” ceritanya sambil ketawa. 

Jika penyanyi lain lebih gemar mengambil pendekatan mengeluarkan single, tetapi tidak bagi Dayang. Dia masih punya peminat yang mendambakan album penuh darinya. Malah, peminat juga sering tertunggu-tunggu album fizikal daripada Dayang Nurfaizah biarpun kini kita hidup di era digital. Buktinya, album 'Belagu 1' yang dilancarkan dua tahun lalu laris bak pisang goreng panas. 

'Belagu 1' juga telah mengukir kejayaannya yang tersendiri sehingga memenangi tiga anugerah di Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun lalu. Justeru, apa pula visi Dayang untuk 'Belagu 2'? 

“Matlamat utama Belagu dihasilkan adalah untuk memperkenalkan dan merapatkan generasi baharu dengan lagu-lagu klasik Melayu. Disebabkan 'Belagu 1' mendapat sambutan yang sangat positif, Dayang bersama pasukan sedar bahawa kami perlu lakukan sesuatu yang lebih besar untuk disajikan kepada peminat muzik. 

“Jadi, Dayang mahu 'Belagu 2' kali ini menjadi lebih besar dan gah sebab itulah Dayang mahukan lagu-lagu dalam album ini diiringi oleh muzik okestra. Itu adalah permintaan Dayang saat idea untuk menerbitkan sekuel Belagu diutarakan. Siapa dan bagaimana, Dayang serahkan kepada pasukan Dayang,” kongsinya.

Mendengarkan setiap trak yang ada dalam album 'Belagu 2' ini, bagaikan terbuai-buai di awangan dek kelunakan suaranya yang bak buluh perindu. Sewaktu trak pertama iaitu lagu 'Nak Dara Rindu' diputarkan, bulu roma saya terus berdiri mendengar alunan vokal Dayang. Jadi tidak hairanlah kenapa dia dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu sebanyak tiga kali.

“Sewaktu Dayang rakamkan kesemua lagu-lagu ini, Dayang nak semua yang mendengar nanti rasa macam Dayang menyanyi untuk dia seorang sahaja. Kalau Dayang berbisik,  Dayang nak mereka rasa seperti Dayang sedang menyanyi untuk mereka. 

“Bila dengar CD selalunya kita dengar dalam bilik, jadi sudah tentu kita akan ada perasaan seperti nak dengar penyanyi itu menyanyi untuk kita. Sebab itu, untuk album ini Dayang mahu ia kedengaran sangat intimate bukan seperti menyanyi di konsert. 

“Susah sebenarnya nak menyanyikan lagu-lagu dalam album ini kerana perlu berlenggok dan melembutkan cara nyanyian. Dayang pula bukan hari-hari menyanyi lagu asli.

“Menyanyikan lagu-lagu dalam album ini juga sangat memenatkan kerana menuntut mainan emosi yang mendalam. Lagu-lagu asli ini juga ada etika penyampaiannya yang tersendiri. Dayang tak boleh main langgar sahaja. Dayang perlu buat ulang kaji tentang setiap lagu.

“Cabaran utama adalah bagaimana nak ‘mendayangkan’ lagu asli itu tanpa merosakkan lagu itu,” katanya yang meminta bantuan Bob Yusof untuk menyanyikan lagu-lagu tradisional dengan lebih baik.

Guna khidmat Budapest Scoring Orchestra

Selain vokal Dayang yang menusuk kalbu, bunyi instrumen dalam setiap lagu dalam album ini juga sungguh menggetarkan jiwa dan kedengaran sangat mewah. Mana tidaknya, muzik untuk kesemua sembilan lagu yang ada di dalam album ini telah dirakam di Budapest, Hungary menggunakan khidmat Budapest Scoring Orchestra.

Budapest Scoring Orchestra merupakan orkestra simfoni bertaraf dunia yang berpusat di Budapest, Hungary. Mereka punya reputasi cemerlang dalam dunia penerbitan skor muzik bagi filem-filem antarabangsa dan sehingga kini sudah ratusan filem menggunakan khidmat mereka. 

Antaranya 'Parasite', 'Get Out', 'Okja' dan 'Siri' yang mencetus fenomena di seluruh dunia iaitu 'Squid Game'. Bahkan, antara  penyanyi terkenal yang pernah terlibat dengan orkestra ini adalah Stevie Wonder, Michael Buble dan David Foster. 

“Sebenarnya vokal untuk lagu-lagu ini telah Dayang rakam terlebih dahulu di Malaysia. Cuma muzik sahaja yang dirakam di Budapest selama dua hari berturut-turut yang melibat 40 pemuzik pada hari pertama dan 50 pemuzik pada hari kedua. 

“Tapi sempat juga Dayang menyanyi secara langsung sambil diiringi muzik yang dimainkan oleh mereka untuk merasai sendiri pengalaman itu. Terasa bangga juga bila mereka memuji dan betul-betul menikmati muzik kita,” ujarnya.

Aubrey Suwito yang merupakan pengarah muzik untuk album ini sempat memberitahu kepada saya bahawa ketika Dayang menyanyikan lagu-lagu tersebut di sana secara langsung di satu sudut, pemuzik-pemuzik berkenaan menyangkakan suara Dayang adalah lagu yang sedang diputarkan. 

Mereka terkejut apabila mengetahui bahawa suara itu sebenarnya suara Dayang yang sedang menyanyikan secara langsung. Begitulah hebatnya seorang yang bernama Dayang Nurfaizah. 

Antara lagu-lagu klasik Melayu yang dimuatkan dalam album 'Belagu 2' ini adalah 'Nak Dara Rindu', 'Menanti Di Ambang Syurga', 'Ketipang Payung', 'Jauh Di Mata', 'Mengapa Dirindu', 'Sejak Ku Bertemu Padamu', 'Dari Hati Ke Hati' dan 'Umpan Jinak Di Air Tenang'.

Ditanya tentang soal pemilihan lagu untuk dimuatkan dalam album sekuel ini, kata Dayang sememangnya tidak mudah untuk membuat pilihan kerana dia mempunyai deretan lagu-lagu kegemarannya, namun dia harus menjadi relevan dengan memilih lagu-lagu yang sudah biasa didengar agar peminat tidak tertanya-tanya lagu siapa yang dinyanyikannya. 

“Objektif Dayang hasilkan album Belagu adalah untuk memperkenalkan semula lagu-lagu klasik Melayu kepada generasi baru. Jadi lagu-lagu ini harus lagu-lagu yang familiar, lagu-lagu yang kita rasa macam eh aku pernah dengar lagu ni tapi tak pasti siapa yang menyanyi. 

“Dayang sendiri tahu mengenai lagu Jauh 'Di Mata' melalui ratu rock kita iaitu Ella. Dayang pernah tengok dia menyanyi secara ‘live’. Dari situ Dayang ternyata-tanya lagu siapa yang Ella menyanyi. Dayang nak menyanyi lagu ni. Kalau Dayang sendiri kenal lagu ini melalui Ella, Dayang harap di masa hadapan generasi baru kenal lagu-lagu ini daripada Dayang pula. 

“Jadi bagi Dayang pemilihan lagu adalah antara proses yang paling susah sebenarnya. Kalau ikutkan hati nak juga menyanyi lagu yang sedap tapi orang tak pernah dengar, tetapi kalau orang tak tahu nanti susah juga. Dayang pun tak tahu bila Dayang boleh buat album macam ni lagi, jadi lebih baik muatkan lagu yang orang betul-betul tahu,” katanya.

Untuk album 'Belagu 2' ini juga, Dayang telah menghadiahkan para peminatnya dengan lagu baharu berjudul 'Rindu Menyapa' ciptaan Aubrey Suwito dan lirik oleh Datuk Habsah Hassan.

Magis lirik Datuk Habsah Hassan

“Dayang memang selalu berangan nak ada sebuah lagu pop klasik. Untuk album 'Belagu 1' Dayang tak berkesempatan. Tiba-tiba Aubrey ada beri Dayang dengar sebuah lagu. Tetapi lagu itu sebenarnya adalah lagu pop. Tetapi masa Dayang dengar lagu ini, Dayang rasa lagu ini macam sesuai untuk dijadikan penutup dalam album 'Belagu 2'. 

“Dayang rasa cukup bertuah kerana sepanjang lebih daripada 20 tahun bergelar penyanyi, Dayang tak pernah berpeluang menyanyi lagu yang liriknya ditulis oleh Datuk Habsah Hassan. 

“Magisnya, Dayang  tidak pernah bertemu dengan beliau untuk penghasilan lagu ini, tetapi lirik yang ditulisnya ibarat kami pernah bertemu dan dia memahami isi hati Dayang kenapa Dayang buat album Belagu 1 dan 2. Ibarat kebetulan yang tertulis,” jelasnya teruja. 

Biarpun album ini baru sahaja dilancarkan, namun peminat juga berpeluang menonton konsert khas sempena album Belagu 1 dan 2 yang akan berlangsung di Dewan Philharmonik KLCC pada 11 Mac 2023. Khabarnya tiket untuk menonton konsert istimewa telah pun sold out!.

“Dayang sangat teruja dengan konsert ini kerana Dayang akan menyanyikan lagu-lagu daripada album Belagu 1 dan 2 dan ini merupakan satu-satunya konsert 'Belagu' yang sepenuhnya Dayang menyanyikan lagu-lagu asli dan klasik,” katanya mengakhiri perbualan. – Getaran, 11 Februari 2023

DI SEBALIK PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Jangan lupa layari: www.getaran.my 

Wajah TARA : Dayang Nurfaizah 

Editor Gaya Hidup & Hiburan : Ellyna Ali

Teks & Penyelaras : Helmi Anuar 

Suntingan Teks : Suzan Ahmad

Reka Letak : Abdul Hanif Zahari

Isu Pada

Bingkisan Hati Dayang Nurfaizah

11 Feb 2023

Berita Berkaitan

1

Muzik 11 bulan yang lalu

‘Umpan Jinak Di Air Tenang’ – Lagu Melayu Klasik Yang Dirakam Dayang Nurfaizah Ini Paling Banyak Digunakan Sewaktu Syawal

2

Selebriti 1 tahun yang lalu

Bukan Gimik Untuk Lariskan Album - Sissy Imann Nafi Sengaja Cetuskan Drama ‘Kecewa’

3

Muzik 1 tahun yang lalu

Dayang Nurfaizah Angkat Lagu Melayu Klasik Di Peringkat Antarabangsa Dalam 'Belagu II'

4

Muzik 1 tahun yang lalu

Taylor Swift Buat Hal, Sapu 10 Carta Teratas Billboard Hot 100!

Sorotan

1

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

2

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

3

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu

4

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

5

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

6

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

7

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara