Berita Terkini

6 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Alena Murang: Ini Identiti Saya

Istimewa Hari Malaysia, kami bawakan temu ramah khas penyanyi dan pemuzik kacukan Eropah-Kelabit, Alena Murang.

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 17 Sep 2022 9:51AM

oleh

Wafa Aula

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Penulis sebenarnya baru sahaja mengenali penyanyi dan pemuzik kacukan Eropah-Kelabit, Alena Murang ketika dia mendendangkan lagu-lagunya dalam album Sky Song dengan iringan sape tahun lalu.

Ketika itu, penulis sudah merasakan sesuatu yang istimewa tentang gadis ini. Alena membawa keluar identiti serta budaya tempat lahirnya dan memperkenalkan magis masyarakat Ulu Sarawak kepada khalayak ramai dan dunia. Pendek kata, Alena ialah seorang penghibur yang mempunyai kelasnya tersendiri.

Beberapa bulan selepas itu, Alena terus memberikan kejutan apabila muzik video salah satu lagu dalam album studionya, Sky Song iaitu 'Warrior Spirit' membolot trofi Anugerah Muzik Video Dunia Terbaik di Festival Muzik Video Buenos Aires tahun lalu.

Tidak hanya itu, gadis berusia 33 tahun ini pernah membawa pulang 14 anugerah peringkat antarabangsa yang lain seperti Anugerah Filem Antarabangsa New York dan Anugerah Khas Juri di Anugerah Filem Los Angeles.

Mengimbau zaman kecilnya, Alena mengakui muzik sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya. Dia memulakan cintanya kepada muzik dengan mempelajari semua jenis gitar ketika berumur 10 tahun. 

Manakala ketika umurnya menginjak 11 tahun, Alena merupakan generasi pertama yang mempelajari alat muzik tradisional Sarawak, sape secara profesional sekali gus memecahkan stereotaip bahawa sape hanya dimainkan kaum lelaki. 

“Selain gitar dan sape, saya juga bermain saksofon. Waktu di sekolah menengah saya ada ‘rock band’ perempuan dan sayalah pemain gitar elektrik dan bass. Muzik terus menjadi sebahagian daripada diri saya walaupun saya menyambung pelajaran di Universiti Manchester dalam jurusan perniagaan.

“Ketika di Manchester, saya juga banyak membuat persembahan sape yang saya bawa dari Sarawak. 

“Kira-kira 20 tahun lalu, tidak ramai yang berminat untuk memainkan instrumen sape. Saya dan kawan-kawan adalah generasi pertama memainkan alat muzik ini. Namun kini, dah banyak yang main dengan harapan lebih ramai orang yang akan menyukainya,” katanya ketika dihubungi Getaran.

 

Lebih daripada sekadar alat muzik

Ketika lambakan genre electronic dance music (EDM) dan pop menjadi trend di TikTok, Alena Murang percaya muzik genre etnik perlu diperjuangkan agar ia kekal dikenali generasi baru.

Bukan itu sahaja, walaupun pandai memainkan pelbagai  jenis instrumen, namun Alena merasakan sape mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding alat muzik moden yang lain.

“Jika anda mendengar muzik yang dimainkan daripada sape, memang anda akan rasa tenang. Sebagai pemain sape, saya akui ia memberikan sebuah perasaan damai yang tidak saya peroleh ketika memainkan alat muzik yang lain.

“Sape sendiri pun dibuat dari bambu yang diambil di hutan. Lagu-lagu yang dinyanyikan dengan iringan sape juga banyak dipengaruhi  dengan alam sekitar.

“Sebab itu saya tidak menyanyikan lagu-lagu cinta sebaliknya mengambil inspirasi dari lagu-lagu tradisional Kelabit dan Kenyah yang kebanyakannya bercakap mengenai alam semula jadi seperti sungai, bulan, sinaran matahari dan jenis petir. 

“Saya juga menulis lagu-lagu yang turut menceritakan tentang pokok besar dan keindahan rimba dalam lagu 'Meno',”  katanya.

Tidak hanya lagu, bahkan video muzik yang dihasilkan Alena juga sangat teliti menceritakan kekayaan Bumi Kenyalang. Bulan lalu, Alena melancarkan sebuah lagu bertajuk 'Put Burui' yang diinspirasikan daripada tarian tradisional wanita etnik Kenyah di Sarawak. 

Membawakan mesej mencintai alam, Alena turut mengenakan pakaian yang diperbuat daripada gentian alam semula jadi yang dicipta pereka fesyen asal Sarawak bernama Edric Ong dalam video muzik itu.

Begitu juga dengan lagu 'Midang-Midang', Alena menyarung busana kain songket Sarawak sehingga ada yang menggelar gadis itu sebagai duta Sarawak ke mata dunia.

“10 tahun lalu kami masyarakat Ulu Sarawak susah nak bayangkan muzik dan cerita kami akan didengari orang lain tak kiralah di dalam dan luar negara. Saya amat terharu dan sangat terkejut dengan penerimaan orang. Mereka begitu menyukainya. 

“Saya merasakan sebuah tanggung jawab besar turut diletakkan di bahu saya. Tapi saya anggap ia cabaran dan saya hanya buat yang terbaik,” tambahnya.

 

Pencarian identiti 

Lahir dalam suku Kelabit di Ulu Sarawak, Alena merasakan muzik adalah cara paling mudah untuk memperkenalkan etnik dan budayanya kepada khalayak. Hari ini, gadis itu telah mencipta banyak kejayaan semata-mata untuk membuat lebih ramai orang akan jatuh cinta kepada keunikan Sarawak.

“Sebagai seorang yang berdarah kacukan di mana ibu saya berasal dari Eropah manakala bapa saya dari suku Kelabit, saya selalu bergelut dengan pencarian identiti. Sebagai etnik suku Sarawak, saya merasakan ia adalah tanggungjawab saya untuk memastikan bahasa dan budaya etnik Kelabit tidak hilang. 

“Muzik dan lagu adalah cara paling mudah untuk memperkenalkan etnik saya. Kita boleh saling mengenali pelbagai tradisi dan budaya melalui muzik,” katanya. 

Setelah bertahun-tahun membuat persembahan, gadis itu mengakui muzik tradisional semakin mendapat perhatian berbanding sebelum ini. 

“Selalunya instrumen tradisional kita hanya dapat saksikan di majlis-majlis kebudayaan. Namun sekarang kita dapat lihat ada usaha yang dilakukan pengkarya tempatan untuk memasukkan bunyi-bunyi dari instrumen tradisional ke dalam karya mereka.

“Kalau di TikTok sekalipun, muzik etnik dari negara lain sudah pernah menjadi tular. Muzik etnik kita juga ada potensi menjadi tular melihat kepada usaha generasi muda masyarakat Sarawak khususnya di sempadan Kalimantan yang rajin buat video saduran di TikTok,” tambahnya. 

Selain Sape, Alena turut berharap lebih banyak alat muzik tradisional pelbagai etnik dapat diketengahkan seperti tongkungon, turali, sompoton dan gitar bambu yang dimainkan suku kaum Semai.

“Malaysia sangat unik kerana kita mempunyai pelbagai bangsa dan etnik. Jika kita semua lebih terbuka untuk berkongsi dan memahami kepelbagaian budaya ini, sudah semestinya kita akan hidup damai dan saling menghormati.

“Semoga lebih ramai warganegara khususnya di semenanjung akan lebih mengenali muzik tradisi dan budaya masyarakat negara kita,” katanya menutup temu ramah. 

 

DI SEBALIK PEMBIKINAN WAJAH TARA - GETARAN

Wajah TARA : Alena Murang

Pemangku Editor Gaya Hidup & Hiburan : Elyna Ali

Teks : Wafa Aula

Suntingan Teks : Ili Farhana

Jurugambar : Clash Donerrin

Jurusolek : Gebriel Padan

Penata Gaya : Saerah Ridzuan

Rekaletak : Abdul Hanif Zahari

Isu Pada

Alena Murang: Ini Identiti Saya

24 Sep 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Ditipu Penjual Barangan Terpakai, Suri Rumah Rugi Lebih RM30,000

2

Semasa 1 minggu yang lalu

Anggota Polis Korban Bot Karam Kapit Selamat Dikebumi

3

Ekonomi 2 minggu yang lalu

Anwar Pelawa Firma Perniagaan Jerman, Eropah Melabur Di Malaysia

4

Semasa 3 minggu yang lalu

MA63: 9 Tuntutan Asas Selesai Sepenuhnya

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok