Berita Terkini

21 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Jemapoh Pizza Kayu Api, ‘Pizza Kampung Citoghaso International’

Membawa tagline, Pizza Kampung Citoghaso International, kedai makan yang didirikan bersebelahan rumah kampung ini semakin mencipta nama sehingga menarik banyak pihak termasuklah golongan selebriti.

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 09 Jul 2022 12:00PM

Jemapoh Pizza Kayu Api Kuala Pilah. - Gambar oleh Abdul Razak Latif

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Suka atau tidak, Negeri Sembilan yang terkenal dengan adat perpatih tidak pernah kalah dengan sajian lazat lagi menyelerakan. 

Antara masakan yang menjadi buruan ramai ialah daging salai masak lemak cili api, rendang minang atau cili api, tempoyak daun kayu dan itik salai masak lemak cili api. 

Namun, jika anda punya masa menjelajah setiap ceruk negeri ini, masih banyak lagi makanan yang mampu memikat selera. Bahkan, mampu menggamit untuk anda sering kembali memanjakan lidah.

Salah satu lokasi selera yang patut anda cuba ialah Jemapoh Pizza Kayu Api yang terletak di Kampung Desa Jemapoh, berhampiran pekan Kuala Pilah. 

Membawa tagline, Pizza Kampung Citoghaso International, kedai makan yang didirikan bersebelahan rumah kampung ini semakin mencipta nama sehingga menarik banyak pihak termasuklah golongan selebriti. 

Namun percayalah, biarpun kuasa tular memainkan peranan dalam mempopularkan kedai ini, tetapi taruhan utamanya pastilah pada pizza. Jika pizza yang terhidang mengecewakan, masakan ia menjadi buah mulut. 

Memang benar, jika buat carian di dalam talian, sudah banyak tempat yang menyediakan pizza yang dibakar dengan kayu api ini, namun, Jemapoh Pizza Kayu Api punya tarikan tersendiri dan mungkin tidak ada di tempat lain. 

Bagi Getaran yang sempat singgah ke sini baru-baru ini, Jemapoh Pizza Kayu Api sudah menang dengan suasana kampung yang dimilikinya. Perjalanan yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah terasa cukup berbaloi sebaik memasuki kawasan kampung. Damai menghijaukan.

Melihat kepada menu yang tertera di kaunter, tidak sukar membuat pilihan sebenarnya kerana hanya ada empat perisa pizza yang tersedia iaitu Jemapoh Signature (ayam cincang), Tuna Tikey (tuna) Pepperoni Pillah (pepperoni daging) dan Neopolitan Vege Classic (sayuran premium). Boleh pesan kesemuanya, lebih-lebih lagi jika anda datang secara berkumpulan.   

Memandangkan kami hadir berlima pada petang itu, kami berkesempatan mencuba kesemua perisa. Pada suapan pertama, kami sudah terpikat. Dohnya lembut, ramuan yang digunakan segar dan mewah. 

Kehadiran dua jenis keju pada setiap pizza mencetuskan letupan rasa yang diidamkan ramai. Sedap! Menjilat jari. Boleh dimakan banyak kerana ia tidak menjemukan. 

Secara peribadi, kami sepakat memilih dua perisa sebagai pilihan terbaik iaitu, Jemapoh Signature yang sarat dengan ‘topping’ menyelerakan dan Tuna Tikey yang ditabur dengan cili api (‘nismilankan!’).


PKP pencetus idea

Bercerita tentang bagaimana tercetusnya idea menjual pizza kayu api, pengusaha atau pemilik bersama, Raudhah Hassan, 37, memberitahu idea untuk menjual pizza kayu api ini timbul ketika dia dan adik-beradiknya yang seramai enam orang terperangkap di kampung gara-gara perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasa bermula 18 Mac 2020.

“Bermula pada waktu pkp yang pertama, kami enam beradik ketika itu terperangkap di kampung. Waktu itu, ingatkan pkp tidaklah mengambil masa yang panjang. Tapi rupa-rupanya ia berpanjangan sehingga berbulan-bulan sehingga membuatkan kami adik-beradik terkesan. Maklumlah semua tidak dapat bekerja dan perbelanjaan untuk barang dapur untuk keluarga besar bukannya sedikit. 

Jadi sebelum Ramadan 2020, saya lontarkan idea untuk berniaga secara online dengan sasarkan komuniti kampung ini sahaja.  Waktu itu hanya nampak pada group WhatApps kampung mak saya saja. Jadi saya ajak adik-adik yang lain untuk sama-sama meniaga untuk cari duit tambahan untuk perbelanjaan dapur,” ujar Raudhah.

Jelas Raudhah lagi, dia dan adik-beradik yang lain pilih pizza kerana beranggapan hidangan ini mudah dan cepat dimasak. Ditambah pula, mereka sudah sering menyediakan pizza apabila berkumpul ramai-ramai di kampung. 

“Lagipun, rumah di kampung ini sudah ada ‘sabak’ (ketuhar tanah liat). Keluarga mak saya besar, jadi kalau semua balik kampung, bakar pizza sudah biasa kami lakukan. 

Masa mula berniaga, niatnya hanya sekadar untuk beli barang dapur. Barang- barang pun pakai apa yang di rumah sahaja. ‘Pan’ pizza pun pakai tudung periuk mak. Kayu api tidak jadi masalah kerana di kampung memang mudah dapatkan sumber,” cerita Raudhah lagi. 

Namun, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Perniagaan yang dirancang secara kecil-kecilan akhirnya mendapat sambutan cukup luar biasa. 

Pernah suatu masa adik-beradik ini perlu membakar sehingga 800 keping pizza sehari, di mana ketika itu pelanggan terpaksa beratur panjang dan menunggu lebih dua jam.

Keunikan Jemapoh Pizza Kayu Api ini terletak pada doh dan cara pembakarannya. Sangat enak dimakan ketika masih panas dan jika sudah sejuk ia masih sedap dimakan kerana dohnya masih lembut. 

Ini kerana pizza dibakar dalam tempoh yang singkat, iaitu dalam dua ke tiga minit dalam dapur kayu api yang bersuhu tinggi. 

Selain di Jemapoh, anda juga boleh mengunjungi cawangannya yang terletak di Semenyih, Selangor. Selamat menjamu selera. – Getaran, 9 Julai 2022

Gambar Jemapoh Pizza Kayu Api Kuala Pilah oleh Abdul Razak Latif

Isu Pada

Erti Pengorbanan Daphne Iking

09 Jul 2022

Berita Berkaitan

1

Kisah Kita 3 bulan yang lalu

Kisah Bendera Putih, Cebisan Bukti Keluhuran Hati Al-Sultan Abdullah

2

Semasa 4 bulan yang lalu

COVID-19: Kerajaan Tidak Bercadang Laksana Semula PKP - Dr Dzulkefly

3

Politik 8 bulan yang lalu

Politik Stabil, Malaysia Semakin Dikenali Di Pentas Dunia - PM

4

Semasa 11 bulan yang lalu

Rumah Terbuka: 'Ziarah Terdidik' Elak Penularan COVID-19

Sorotan

1

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

2

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

3

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu

4

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

5

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

6

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

7

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara