Berita Terkini

20 jam yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 6 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Konsert Floor 88 'Eighty8 Infinity' Bukti Mereka Pemuzik Yang Serius

Konsert ini juga mengundang emosi apabila vokalis Floor 88, Ayie tidak dapat menahan sebak sewaktu membawakan lagu 'Sahabat'.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 03 Apr 2022 1:11PM

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Minggu lepas saya telah menulis sebuah artikel mengenai penganjuran konsert-konsert berskala besar yang kebanyakannya didominasi artis-artis legenda dan mengapa mereka lebih mendapat permintaan lebih tinggi daripada pihak penganjur berbanding artis-artis muda dan baharu popular. 

Pada hari artikel itu diterbitkan di TARA, saya telah meluangkan masa untuk menyaksikan konsert Eighty8 Infinity yang dijayakan kumpulan muzik Floor 88 di Hotel Grand Barakah, Ampang. 

Memandangkan ini adalah konsert sulung mereka, saya benar-benar teruja menyaksikan persembahan mereka, bahkan agak kagum juga kerana konsert mereka itu berjaya menghimpunkan 500 orang peminat. 

Peminat mereka majoritinya terdiri daripada anak-anak kecil sehinggalah golongan remaja yang sedang meningkat dewasa dan ibu bapa pula dilihat cukup sporting menemani anak-anak yang menjadikan Floor 88 sebagai idola mereka. 

Konsert mereka ini dimulakan dengan kemunculan Caramelt Band sebagai artis pembuka tirai. Kemunculan mereka menarik perhatian dan mengingatkan saya kepada Candy kerana mereka juga adalah kumpulan muzik wanita yang mampu bermain muzik. 

Tapi, sebaik sahaja mereka membawakan single mereka, 'Tara', saya sedikit kecewa kerana saya meletakkan harapan cukup tinggi untuk mendengar sebuah karya lagu yang seharusnya lebih sesuai dengan imej dan kepandaian mereka bermain muzik. 

Akhirnya saya terpaksa berpuas hati apabila mereka membawakan lagu 'Kesal' daripada Ratu Rock Ella, 'Nakal' (Gigi ) dan 'Bujang Senang' (Wings).

Saya juga suka apabila mereka menyatukan elemen rap dalam muzik rock mereka menjadikan muzik mereka lebih semasa dan pastinya genre rock rap sebegini akan diminati generasi pendengar muzik hari ini. 

Floor 88 turut mengundang sifu mereka, Apak Harry dan kumpulan muzik baharu, Kizo sebagai artis undangan dalam konsert sulung mereka yang berskala kecil. 

Awalnya, saya memikirkan band ini adalah sebuah band metal rock atau pop metal kerana ia dianggotai Arif, anak Izo XPDC yang bermain gitar.

Masuk sahaja vokalisnya mengenakan baju gaya hip hop, saya memikirkan mungkin genre muzik mereka adalah rap rock. Rupa-rupanya kedua-dua tekaan saya itu silap. 

Mendengar Kizo membawakan lagu debut mereka iaitu' Ale Ale' yang pertama kali dipersembahkan dalam konsert itu, seperti anda mendengar lagu Floor 88. Konsep muzik mereka sama. Ibarat copy paste

Teraju utama konsert ini iaitu Floor 88 dianggotai oleh Nik Fadlee Elhamshah atau Ayie Elham selaku vokalis, Zain Hamzah (Achoi) - gitar utama, Muhammad Falikh (Falique) - bass, Muhamed Eric Muhamed Fuzi (Eric Fuzi) – keyboard, Amirul Affeq (Amir) - gitar kedua dan Muhammad Akram (Akram) – dram.

Mereka membawakan 12 lagu di dalam konsert ini. Set pertama iaitu segmen overture dimulakan dengan lagu 'Zalikha', 'Aqilah', 'Roadblock Hatiku' dan 'Bukan Cinta Biasa' yang dipopularkan Dato' Seri Siti Nurhaliza. 

Segmen ini mempunyai penceritaannya tersendiri tentang kegagalan anak-anak band Floor 88 ini bercinta dengan Zalikha, kemudian beralih kepada Aqilah dan kisah percintaan bersama kedua-dua gadis ini disifatkan sebagai percintaan yang luar biasa sehingga akhirnya mewujudkan roadblock di hati. 

Sebaik sahaja segmen overture itu berakhir, kehebatan mereka bermain muzik makin menyerlah apabila mereka tampil dengan sesi jamming dan juga aksi drum solo yang menyaksikan vokalis Floor 88, Ayie cuba mencabar pemain dram mereka, Akram. Tak sangka Ayie juga boleh bermain alat muzik tersebut. 

Segmen ini semakin dinamik apabila mereka membawakan lagu 'Ku Ingin' yang dicipta Floor 88 10 tahun lalu dan sering dimainkan di dalam persembahan mereka.

Lagu ini sebetulnya adalah genre muzik asal dan hala tuju sebenar mereka sebagai karyawan muzik dan melihat mereka beraksi dengan lagu yang berkonsep rock dengan elemen rapcore yang ringan ini cukup memuaskan. 

Pernah Ayie meminta meminta pandangan saya tentang keinginan Floor 88 untuk mengubah hala tuju muzik mereka dengan lebih serius dan matang. Waktu itu, Floor 88 hadir di sebuah acara di sebuah hotel di bandar raya KL sebelum wujudnya COVID-19. 

Saya bilang kepada Ayie, perubahan tidak boleh dilakukan secara mendadak. Kasihan kepada peminat-peminat cilik Floor 88. Lakukan secara perlahan-lahan. 

Apa pun, kemunculan lagu 'Ku Ingin' yang dirakam semula mereka secara profesional di studio adalah satu langkah pertama dan permulaan awal untuk Floor 88 membuktikan bahawa mereka bukan sekadar band muzik biasa tetapi juga punya potensi besar untuk menjadi band muzik berkaliber. 

Suasana penuh emosi menyelubungi seluruh dewan apabila Ayie tidak dapat menahan sebak tatkala membawakan lagu 'Sahabat' dalan segmen yang seterusnya.

Ayie mengakui lagu itu memberikan kesan yang cukup mendalam buat Floor 88 kerana lagu ini menyimpan kisah suka duka tentang persahabatan mereka dan jatuh bangun mereka bersama sepanjang 10 tahun membina nama dalam industri muzik tanah air. 

Segmen ini diteruskan dengan lagu 'Yang Benar' dan 'Medley Rock Kapak', sebelum Floor 88 mengakhiri persembahan mereka dengan lagu-lagu encore '24434', 'Chikadun' dan 'Hutang'. Setiap kali mereka beraksi, penonton juga akan ikut sama menyanyi. 

Ternyata Floor 88 sudah punya peminat sejati. Walaupun repertoire persembahan mereka ini boleh disusun dengan lebih kemas lagi, namun konsert mereka ini ternyata sukses dan Floor 88 juga mampu beraksi, menguasai pentas dan menghiburkan peminat mereka dengan begitu baik. - Getaran, 3 April 2022

Gambar: Floor 88

Isu Pada

Dunia Seni Zulhairul Ikram

02 Apr 2022

Berita Berkaitan

1

Selebriti 2 minggu yang lalu

 Alif Satar Perluas Kempen #GengSubuhMacamJumaat Ke UK

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Kematian Akibat Tembakan Di Dewan Konsert Di Moscow Melepasi 60 Orang

3

Muzik 1 bulan yang lalu

Explosions In The Sky Kembali Ke Malaysia

4

Sukan 1 bulan yang lalu

Jamin Kualiti Padang SNBJ, PSM Guna Tenaga Pakar Untuk Konsert Ed Sheeran

Sorotan

1

200 Ulama Nusantara Dijangka Hadiri Persidangan Ulama Sedunia Mei Ini

2

Stoking Tertera Kalimah Allah: Mahkamah Tinggi Batal Hukuman, Sabitan Terhadap Juruteknik 

3

Penumpang Terkandas Di Lapangan Terbang Selepas Letusan Gunung Berapi Menyebabkan Pembatalan Penerbangan

4

Kerajaan Setuju Salur Peruntukan Kepada Pembangkang - Fadillah

5

Belanjawan Pertahanan Beri Impak Penganjuran DSA, NATSEC Asia Untuk Kekal Relevan

6

Akta Kerja 1955 Benarkan Pekerja Mohon Aturan Kerja Anjal - Menteri