Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Jiwa Bebas Fauzi Baadila

Sempena keluaran ke-60 sisipan gaya hidup TARA, kami tampilkan bintang kelahiran Indonesia, Fauzi Baadila yang berkongsi tentang perkembangan terbaharunya secara eksklusif bersama Getaran.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 19 Mar 2022 9:56AM

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Saat pengarah tempatan prolifik, Osman Ali menyebut bahawa Fauzi Baadila bakal menyertai produksi filem terbitan dan arahan terbaharunya, Telaga Suriram dalam sidang media yang dilakukan di sebuah restoran kelas mewah pada awal Januari lalu, ramai yang mula terkesima. 

Masakan tidak! Siapa pun pasti akan memberikan reaksi yang sebegitu apabila pelakon dari Indonesia yang bukan calang-calang handal dan pernah memberikan aksi lakonan yang luar biasa hebat dalam filem 9 Naga, Mengejar Matahari dan Tentang Dia itu akan membintangi Telaga Suriram

Pada saat Fauzi sedang menikmati percutiannya di Malaysia, kami cuba mencari peluang untuk mendekatinya dan melakukan wawancara eksklusif bersamanya. Mujur dia tidak menolak.

Bahkan, aktor yang gemar melakukan aktiviti lasak dan aktif berolahraga pada waktu senggangnya ini amat senang sekali berkongsi tentang hal-hal yang mencangkupi kehidupan, keperibadian serta kerjaya seninya kepada TARA. 

Apa yang menarik, tawaran untuk berlakon dalam filem Telaga Suriram diperolehi Fauzi sewaktu dia sedang bercuti di Bali dan Nusa Penida. 

“Produsernya telah menghubungi saya dengan menghantar DM di Instagram saya. Tapi, disebabkan masalah jaringan komunikasi, saya cuma dapat membalas mesej tersebut beberapa hari kemudian. 

“Dari situ, kita terus berkomunikasi dan melakukan panggilan video. Saya telah berkomunikasi secara terus dengan sutradaranya iaitu Osman Ali, eksekutif produser, Yus dan Maya Karin. 

“Mereka mahu saya terlibat dalam filem Telaga Suriram untuk membawa watak seorang imigran bernama Sofian. Dia seorang pekerja kelas bawahan yang mempunyai kesulitan hidup dan kemudian merantau dan mengadu nasib di Malaysia. 

“Sebelum menyatakan persetujuan, saya cuba memahami dahulu struktur utama cerita Telaga Suriram ini. Kemudian saya lakukan kajian untuk mengenali siapa pengarah dan barisan pelakonnya.

“Saya lihat ada nama Scha Alyahya. Saya pernah membuat penggambaran dengan Scha untuk muzik video kumpulan Hujan di Malaysia dan bagi saya perkara itu sangat menyenangkan. 

“Saya jadi lebih bersemangat untuk terlibat dalam produksi ini dan adrenalin saya juga memuncak naik,” katanya dengan penuh bertenaga. 

 

Peranan Sebagai Sofian 

Menceritakan lebih lanjut tentang watak Sofian yang bakal dibawakannya, Fauzi mengakui ia bukanlah sesuatu yang sulit baginya. 

“Untuk orang lain mungkin susah. Tapi, bagi saya tidak. Kerana kita tahu bagaimana komposisinya dan kita cuba menggambarkannya secara abstrak di dalam fikiran dan kemudian direalisasikan di hadapan kamera. 

“Saya juga banyak lakukan persiapan dan membaca skrip berkali-kali. Kesulitan saya cuma satu, iaitu bahasa kerana sutradaranya iaitu Pak Osman yang juga penulis skrip dan lakon layar filem ini menggunakan bahasa Malaysia seratus peratus. 

“Akhirnya kita bincang dan menemui kesepakatan untuk menggunakan 70 peratus bahasa Malaysia dan selebihnya dalam bahasa Indonesia buat saya. 

“Kerana kalau difikirkan kembali, dengan peranan saya sebagai Sofian, tidak mungkin saya akan dapat berbicara dalam Bahasa Malaysia sepenuhnya. 

“Alhamdulillah, Pak Osman seorang pengarah yang sangat terbuka pemikirannya dan beliau menerima pandangan saya itu dengan baik sekali. 

“Kiranya, seperti itulah komposisi Sofian nanti. Seorang yang gigih, punya banyak tekanan, kemudian merantau dan melawan demi survival. 

“Ini yang bakal saya tunjukkan nanti dan saya sedang cuba membawakan karakter Sofian saat ini,” katanya sambil cuba memperlihatkan aksi dan reaksi watak Sofian dengan penuh semangat tetapi kemudian dia menghamburkan tawa. 

Ternyata aktor yang sering dilihat cukup serius orangnya ini sebetulnya seorang yang cukup santai, gemar bercerita, bergurau-senda dan mudah ketawa. 

 

Telaga Suriram Produksi Filem Pertama Di Malaysia 

Aktor, model dan hos yang dilahirkan di Kaherah, Mesir pada tanggal 5 September 1979 ini mengakui bahawa sebelum ini dia sering menjayakan penggambaran di Malaysia, tetapi selalunya bersama produksi Indonesia. 

“Tapi, untuk produksi dari Malaysia yang akan tayangkan di Malaysia sendiri, ini yang pertama buat saya. 

“Dulu saya hampir-hampir pernah menerima tawaran untuk berlakon di Malaysia sekitar tahun 2013 hingga 2014. 

“Tapi, disebabkan rintangan dan halangan tertentu, ia tidak menjadi kenyataan. Namun, berlakon di dalam produksi di Malaysia sememangnya ada dalam wishlist saya. 

“Kerana saya fikir, saya harus mencuba sesuatu di luar lingkungan kehidupan dan kerjaya seni saya di Indonesia. Itukan bagus? Akhirnya, wishlist itu tertunai juga,” katanya lagi sambil tersenyum dengan warna mata perang terang yang bercahaya. 

Tidak sabar menjayakan penggambaran Telaga Suriram, Fauzi percaya bahawa dia akan menemui frekuensi yang sama dengan barisan pelakon dan seluruh produksi filem tersebut. 

“Pada awal proses penggambaran nanti, pasti akan adaptasi kerana setiap produksi punya tenaga, komposisi dan cara kerja yang berbeza. 

“Tapi, apa yang saya tahu, mereka ini sangat berbakat dan profesional. Selalunya lebih mudah bekerja bersama sekumpulan orang yang punya integriti dan kompetensi yang bagus,” katanya lagi. 

Memandangkan dia perlu menjayakan 20 peratus babak dalam Telaga Suriram, dia mengakui tidak kisah jika harus menetap lama di Malaysia. 

“Berjauhan dengan keluarga bukanlah suatu masalah bagi saya. Kalau saya perlu berada di Malaysia selama setahun pun, tidak apa kerana pola kerja saya memang begitu,” katanya. 

 

Kerja Ikut Mood, Gemar Menyendiri, Masih Single 

Saat ditanya tentang perancangan kerjanya yang lain, Fauzi dengan jujur memberitahu bahawa dia bukanlah seorang aktor yang gemar bekerja secara berterusan. 

“Kalau orang lain, mungkin mereka mahu selalu bekerja. Tetapi, kalau saya tidak. Saya bekerja ikut mood. 

“Kalau mood saya okey, saya akan kerja. Kalau mood saya tidak okey, saya akan santai sahaja. Kalau mood saya tidak okey dan ada tawaran kerja yang diterima, saya akan tolak. 

“Jadi, saya tidak tahu lagi apa yang ingin saya lakukan selepas ini. Tapi, yang pasti saya akan fokus dahulu dengan Telaga Suriram

“Saya tidak mahu fikirkan yang lain. Selepas Telaga Suriram selesai, terserahlah apa pun. Tapi, saya rasa saya mahu santai dahulu dan jalan-jalan. Saya bukan jenis pekerja harian. Saya pekerja yang ikut mood,” katanya lagi. 

Fauzi juga menyatakan bahawa dia seorang yang gemar menyendiri, bahkan jika berjalan-jalan juga, sering sendiri. 

“Saya berbintang Libra. Kalau ingin sendirian, saya akan sendirian terus. Kalau ingin ramai-ramai, pasti akan ramai-ramai juga. 

“Memang ia kelihatan agak rumit dan tidak seimbang.  Tapi, saya lebih senang sendirian. Paling ramai teman berjalan pun hanya satu atau dua. Itu pun teman-teman yang rapat,” katanya. 

Bekas suami kepada model Indonesia kelahiran Uzbekistan, Senk Lotta ini juga mengakui dia masih lagi single dan lebih gemar mengekalkan statusnya itu, 

“Tidak mudah mencari orang yang boleh memahami diri kita dan adakalanya kita lebih mengerti diri kita sendiri berbanding orang lain,” katanya lagi. 

 

Gemar Mengembara dan Berdamping Dengan Alam 

Saat pandemik, Fauzi telah menggunakan kesempatan itu menjelajah beberapa daerah dan wilayah di Indonesia. 

“Kerana pandemik dan segala peraturan baru yang diwujudkan, saya putuskan untuk tidak bekerja buat sementara waktu.  

“Saya mengembara mengelilingi Indonesia. Hampir setahun lamanya saya berkelana dengan santai, berjalan-jalan, makan dan tidur sepanjang tahun lalu. 

“Hingga kini jiwa bebas saya masih lagi menyala, menguasai diri. Saya tidak gemar disiplin dan melakukan perkara yang sama dan membosankan. 

“Dengan mengembara, saya mendapat kepuasan hati. Saat berjalan, saya tidak akan berusaha untuk mencetuskan persahabatan. 

“Saya lebih gemar berinteraksi dengan alam kerana alam lebih jujur. Manusia ada kalanya mudah menjatuhkan orang lain. Alam tidak begitu. 

“Manusia punya topeng. Kerja saya ini punya banyak intrik (muslihat) dan drama. Jadi, untuk kehidupan yang nyata, saya sudah bosan dengan drama. Saya ingin lihat kejujuran. Alam penuh dengan kejujuran dan ketenangan,” katanya lagi. 

Jelas Fauzi lagi, adakalanya kita perlukan waktu untuk melihat suatu keadaan dengan jernih dan ia hanya mampu dilakukan tika bersendirian dengan alam. 

“Kalau terlalu banyak muzik, TV dan orang, ia akan kabur dan menutup pandangan mata kita untuk melihat sesuatu yang jernih,” katanya lagi. 

Fauzi juga giat melakukan kerja-kerja kemanusiaan bersama Jaringan Islam Liberal dan juga terlibat dengan pertubuhan Warriors Of Hope untuk kegiatan-kegiatan amal. 

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Fauzi Baadila

Editor Gaya Hidup & Hiburan: Shah Shamshiri

Teks & Penyelaras : Ellyna Ali

Suntingan Teks: Ili Farhana

Arahan Seni : Ahmad Azimi Bin Johari & Ellyna Ali

Jurugambar : Ahmad Azimi Bin Johari

Rekaletak : Abdul Hanif Zahari 

Lokasi : Kuala Lumpur, Malaysia

Isu Pada

Jiwa Bebas Fauzi Baadila

19 Mar 2022

Berita Berkaitan

1

Video & Galeri 1 bulan yang lalu

Puting Beliung Landa Sumedang, Bandung Di Indonesia

2

Luar Negara 2 bulan yang lalu

PEMILU 2024: Pemimpin Dunia Ucap Tahniah Kepada Prabowo

3

Luar Negara 2 bulan yang lalu

PEMILU: Puluhan Cedera Dalam Pertempuran Di Papua

4

Luar Negara 2 bulan yang lalu

PEMILU 2024: KPU Umum Pengundian Tambahan Di 668 Pusat Pengundian

Sorotan

1

Malaysia, Thailand Tingkatkan Kerjasama Perangi Jenayah Rentas Sempadan

2

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

3

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

4

Misi Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Dengan Kapal Tetap Diteruskan - Ann Wright

5

PRK Kuala Kubu Baharu: Kerajaan Perpaduan Ada Kaedah Pastikan Calon Menang

6

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

7

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa