Berita Terkini

8 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Membimbangkan! Amalan Kitar Semula Penduduk Malaysia Masih Rendah

Statistik menunjukkan pada tahun lepas, negara hanya merekodkan kadar kitar semula pada 31.52 peratus sedangkan kebanyakan negara maju mencatatkan sekurang-kurangnya 60 peratus.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 13 Mar 2022 12:00PM

Gambar Fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Selepas hampir tiga dekad kempen kitar semula dicanang di negara ini dalam usaha memastikan 40 peratus sisa buangan dapat digunakan semula pada 2025, ternyata sambutan masyarakat terhadap inisiatif itu masih rendah.

Statistik Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) menunjukkan pada tahun lepas, negara hanya merekodkan kadar kitar semula pada 31.52 peratus sedangkan kebanyakan negara maju mencatatkan sekurang-kurangnya 60 peratus. 

Lebih merugikan, angka itu turut bermakna Malaysia kehilangan kira-kira RM476 juta setahun dalam konteks pendapatan negara kerana sumber kitar semula adalah satu industri bernilai tinggi.

Menurut JPSPN, bahan kertas merupakan sisa terbuang paling banyak di tapak pelupusan, iaitu kira-kira 17 peratus yang boleh menyumbang sekitar RM205 juta kepada pendapatan negara.

Bahan kitar semula kedua terbesar yang 'dibazirkan' di tapak pelupusan sampah adalah plastik, iaitu sekitar sembilan peratus dengan potensi pendapatan RM163 juta.

Gambar Hiasan, Unsplash
Gambar Hiasan, Unsplash

 

MEMBIMBANGKAN

Pakar melihat senario itu - kadar pembuangan sampah di tapak pelupusan dan kegagalan mengitar semula sisa buangan - sebagai sesuatu yang membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius agar masalah berkenaan tidak memburukkan lagi isu pengurusan sisa pepejal di negara ini.

“Isu ini membimbangkan kerana populasi negara semakin meningkat dengan data terkini menunjukkan pertumbuhan populasi dianggar 2.4 peratus atau 600,000 orang setahun, bermakna lebih banyak sampah akan dihasilkan.

 "Keadaan ini akan memburukkan lagi situasi sedia ada. Apatah lagi data terbaharu menganggarkan sebanyak 14 juta tan sampah setahun akan dikutip sepanjang 2022 atau hampir 40,000 tan sehari dengan anggaran 95 peratus daripada sisa pepejal yang dikutip dilupuskan di tapak pelupusan,” kata Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman kepada Bernama. 

Laporan media mengenai Data Penjanaan Kutipan Sampah jelas menunjukkan berlaku peningkatan ketara penghasilan sisa oleh penduduk negara ini dalam tempoh lima tahun lalu, iaitu pada 2018 sebanyak 36,843 tan sampah dihasilkan sehari, manakala pada 2019 meningkat kepada 37,462  tan yang bertambah kepada 38,081 tan pada 2020.

Sementara itu pada tahun lepas, sebanyak 38,699 tan sampah harian dikutip dan untuk tahun ini, dianggar 39,936 tan sampah dihasilkan setiap hari. 

Menurut Haliza, tambah memburukkan keadaan ialah peningkatan besar sisa perubatan, iaitu pelitup muka dan kit ujian kendiri COVID-19 yang menjadi sampah “baharu” kerana tidak lagi dilupuskan sebagai sisa buangan klinikal, sebaliknya hanya sebagai sampah domestik.

Gambar Hiasan, Mohd Azim Abd Rahman
Gambar Hiasan, Mohd Azim Abd Rahman

Peningkatan sampah juga disumbangkan oleh beberapa kejadian bencana alam, misalnya pada penghujung Disember 2021 beberapa negeri dilanda musibah banjir yang mengakibatkan banyak kerosakan. Keseluruhan, sebanyak 82,850 tan sisa pepejal dikutip dari enam negeri yang terjejas itu.

Mengulas lanjut, pakar tadbir urus persekitaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata sampah yang dibuang secara semberono oleh segelintir masyarakat atau dilupuskan secara haram oleh pihak tertentu, boleh menyebabkan sistem perparitan tersumbat, sekali gus berpotensi mengakibatkan banjir.

“Ditambah pula keadaan cuaca buruk akibat perubahan iklim sekarang yang boleh menyebabkan banjir kilat berlaku dengan lebih kerap,” ujar beliau.

 

SUKAR CAPAI SASARAN 

Katanya melihat pada situasi semasa, beliau berpandangan sukar bagi negara mencapai sasaran 40 peratus kadar kitar semula dalam tempoh tiga tahun lagi.

Ini kerana kata beliau, berdasarkan trend masyarakat dalam membudayakan kitar semula dan disokong oleh kajian yang dilakukannya, tempoh tiga tahun yang berbaki itu tidak cukup untuk negara mencapai sasaran tersebut sekiranya tiada langkah progresif dan komitmen daripada semua pihak.  

 “Kalau kita lihat kembali trend kitar semula masyarakat negara ini, didapati perkembangannya agak perlahan. Contohnya, untuk mencapai 31.52 peratus kadar kitar semula negara pada tahun lepas sahaja mengambil masa 21 tahun selepas kempen dilancarkan kembali pada 2000.

“Peningkatan ini pun saya percaya disumbangkan oleh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana sepanjang tempoh itu ramai yang ada masa untuk mengitar semula. Berdasarkan kajian, saya dapati kesedaran masyarakat sudah ada, namun ramai yang tidak berminat mengamalkannya atas faktor tidak ada masa,” jelas beliau.

Gambar Hiasan, Unsplash
Gambar Hiasan, Unsplash

 

ADA KESEDARAN, TIADA KOMITMEN 

Bagi mengukur tahap kesedaran masyarakat khususnya belia dalam aspek penjagaan alam sekitar, kerajaan menjalankan kajian “Kesedaran Belia Dalam Penjagaan Alam sekitar” yang bermula pada April 2018 dan dijadualkan selesai pada akhir bulan ini, melibatkan 384 responden dalam kalangan belia berusia 15 hingga 30 tahun di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dapatan awal kajian menunjukkan tahap kesedaran tentang kepentingan pengurangan sisa ke tapak dan impaknya terhadap penjagaan kelestarian alam adalah tinggi dengan 94.5 peratus responden faham mengenai isu itu.

Namun 40 peratus responden memberikan alasan kekangan masa dan kesibukan sebagai faktor utama mereka tidak mengitar semula sisa yang boleh dijana semula. 

Hal ini bukan sahaja satu pembaziran komoditi yang berpotensi menyumbang kepada ekonomi negara tetapi juga meningkatkan kos pengurusan sampah.

Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), kerajaan membelanjakan RM1.9 bilion setahun bagi kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sejak 2015.

Mengulas perkara itu, Haliza berkata seiring peningkatan sampah, kos pengurusan juga bertambah dan pada masa sama negara sudah tidak mempunyai tanah yang sesuai untuk dijadikan tapak pelupusan baharu, khususnya di kawasan bandar. 

Gambar Hiasan, Unsplash
Gambar Hiasan, Unsplash

“Setiap tapak pelupusan sampah (yang ada) ini hanya boleh digunakan dalam tempoh 15 hingga 20 tahun sahaja, dan selepas itu tidak boleh digunakan lagi kerana keadaan kawasan yang tidak stabil itu menyimpan banyak bahan kimia, sekali gus menyebabkan perlu cari tanah baharu... bertambah lagi kos,” katanya.

Buat masa ini terdapat 147 tapak pelupusan sisa pepejal yang masih beroperasi di negara ini  termasuk 14 tapak sisa pepejal sanitari. 

Jelas Haliza lagi, berikutan jumlah tapak pelupusan sanitari tidak sampai 20 tapak, negara perlu mengurangkan kebergantungan pada kaedah pelupusan sisa ke tapak yang pada masa ini mencecah 95 peratus.

 

AKTA ‘SENDU’?

Haliza yang juga Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM, berkata antara kesan terhadap alam sekitar sekiranya sisa pepejal tidak diuruskan dengan lebih baik ialah penghasilan lebih banyak gas rumah hijau.

Ini seterusnya menyumbang kepada pemanasan global dan perubahan iklim yang mendorong kepada cuaca ekstrem seperti hujan lebat dan kejadian ribut.

Tambahnya lagi, tapak pelupusan sampah turut membebaskan gas metana yang 20 kali ganda lebih berbahaya berbanding gas karbon dioksida, sekali gus memberi kesan kepada iklim dunia.

Pada masa sama, pencemaran air disebabkan peresapan 'leachate' (air larut resapan) ke dalam sumber air bawah tanah turut berlaku selain pelbagai masalah pencemaran seperti bau serta punca penularan penyakit seperti denggi.

“Air larut resap mengandungi bahan-bahan pencemar bertoksik serta pelbagai logam berat seperti kadmium dan seharusnya diuruskan secara sistematik kerana boleh mencemari sungai yang menjadi sumber bekalan air dan membebaskan bahan seperti ammonia,” jelas beliau lagi.

 Sehubungan itu kata Haliza, impak pengurusan sisa pepejal yang tidak lestari ini tidak boleh dipandang remeh, sama ada oleh kerajaan mahupun masyarakat, kerana kegagalan berbuat demikian sudah pasti mengundang malapetaka dan kesan buruk terhadap keselamatan serta kesihatan awam dan alam sekitar.

Mengulas lanjut, Haliza turut mempersoalkan keberkesanan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang dilihat beliau semakin 'sendu' kebelakangan ini. 

Gambar Hiasan, Unsplash
Gambar Hiasan, Unsplash

Akta itu yang dikuatkuasakan bermula 1 Sept 2015, mewajibkan pengasingan sisa di peringkat awal dengan setiap isi rumah serta pemilik perniagaan mengasingkan sisa di rumah dan di premis masing-masing.

Namun selepas hampir tujuh tahun pelaksanaannya, Haliza berkata akta itu tidak begitu membantu meningkatkan kadar peratusan kitar semula, malah ada yang mula ‘lupa’ mengenai akta tersebut apabila kempen berkaitan dengannya tidak lagi ‘semeriah’ sewaktu akta diperkenalkan. 

 

PENGUATKUASAAN LONGGAR

Beliau berkata antara faktor utama Akta 672 dilihat kurang berkesan ialah penguatkuasaan yang masih longgar, iaitu sampah domestik tetap dikutip walaupun sebahagian masyarakat gagal mengasingkan sampah mereka.

Denda yang rendah juga dilihat menyumbang kepada “kegagalan” Akta 672.

“Di bawah akta ini, denda kompaun maksimum hingga RM1,000 boleh dikenakan berdasarkan kepada jenis premis jika penghuni ingkar mengasingkan sisa pepejal.

“Namun jika rakyat Malaysia mempunyai pengetahuan, amalan dan sikap yang positif terhadap alam sekitar, terutama berkaitan penjanaan dan pengurusan sisa pepejal, bentuk hukuman seperti denda, sama ada tinggi atau rendah,  tidak menjadi isu besar. Kepatuhan kendiri bergantung pada individu, bukan jumlah denda yang dikenakan,” katanya.

Selain itu kata Haliza, hingga kini,  Akta 672  juga hanya berkuat kuasa di tujuh negeri, dan sebaiknya penguatkuasaan akta tersebut diperluas ke seluruh negara.

Hingga kini lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor, Perak dan Pulau Pinang masih belum menandatangani Perjanjian Pengurusan Sistem Pepejal dan Pembersihan di bawah Akta 672.

 

GIATKAN PENDIDIKAN 

Sekalipun tempoh yang berbaki hanya tiga tahun untuk negara mencapai sasaran 40 peratus kitar semula, masih ada ruang bagi pihak berwajib meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu alam sekitar menerusi amalan 3R (reuse, recycle and reduce - guna semula, kitar semula dan kurangkan pembuangan sisa), terutama dalam kalangan generasi muda. 

Gambar Hiasan, Unsplash
Gambar Hiasan, Unsplash

Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial, UPM Prof Dr Ismi Arif Ismail mencadangkan agar program pendidikan kitar semula dan pengasingan sisa pepejal serta 3R  diperkasakan di peringkat sekolah serta lokaliti seperti melalui aktiviti persatuan penduduk.

Tambahnya, ibu bapa dan golongan dewasa seharusnya menunjukkan teladan yang menyokong amalan ini terlebih dahulu agar boleh dicontohi oleh golongan muda dan kanak-kanak.

“Selain itu, pertandingan yang menggalakkan budaya kitar semula serta program penghargaan bagi anak muda dan kanak-kanak yang berjaya mengamalkan pengasingan sisa, perlu diarusperdanakan agar menjadi contoh supaya lebih ramai mengamalkan budaya ini secara sukarela.

“Insentif seperti hadiah, pingat dan sebagainya pula boleh menjadi pemangkin kepada usaha murni ini. Liputan media secara meluas melalui pelbagai platform amat perlu bagi mengukuhkan gerakan kitar semula dan pengasingan sisa pepejal serta 3R ini di pelbagai peringkat masyarakat, di dalam dan luar bandar serta merentas etnik, budaya dan latar belakang ekonomi,” katanya.

Beliau turut berpandangan penjanaan pendapatan sampingan melalui amalan kitar semula dan pengasingan sisa pepejal merupakan satu bentuk insentif yang baik bagi menggalakkan budaya itu menjadi amalan yang lestari dalam kalangan masyarakat.

Pelaksanaan langkah seperti ini penting bagi memberikan galakan kepada semua ahli masyarakat untuk melihat amalan tersebut secara positif serta mendapat manfaat daripadanya, tambah beliau. - Bernama

Isu Pada

NFT, Seni Atau ‘Scam’? Bersama Ghazi Maslan

12 Mar 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 19 jam yang lalu

Hina Agama Hindu: Zamri Vinoth Harus Segera Dihukum - MIC

2

Semasa 1 hari yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

3

Sukan 2 hari yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

4

Semasa 5 hari yang lalu

Malaysia Hantar 100 Kontena Bantuan Ke Gaza

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok