Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Melakar Memori Di Tanah Istana

Terrapuri yang membawa maksud ‘Tanah Istana’ ini sesungguhnya membawa pengunjung merentasi masa. Bercuti di sini bermakna anda sudah bersedia melarikan diri daripada rutin harian yang membosankan.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 07 Nov 2021 2:20PM

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Pertama kali penulis menjejakkan kaki ke Terrapuri Heritage Village adalah kira-kira 10 tahun yang lalu. Ketika itu, tetamu masih belum boleh bertandang.

Kerja-kerja memperindahkan setiap vila dan persekitaran masih giat dijalankan. Namun, hati sudah tertawan. “Suatu hari nanti aku pasti kembali” – kata-kata itu yang terlintas di fikiran.

Namun, hasrat itu tertangguh sekian lama sehinggalah baru-baru ini apabila pemilik Terrapuri Heritage Villlage menghantar undangan untuk penulis menikmati percutian lima hari empat malam di resort yang tersergam indah di tepian Laut China Selatan ini. 

Sebaik menjejak kaki di sini, hati cukup teruja untuk mengintai setiap inci ‘permata’ pelancongan yang terletak di Kampung Mangkuk, Penarik, Setiu, Terengganu.

Terrapuri yang membawa maksud ‘Tanah Istana’ ini sesungguhnya membawa pengunjung merentasi masa.

Bukan ke masa hadapan, tetapi kembali ke ratusan tahun dahulu, zaman kegemilangan kesultanan Melayu atau lebih tepat lagi Kerajaan Melayu Purba Langkasuka yang terkenal dengan Hikayat Merong Mahawangsa.

Bercuti di sini, bermakna anda sudah bersedia melarikan diri daripada rutin harian yang mungkin membosankan.

Lupakan bebanan tugas di pejabat buat seketika dan hanyutkan diri dalam suasana perkampungan yang cukup mengasyikan.

Bukan sebarang kampung, tetapi kampung teragung yang menghimpunkan khazanah Melayu.

Ini adalah lokasi persembunyian paling sempurna. Tiada televisyen, tiada kemudahan WIFI, malah liputan rangkaian telefon juga sangat terhad.

Terletak di atas tanah seluas hampir empat hektar, Terrapuri Heritage Village menempatkan 29 buah rumah Melayu lama yang diambil dari seluruh pelusuk negeri Terengganu.

Setiap rumah ini punya kisah tersendiri dan ia dinamakan mengikut lokasi asalnya seperti Seberang Takir, Paloh, Pulau Musang, Kedai Buluh, Binjai, Sungai Mas, Pengkalan Kubu, Dusun dan Nibong.

Setiap rumah masih menggunakan peralatan-peralatan lama bagi mengekalkan ciri-ciri tradisional.

Begitu juga dengan dekorasinya. Semua alatan atau perhiasan yang ada di dalam setiap rumah adalah barang-barang asal yang ada di rumah terbabit.

Biarpun turut diberi sentuhan moden untuk keselesaan tetamu seperti memasang pendingin hawa dan kamar mandi yang dilengkapi dengan  pemanas air, tetapi ciri-ciri tradisionalnya lebih menyerlah. 

Penulis cukup seronok tidur berkelambu sambil ditemani bunyian cengkerik yang riang menyanyi.

Kokokan ayam mengejutkan tidur yang lena. Indah dan permai. Menjenguk ke luar jendela, fikiran terus melayang. Indahnya pagi, damainya suasana.

Semua nikmat ini sukar diperolehi di kediaman sendiri, hutan batu.

Sepanjang lima hari di sini, tidak pernah sekalipun penulis melepaskan waktu pagi tanpa menyaksikan keindahan matahari terbit di persisiran pantai. Indahnya bukan kepalang!

Jutaan terima kasih penulis ucapkan kepada pemilik resort ini, Alex Lee Yun Ping, 53, atas penat jerihnya membangunkan sebuah perkampungan cukup unik ini.

Biarpun dia bukanlah berdarah Melayu, tetapi jiwanya bagaikan menyatu dengan warisan budaya Melayu yang semakin hilang ini.

 

Proses yang panjang, berhabis jutaan ringgit

“Untuk merealisasikan resort ini ia adalah satu perjalanan yang panjang. Malah, ada yang menganggap saya ‘gila’. Keluarga saya sendiri hairan mengapa saya hendak buat bisnes yang tidak nampak di mana keuntungannya.

“Tapi saya nekad, saya mahu memelihara khazanah warisan bangsa. Bukan mudah, kerana proses untuk mencari, membeli rumah dan mendapatkan tanah ini memerlukan usaha, semangat dan juga wang.

“Tapak resort ini hanya berjaya dibeli selepas saya berjaya mengumpul beberapa buah rumah.

“Memandangkan rumah-rumah tradisional ini dibina tanpa menggunakan paku, jadi keseluruhan struktur boleh dileraikan dan dipasang semula. Saya simpan di belakang rumah saya sahaja.

“Satu kelebihan rumah-rumah ini ialah proses penyimpanannya tidak rumit kerana ia dibuat menggunakan kayu mahal, kayu cengal. 

“Apabila tiada lagi ruang penyimpanan, pada tahun 1997, saya mula dirikan tiga buah rumah di tanah milik ayah saya di Marang, tetapi ia terbiar begitu sahaja kerana lokasinya kurang sesuai, jauh daripada pantai.

“Saya teruskan usaha mencari tanah yang diidamkan, dan akhirnya pada 2005, saya dapat membeli tanah ini dan bermulalah projek yang dianggap luar biasa ini,” ujar Alex yang sudah membelanjakan jutaan ringgit untuk ikon pelancongan Terengganu ini. 

Tambah Alex lagi, kebanyakan rumah yang dibeli bukanlah sempurna, sebaliknya sudah rosak lebih 50 peratus dan pasukannya perlu membaik pulih ke rupa bentuk asal dengan menggunakan lebihan kayu-kayu rumah yang telah dibeli.

Antara bahagian yang perlu diganti baru ialah atap, dinding dan pintu. Selain itu, Alex juga mendedahkan bukan mudah untuk mendapatkan setiap rumah kerana ada waris yang tidak mahu melepaskan biarpun rumah itu sudah terbiar usang. 

“Ada pewaris yang tidak mahu menjual rumah walaupun rumah terbabit tidak lagi berpenghuni dan terbiar. Saya perlu ulang-alik berjumpa mereka selama beberapa tahun untuk memujuk dan yakinkan ia untuk tujuan pemuliharaan. 

“Selain itu, saya juga perlu tawarkan harga yang lebih tinggi,” kongsi Alex yang menjelajah ke seluruh pelusuk Terengganu untuk mengumpul pelbagai jenis rumah tradisional ini seperti Rumah Bujang, Rumah Tiang 12 dan Rumah Tiang Berserambi.

Sepetang bersama Alex, membuka mata dan minda penulis tentang betapa hebatnya seni bina orang Melayu dahulu kala. Cuma generasi kita yang enggan mengambil tahu. Setiap ukiran punya makna tersirat, setiap binaan punya tujuan tertentu. 

Banyak lagi kisah yang dikongsi Alex sehingga penulis khusyuk mendengar. Daripada kisah tiang seri sehinggalah kisah bagaimana beberapa pihak dari luar negara tampil ingin membeli Terrapuri untuk dibawa pulang ke negara asal mereka.   

Jika anda mendambakan sebuah percutian eksotik, damai mempesona, Terrapuri Heritage Village adalah jawapannya.

Resort terjemahan Istana Terengganu pada era Sultan Mansur Shah ke- 2, juga Kesultanan Kelantan dan Patani ini bakal membawa anda mengembara ke satu dunia yang tidak mungkin ada di tempat lain.

Selain terbuai dengan keindahan pantainya, anda juga akan tenggelam dengan keheningan suasana. Tidak ketinggalan, santapan yang terhidang cukup memikat selera! - Getaran, 7 November 2021

Gambar: Rahayu MN

Isu Pada

Langkah Kanan Nadhir Nasar & Nabil Aqil

06 Nov 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 4 hari yang lalu

Polis Kesan Guru Lelaki Cederakan Rakan Setugas

2

Kisah Kita 2 minggu yang lalu

Anak Muda Gigih Bersihkan Pantai, Sungai Kotor Di Terengganu

3

Kisah Kita 1 bulan yang lalu

Tradisi Ketuk Genta Di Terengganu Diteruskan Sepanjang Ramadan

4

Semasa 1 bulan yang lalu

Atlet Silat SUKMA Terengganu Maut Terkena Sepakan Lawan

Sorotan

1

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini