Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Ke Garisan, Sedia, Mula! - Kisah Pandemik Dan Pelari Maraton Tegar

Sejak pandemik COVID-19 melanda, ramai penggemar acara larian yang rindukan aktiviti berkenaan. Kami dekati tiga orang peserta tegar acara larian untuk mengetahui perasaan mereka.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 09 Oct 2021 8:59AM

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Acara larian dan maraton sememangnya tersenarai di antara aktiviti riadah yang sangat digemari oleh ramai orang di seluruh dunia. Ini kerana, secara umum ia dianggap aktiviti senaman yang paling mudah untuk dilakukan.

Berlari tidak memerlukan penyertaan mana-mana kelab khas ataupun peralatan yang terlalu rumit. Cukup dengan sepasang kasut larian serta pakaian yang bersesuaian.

Oleh itu acara larian dan maraton menjadi satu wadah buat ramai penggemar aktiviti ini untuk sama-sama berkongsi pengalaman masing-masing selain berkenalan dengan rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama.

Malah acara larian begitu diminati sehingga pelbagai program larian serta maraton yang diadakan di seluruh dunia, lantas ramai yang sanggup menabung untuk menjadikan acara-acara seperti ini sebagai alasan untuk melancong.

Namun sejak pandemik COVID-19 bermula, aktiviti ini telah dihentikan buat sementara demi keselamatan semua.

Kami mendekati tiga orang pelari tegar tempatan yang sering mengambil bahagian dalam acara larian dan maraton untuk mengetahui perasaan mereka setelah lama tidak dapat melakukannya. 

 

Max Lim, Penulis Blog Larian di runwitme.blogspot.com

Bagi Max Lim (40-an) seorang penulis blog yang gemar berlari, dirinya mula jatuh cinta dengan larian sejak tahun 2000 lagi. 

“Saya telah mula menulis blog larian Runwitme pada tahun 2004 lagi tetapi sekarang saya lebih aktif di Instagram

“Dulu saya memang rajin bermaraton tapi sekarang saya lebih suka larian santai 5-10km untuk menikmati suasana dan pemandangan di sepanjang laluan larian,” katanya membuka bicara. 

Max juga menyatakan bahawa sejak pandemik melanda, dirinya merasa bosan!

Sebelum pandemik, jadual lariannya memang penuh di setiap hujung minggu. Kadangkala sampai tiga acara berturut-turut untuk disertai.     

“Oleh kerana ketiadaan acara larian, saya ubahkan fokus saya kepada run-streaking – atau berlari tanpa ponteng setiap hari. Saya cuba berlari sekurang-kurangnya 3km setiap hari. Pada hujung minggu pula saya tambahkan jarak ke 10km ke atas,” jelasnya.      

Menurut Max, acara maraton atau larian ini bukanlah hanya tertumpu pada hari perlumbaan sahaja. Persiapan dan latihan harus dilakukan berminggu, malah berbulan sebelum hari perlumbaan. 

“Di kala pandemik, semua acara larian telah dibatalkan atau ditunda ke satu tarikh yang belum ditetapkan lagi.

“Saya rindukan persiapan yang saya perlu lakukan untuk sesuatu acara larian. Sekarang saya cuma berlari sekadar suka-suka tanpa apa-apa acara untuk dijadikan sasaran latihan.

“Saya juga rindu membuat roadtrip bersama teman-teman lari untuk ke acara larian luar Kuala Lumpur yang suasananya amat berbeza dengan Kuala Lumpur.

“Sebagai contoh, Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah di Kuala Kangsar, Alor Setar Half Marathon dan The Magnificent Merapoh Trail,” tambahnya lagi.     

Bagi Max semestinya acara maraton yang dia rindui serta nanti-nantikan adalah acara maraton terbesar di Malaysia iaitu KL Standard Chartered Marathon.

“Kalau untuk luar negara pula saya sangat merindui Gold Coast Marathon kerana suasananya yang menarik,” tambahnya. 

Max mengakui bahawa motivasi utamanya kala menyertai acara ini adalah untuk gaya hidup yang sihat and run-cation (melancong untuk berlari).

Saat ditanya harapannya buat aktiviti serta acara larian pada masa hadapan, dia berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membenarkan acara larian dianjurkan kembali. 

“Mungkin boleh anjurkan acara rintis seperti mana 'gelembung pelancongan' untuk menguji keberkesanan SOP (Prosedur Operasi Standard) dan merancakkan semula industri larian yang hilang ekoran pandemik COVID-19. 

Penganjur-penganjur larian dan para pembekal mereka telah hilang punca mata pencarian sejak Mac 2020. Di luar negara, acara larian Berlin Marathon sudah dianjurkan kembali, setelah dibatalkan tahun lepas akibat COVID-19. 

“Antara langkah-langkah keselamatan yang telah diambil seperti menghadkan jumlah peserta, membenarkan hanya peserta yang sudah lengkap vaksin, sembuh dari COVID-19 atau negatif ujian PCR untuk mengambil bahagian dan penggunaan pelitup muka semasa menunggu pelepasan larian,” sarannya sambil menutup bicara. 

 

Razif Yahya, Penolong Kanan Pengarah Kastam, Kastam Diraja Malaysia

Mula berlari pada tahun 2009, Penolong Kanan Pengarah Kastam, Kastam Diraja Malaysia, Razif Yahya (49) mengakui dia mula rindu dengan acara yang menuntut stamina dan komitmen tinggi ini. 

Sebelum acara ini direhatkan gara-gara pandemik COVID-19, boleh dikatakan semua acara larian disertainya, termasuklah larian maraton jalan raya, larian ultra maraton jalan raya, larian gunung (climbathon), larian denai maraton dan larian denai ultra maraton.

Kecintaan pada dunia maraton membuatkan dia sering mencabar diri sendiri untuk pergi lebih jauh biarpun pada asalnya dia menyertai maraton dengan niat untuk menurunkan berat badan. Sehingga kini, Razif sudah menamatkan 64 larian maraton serta ultra maraton. 

Antara acara maraton yang pernah disertai ialah Standard Chartered Singapore Marathon 2010, Sundown Ultramarathon Singapore 2013, Brussel Marathon 2014 dan Coast to Coast 2019 yang merentasi 444km, bermula dari Lumut, Perak hingga ke garisan penamat di Kuala Terengganu, Terengganu. 

“Acara maraton yang tidak boleh saya lupakan ialah Berlin Marathon 2012, iaitu seminggu selepas menamatkan larian Ultra Marathon jalan raya pertama saya yang berjarak 160km di Singapura.

“Ramai yang mengatakan larian maraton back to back adalah sukar dilakukan, walau bagaimanapun saya berjaya menamatkan larian dengan catatan masa yang bagus iaitu 3 jam 53 minit.”

“Kini sudah hampir dua tahun tak berlari dalam mana-mana acara, tapi sebab hendak hilangkan gian, saya sertai acara larian secara virtual.

“Pada peringkat awal pandemik, kita tidak dibenarkan beraktiviti di kawasan awam, jadi saya telah ambil pendekatan berlari di sekeliling kawasan rumah.

“Jarak marathon 42.2km merupakan jarak terjauh larian di rumah dengan catatan masa 7 jam,” kongsi Razif ketika dihubungi baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, pencinta maraton ini turut meluahkan harapan agar acara maraton dapat dijalankan pada masa akan datang.

Dia yakin dan percaya jika pihak penganjur dan peserta mematuhi semua SOP COVID-19 dan peserta lengkap divaksinasi, risiko penularan COVID-19 boleh dikurangkan. 

“Ini telah dibuktikan oleh penganjuran acara maraton antarabangsa seperti Berlin Marathon 2021 yang melibatkan seramai 24,796 peserta dari 139 negara.

“Penganjur hendaklah memastikan penganjuran adalah selamat, selaras dengan SOP COVID-19 yang dikeluarkan oleh KBS dan MKN,” ujarnya.

 

Sarjan Shaharudin Hashim (Coach Din), Pegawai Polis Diraja Malaysia

Sarjan Shaharudin Hashim (46) mula berjinak dalam dunia larian maraton pada 2002 semasa acara Penang Bridge Marathon.

Seterusnya, Shaharudin memenangi kejohanan maraton peringkat kebangsaan pertamanya pada 2003.

Masih setia menyarung pakaian seragam polis, Shaharudin berbangga mewakili Malaysia sebagai Atlet Lari Jarak Jauh, bertanding di Sukan Asia Tenggara 2007 di Korat, Thailand.

Dia juga pernah menyertai dan memenangi banyak acara maraton di seluruh dunia.

Antaranya, Kenya (Standard Chartered 2004), Hong Kong (Standard Chartered 2006-2013), Korea Selatan (Pyongyang Marathon 2007), China (Xiaming International 2009) dan akhir sekali Jepun (Tokyo Marathon 2016) sebelum pandemik melanda dunia pada 2020.

“Bagaimana saya mengubati kerinduan untuk bermaraton sepanjang pandemik ini? Saya lakukan senaman kardio dan smart running,” kata Shaharudin yang turut dikenali sebagai Coach Din.

Bila ditanya tentang harapannya untuk acara maraton pada masa akan datang, Shaharudin mengharapkan supaya Malaysia melahirkan lebih ramai pelari-pelari berkualiti di masa hadapan.

Jurulatih kecergasan peribadi ini turut mengharapkan pihak penganjur acara-acara maraton di masa hadapan apabila pihak kerajaan sudah membenarkan acara maraton ini berlangsung nanti supaya mengutamakan SOP.

“Saya harap penganjur akan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. Saya turut berharap supaya rakan-rakan dan pelari-pelari lain secara amnya dapat menyertai lebih banyak larian maraton di negara kita, tanpa mengira sama ada larian maraton 10km mahupun 21km,” ucapnya. - Getaran, 9 Oktober 2021

Semua gambar: Ihsan semua pelari

Isu Pada

Ummi Nazeera: Tak Pernah Berhenti

09 Oct 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 hari yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

2

Sukan 1 hari yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

3

Semasa 5 hari yang lalu

Malaysia Hantar 100 Kontena Bantuan Ke Gaza

4

Sukan 6 hari yang lalu

Oman Beri Harimau Malaya Kekalahan Pertama

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok