Berita Terkini

4 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 1 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019 2 minggu yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff.

IKUTI KAMI


Misi Mencari Jati Diri Alyph

Bintang kelahiran Singapura, Alyph berkongsi tentang keistimewaan projek terbaharunya dalam pencarian jati dirinya sebagai seorang insan seni.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Sep 2021 9:04AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Dari dahulu lagi, Malaysia sering menjadi tapak buat ramai karyawan seni dari seberang tambak untuk berkarya dan mencipta nama. Kebanyakan bintang-bintang kelahiran kota Singa ini biasanya bercambah menjadi lebih baik selepas menyemai kerjaya di sini. 

Dari nama-nama legenda seperti Ramli Sarip, M. Nasir dan Ramli M.S. sehinggalah nama-nama yang lebih baharu masa kini seperti Hannah Delisha, Aisyah Aziz, Hisyam Hamid serta ramai lagi, semuanya pernah mengecap kejayaan di Malaysia.

Tidak terkecuali dari senarai ini adalah Muhammad Alif Abdullah yang lebih dikenali sebagai Alyph.

Memulakan kerjaya seninya lewat kumpulan SleeQ yang dianggotai oleh sepupunya Syarif dan dirinya sendiri, mereka pernah mencipta fenomena tersendiri dalam muzik R&B dan hip hop di Malaysia serta Singapura tidak lama dahulu.

Namun itu kisah lama. Setelah mereka beranjak dewasa dan mengambil haluan hidup masing-masing, Alyph mengorak langkahnya sendiri dan terus mengejar cita-citanya untuk tetap menjadikan muzik sebagai mata pencariannya yang utama.

Berkat usaha yang gigih, Alyph berjaya memahat nama menjadi seorang penyanyi dan juga pencipta serta penerbit lagu yang disegani.

Malah Alyph adalah nama penting di sebalik kejayaan lagu-lagu hebat seperti 'Bukan Hal Aku' oleh Kaka Azraff, 'Mimpi' oleh K-Clique serta banyak lagi lagu hit genre yang sama.

Alyph juga sudah berkolaborasi dengan nama-nama terbesar hip hop serantau seperti Joe Flizzow, SonaOne dan ramai lagi. Kini pada tahun 2021, bintang yang juga seorang ayah muda ini masih belum mengenal erti penat lelah.

Baru sahaja tampil dengan sebuah projek EP berjudul III/III (Three of Three atau Tiga Pertiga dalam Bahasa Melayu) Alyph berkongsi dengan saya tentang keistimewaan projek ini dan rancangannya yang menanti.

“Selepas menandatangani kontrak bersama Def Jam Southeast Asia, pada tahun 2019, saya sebenarnya telah mengambil keputusan untuk berehat seketika. Kala itu, saya sudah mula merasa sangat penat dan seperti tidak dapat meneruskan lagi kerana bekerja tanpa henti. 

“Lantas saya benar-benar berehat seketika biarpun pada mulanya keputusan tersebut tidak disetujui oleh pihak pengurusan dan syarikat rakaman saya, namun saya bertegas dengan langkah tersebut.

“Walau bagaimanapun kita hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukan. Selepas berehat selama tiga bulan, dunia kemudian dilanda wabak COVID-19 dan seperti orang lain banyak perkara dalam hidup terjejas,” ujar Alyph memulakan wawancara. 

Dia kemudian menjelaskan bahawa dia berfikir yang dirinya boleh terus melepak dan berehat di rumah sewaktu pandemik. Ternyata jangkaannya meleset jauh.

“Saya mula sedar bahawa saya harus lebih fokus kepada diri sendiri kerana sebelum ini saya hanya memikirkan projek orang lain dan tidak menghiraukan keadaan diri sendiri.

“Mula-mula saya fikir semuanya okey tapi lama-lama saya sedar ada yang kurang.

“Saya tak berikan perhatian pada diri dan kerjaya sendiri. Saya tidak beritahu sesiapa pun secara umum namun saya mengetahuinya ketika itu.

So I took that short break. Saya fikir dalam berehat, saya boleh tengok TV, baring dan makan sepanjang hari.

“Tapi rupa-rupanya melepak terlalu lama juga membosankan sehingga akhirnya saya tidak dapat lari dari minat saya untuk menerbit dan membuat lagu,” tambahnya sambil ketawa.

Itu sebenarnya perkara biasa bagi mereka yang cintakan kerjaya mereka. Dan Alyph membuktikannya. Dalam tempoh berehat tersebut dia sempat melahirkan projek bersama Ismail Izzani dan juga Joe Flizzow.

“Namun dalam saya sibuk berkarya untuk orang lain seperti biasa, saya kemudian mendapat satu kesedaran yang lebih besar.

“Tika mencari diri sendiri seperti yang saya sebutkan semasa mula berehat itu, saya gagal menjawab pertanyaan yang sering saya ajukan kepada artis yang menggunakan khidmat penerbitan dan penciptaan lagu saya.

What kind of artiste are you or what kind of artiste do you want to be? Itu persoalan yang kerap saya tanyakan pada semua artis yang mahukan lagu daripada saya.

“Apa yang ingin mereka tampilkan kepada pendengar muzik dan siapa diri mereka sebagai seniman?” Alyph bertanya sewaktu diwawancara.

Ternyata itulah soalan yang paling sukar untuk dijawab sendiri biarpun sudah sering dia tanyakan kepada orang lain.

“Setiap kali saya menghasilkan sesuatu untuk seseorang artis, saya bukan hanya memberikan lagu, saya akan bimbing sehingga ke hujung. Pakej. Sehingga imej dan video muzik, semuanya saya berikan nasihat.

“Sungguhpun begitu, saya sendiri gagal menemui jawapan untuk diri sendiri,” jawapnya lagi dengan senyuman.

Gara-gara itulah Alyph berfikir panjang tentang kerjayanya sendiri.

“Kali ini saya terpaksa mencari diri sendiri. Tiada pengurus atau wakil artis untuk memberitahu apa yang boleh dan tidak. Apa yang mereka mahu dan tidak. Semuanya harus saya fikirkan sendiri dan siapalah sangka, itu yang paling susah.

“Saya tahu saya tidak mahu hasilkan lagu yang sama untuk dua orang artis berbeza setiap kali.

“Saya sendiri pernah katakan yang semua artis harus ada imej tersendiri yang tidak boleh dicuri atau ditiru oleh sesiapa pun. Lebih penting lagi saya mahu memberi inspirasi pada orang lain. 

“Dari situlah lahirnya EP III/III. Ia sebenarnya permulaan saya berterima kasih pada diri sendiri sebagai seorang seniman. Ia membantu saya untuk mengingatkan diri saya sendiri tentang tujuan saya menjadi pemuzik. 

“Selama dua tahun selepas SleeQ, saya mengambil masa dalam misi mencari diri sendiri. Dan kini saya menemuinya melalui projek ini, selepas banyak menghasilkan projek orang lain. 

“Sebenarnya saya berhajat untuk menghasilkan sebuah album penuh selepas SleeQ, namun ia tidak menjadi kenyataan.

“Tetapi saya sempat menghasilkan dua buah mix tape semasa bergerak solo dan projek III/III ini boleh dianggap pelengkap untuk trilogi tersebut. 

“Apatah lagi saya peminat siri filem Star Wars dan filem tersebut sering dipakejkan dalam satu set bertiga. Idea trilogi itulah yang saya ikuti dalam menghasilkan lagu-lagu saya mengikut peringkat,” jelasnya panjang lebar.

Kata Alyph, semuanya harus ada permulaan, pertengahan dan penghujung. Berpandukan rujukan tersebut, dia berasa lebih mudah untuk dirinya merancang langkah seterusnya. 

“Pada saya, ini cara perancangan yang agak baik. Dengan rujukan ini saya dapat menghasilkan karya secara lebih konsisten dan berperingkat. Ia lebih sistematik dan mudah buat saya mengatur kerjaya,” tegasnya positif.

Alyph turut menambah bahawa dia percaya yang era menghasilkan satu lagu dalam satu tempoh lama atau single akan berlalu.

“Orang dah mula menggunakan ajnas peranti untuk menikmati hiburan, khasnya muzik. Jadi mereka akan mahu mendengar album penuh di telefon bimbit mereka.

“Ini bermakna para pemuzik harus membina katalog muzik mereka dan terus melahirkan karya baru sekerap mungkin. Jika tidak, mereka akan tewas kepada dunia media sosial dan menjadi influencer sahaja.  

“Pada saya jika peminat lebih teruja menanti foto dan video seseorang pemuzik di laman media sosialnya, itu tanda yang tidak baik kerana ia bermakna orang ramai sudah tidak menghiraukan hasil seninya.

“Padahal produk muziknya itulah identiti asal seorang pemuzik. Peminat seharusnya ternanti-nanti untuk mendengar karya muziknya yang terbaharu,” ujar Alyph lagi.

Menurut Alyph lagi, niatnya menjadi pemuzik bukanlah untuk mendominasi carta atau mengejar populariti semata-mata tetapi ada tujuan yang lebih besar.

“Saya ingin membangunkan muzik serantau. Saya ingin galakkan perubahan yang lebih baik.

“Kalau niat saya hanya untuk jadi juara carta dan terkenal, saya rasa sudah lama saya akan kecewa dan putus asa kerana tidak semua karya seseorang artis akan menjadi juara selamanya.

“Namun saya tahu semua itu tidak mudah. Untuk kekal konsisten dan terus berkarya di bidang seni memang kita perlukan motivasi dan untuk menjadikannya sumber pendapatan, ia memang memerlukan dedikasi yang tinggi.

“Kenyataannya ada ramai yang mencuba tapi masih belum berjaya atau sampai di tahap selesa. Saya memahami situasi itu kerana saya sendiri mula dari bawah dan pernah berada di titik itu,” jelasnya lagi.

Sungguhpun begitu Alyph tidak menafikan di situlah pentingnya peranan keluarga.

“Saya jujur mengatakan bahawa jika tidak ada sokongan dari keluarga saya, tidak mungkin saya akan sampai ke tahap ini.

“Keluargalah yang memberi keseimbangan pada kerjaya saya. Tanpa mereka, saya tidak ada reality check.

“Maklum sahajalah, dunia muzik dan hiburan ini boleh membuat kita hanyut dan alpa. Ramai terjebak dalam kealpaan itu kerana tidak ada bimbingan yang betul.

“Syukur keluarga saya senantiasa ada untuk mengingatkan saya tentang perkara-perkara ini. Saya bernasib baik kerana dibesarkan dengan penuh didikan oleh arwah ibu saya dan juga keluarga besar saya. 

“Saya yakin saya tidak mungkin akan menemui jati diri saya jika mereka tidak memberikan sokongan. 

“Dan ini sangat benar. Sebab itu pada saya, muzik dan keluarga sama pentingnya buat saya. Mereka saling melengkapi hidup ini. 

Saya harap para artis di luar sana, khasnya yang baru mahu menapak dalam arena seni menyedari hakikat itu dan tidak lupakan pentingnya sokongan serta doa keluarga dan sahabat handai,” bingkas Alyph menutup bicara. - Getaran, 18 September 2021

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Alyph

Pengarang Urusan : M. Zulkifli Abd Jalil

Teks & Penyelaras : Shah Shamshiri

Suntingan Teks: Ili Farhana 

Busana  : Ermenegildo Zegna

Jurugambar : Hans Goh

Pembantu Jurugambar : Glenn Goh

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi :  Singapura

Isu Pada

Misi Mencari Jati Diri Alyph

18 Sep 2021

Sorotan

1

Beberapa Kawasan Di Subang, Sungai Buloh Dilanda Banjir

2

Lee Akan Dilantik Sebagai Menteri Kanan Dalam Kabinet Baharu - Wong

3

Gangguan Kuasa Jejas Kekerapan Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya

4

KPWKM Bantu Wanita Didakwa Diberi Layanan Buruk Pegawai JKM - Nancy

5

Tiada Halangan MMC Jual Saham MMC Port, Namun Perlu Patuhi Dasar - Menteri

6

Rasionalisasi Subsidi Mampu Tangani Isu Ketirisan, Seludup Diesel - Pakar Ekonomi

7

Kolam Selam Tempur Kem Iskandar, Mersing Siap Jun - Onn Hafiz