Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Merdeka! Tapi Merdekakah Kamu?

Ada merdeka yang harus kita cari, tuntut atau harus kita terus jalani. Ini bukan lagi kisah tentang ibu pertiwi tetapi, tentang kita yang masih kekal terjajah tanpa kita sedari.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 29 Aug 2021 8:56AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tidak berapa lama lagi, negara kita Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-64 pembebasannya daripada sejarah penjajahan.

Bermula dengan panggilan Tanah Melayu, Malaya dan sehingga kini, Malaysia, pelbagai kejayaan, kemakmuran, cabaran dan dugaan kita laluinya sebagai bunga bangsa yang kekal mekar melestarikan wawasan negara. 

Kita semua hanya sekadar menumpang nikmat merdeka. Tidak perlu lagi mengusung senjata demi mempertahankan hak, jauh sekali berperang atau terkekang dengan penjajah yang bersifat ketuanan.

Umpama kata Kahlil Gibran, penulis, pemuisi Lebanon-Amerika (6 Januari 1883-10 April 1931), “Life without liberty is like a body without spirit” menyatakan betapa kebebasan itu adalah kunci mutlak kepada beban kekangan yang membatas.

Apalah ertinya andai zahir bebas lepas tetapi jiwa kedap berpasung berantai?

Kita beri laluan kepada mereka yang layak untuk berperi tentang Merdeka dan semangatnya. Tentang kepayahan, perjuangan, taburan jasa dan bakti yang kita warisi dan pusakai sehingga hari ini.

Ada merdeka yang harus kita cari, tuntut atau harus kita terus jalani. Ini bukan lagi kisah tentang ibu pertiwi tetapi, tentang kita yang masih kekal terjajah tanpa kita sedari. Ayuh kita...

 

MERDEKA DARI ZON SELESA

Usah terus pegun di aras atau kekal di zon selesa. Benar ia mungkin mencukupi atau kamu senangi tetapi andai terus-terusan terperuk sebegitu, ia akan mengekang potensi diri yang tidak pernah kamu terokai.

Wawasan hidup harus terus bercambah tidak berpenghujung. Jangan sekat atau menghadkan kemampuan gara-gara kamu merasa sudah cukup aman dan selesa.

Tingkatkan prestasi diri dengan mencabar keupayaan acapkali terbentang luasnya peluang baru. Jangan gentar untuk menjadi pejuang dalam hidup.

Usah fobia dengan kegagalan kerana ia adalah proses kematangan jiwa dan minda dalam beroleh kejayaan. Bangkit dan tinggalkan segera empuknya zon selesa demi menyahut cabaran, meraih kejayaan di hari muka!

 

MERDEKA DARI SIFAT NEGATIF

Apakah sifat yang menjajahi diri kamu sehinggakan kamu sering dijauhi oleh sesiapa pun? Nah, inilah sikap yang menjadi penjajah dan akhirnya membuatkan kamu terasing dan terhukum daripada menikmati kehidupan sosial yang indah dan bermakna. 

Buat soal selidik dengan sesiapa sahaja yang mengenali kamu. Senaraikan apakah sikap yang mereka kurang senangi yang ada pada diri kamu. 

Minta mereka bersikap jujur dan kamu pula haruslah menerimanya dengan hati terbuka. Ingat, hanya teman-teman yang ikhlas saja yang akan berperan bak cermin; mereka ikhlas membiaskan apa saja baik dan buruk tentang kamu. 

Usai mengenal pasti segalanya, ubahlah ia secara perlahan-lahan. Jadikan sifat negatif itu tawanan ‘perang jiwa’ kamu dan hapuskannya. Bina kembali sahsiah diri kamu dengan sifat-sifat indah, terpuji dan disenangi.

 

MERDEKA DARI IMEJ SILAM

Ia lebih kepada imej luaran dan personaliti. Layaknya dunia fesyen dan kosmetik, kedua-duanya terus berevolusi mengikut aliran dan keperluan setiap era.

Beranikan diri untuk tampil berbeza dari imej terdahulu. Andai selama ini kamu enggan bergaya kerana tiada ilmu tentang penataan imej dan gaya, inilah masanya kamu belajar dan meneroka pelbagai imej, gaya, solekan dan dandanan yang sedang rancak berkembang.

Buntu hanyalah alasan apatah lagi ketika ini kita telah punya banyak sumber ilmu tentangnya di laman-laman sesawang khas ilmu fesyen, solekan dan dandanan.

Jangan sekadar menonton tutorial, sebaliknya cuba pada diri dan pantau hasilnya sama ada sesuai atau sebaliknya. Berhemahlah dalam berbelanja mengubah raga. Yang penting, hasilnya mampu memukau mata.

 

MERDEKA DARI HUTANG

Jangan digendong pepatah ‘Biar papa asalkan bergaya’ dalam kehidupan. Dewasanya kelak menjadi anasir menjajah diri. Kita harus bijak mencatu perbelanjaan lebih-lebih lagi dalam situasi kehidupan yang serba mencabar kini.

Merancang kewangan dengan bijak adalah kata kuncinya. Pendapatan yang ada diagih-agihkan mengikut keperluan perbelanjaan-- duit sewa rumah, bayaran ansuran kereta, simpanan peribadi, bil-bil semasa, barang makanan dan minuman dan perbelanjaan untuk pakaian atau solekan.

Berbelanjalah mengikut kemampuan diri. Jangan terlalu mencuba mencipta kemegahan hidup yang akhirnya menjerat dan merantai diri.

Tinggi citarasa, tinggi gaya hidup maka tinggi jualah perbelanjaannya. Andai keinginan melampaui kemampuan, hutang pun hadir menjajah diri sepanjang hayat. Kawal penggunaan wang.

Beli atau miliki apa yang perlu, bukan apa yang kamu mahu.

 

MERDEKA DARI KEGELAPAN TAKDIR

Kita tidak pernah dijanjikan dengan kehidupan yang serba bahagia lagi sempurna. Takdir aku dan kamu juga berbeza-beza.

Setiap dari kita punya latar kehidupan yang tidak sama. Derita dan kesedihan tidak pernah mengalu-alukan tawa bahagia datang bertamu.

Andai hidup kamu sukar dijajah kesukaran dan kemiskinan, usahalah mencari peluang kerjaya yang lebih baik atau tambah kerjaya yang sedia ada dengan kerjaya sampingan.

Berniaga atau mengubah hobi kepada sumber pendapatan antara solusi paling popular. Pelajari kemahiran-kemahiran baru yang boleh mendatangkan sumber pendapatan.

Sertai kursus jangka masa pendek dan gunakan ia sebagai sumber pendapatan sampingan yang boleh meningkatkan aras ekonomi diri dan keluarga.

Bagi kamu yang kecewa, sedih atau trauma, dapatkan bantuan pakar berkaitan dengan segera. Jangan biarkan ia menjajah jiwa kamu terlalu lama.

Dapatkan bantuan bimbingan pakar kaunseling. Rawati jiwa kamu dengan aktiviti kerohanian mengikut amalan anutan agama masing-masing.

Ingat, kehidupan tidak pernah sempurna dan hidup tanpa dugaan bukanlah kehidupan. 

 

MERDEKA DARI PENYAKIT

Isu kesihatan diri jangan diambil enteng. Sebelum penyakit bertakhta beraja menjajah tubuh, ada baiknya kita menjaga serta melindungi badan daripada sebarang serangan penyakit kronik.

Jaga pemakanan. Elakkan makanan tinggi kandungan lemak, gula, garam, pengawet dan pewarna makanan. Amalkan pola pemakanan sihat serta gizi yang seimbang.

Banyakkan makanan berserat tinggi yang ada pada buah-buahan dan sayuran. Jangan amalkan pengambilan makanan segera atau fast food yang tinggi kualiti lemak tepu, gula atau garam.

Dapatkan nasihat dari pakar pemakanan berkelayakan. Andai kamu mengambil makanan tambahan, baca label dengan teliti dan kenal pasti kandungan bahan atau formulanya.

Bersenam jangan sekali-kali kamu lupakan. Selain berpeluh untuk membuang toksik dalam tubuh, ia juga dapat membakar lemak dengan efisyen. Sihat tubuh bermakna kamu merdeka dari sebarang risiko penyakit kronik.

 

MERDEKA DARI TABIAT BURUK

Sikap dan tabiat adalah dua perkara berbeza. Tabiat adalah perkara atau perbuatan yang selalu kamu lakukan di bawah kesedaran diri.

Menggigit kuku, membuang sampah sewenangnya, merokok, membazir ketika makan antara tabiat buruk yang lazimnya ada pada kita semua.

Meski ia kebiasaan yang sukar diubah, kamu harus berusaha menghentikannya. Latih diri untuk tidak mengulangi lagi tabiat buruk tersebut. Minta kerjasama keluarga atau rakan menegur kamu andai kamu mengulanginya lagi.

Malas antara tabiat buruk yang merugikan. Mahukah kamu ketinggalan di belakang angkara tabiat malas kamu sedangkan mereka yang berada di sekitar kamu sudah jauh ke depan mengejar wawasan?

Usir tabiat buruk kamu dari terus menjajah diri kerana ia bukan saja sia-sia tetapi yang pasti, amat merugikan!

 

BERKORBAN DEMI MERDEKA

Era pandemik telah menjajah dan membataskan kita dari terus menikmati kebebasan hidup dimasa lalu. SOP diperkenalkan untuk kita akur dan taat.

Bagi memastikan angka kes harian COVID-19 tidak terus melonjak naik, kita semua sebagai rakyat Malaysia harus berkorban semahunya demi matlamat bebas merdeka dari cengkaman virus berbahaya ini.

Unggulnya pengorbanan petugas barisan hadapan dan kakitangan petugas kesihatan memang tidak dapat kita nafikan malah, sehingga hari ini, mereka masih tegar dan teguh berjuang membantu kita menanganinya.

Kita? Berkorbanlah dengan mematuhi arahan dan saranan kerajaan. Berkorbanlah dengan mengenepikan nikmat hidup lalu bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Akur mendapatkan suntikan vaksin dan saling prihatin sesama kita. Korbankan rasa rindu, korbankan keinginan dan berjuanglah semahunya sehingga pendemik ini terus berakhir.

Hanya dengan cara ini saja kita semua mampu merdeka dan bebas dari pandemik COVID-19. Andai nanti kita telah merdeka, nescaya kehidupan yang kita rindui akan kita miliki kembali.

Inilah antara senarai merdeka yang sempat tersenarai dan harus kita tuntut, kita usahakan, perjuangkan dan capai dalam memperbaiki kualiti hidup.

Mungkin ia dianggap santai tetapi, andai kita berjaya menepis ia dari terus menjajah diri, nilai tambahnya tentulah diri kita yang baru dan lebih bermutu.

Jadikan semua yang baik dan positif itu umpama wawasan yang harus kita capai. Mengubahnya pula satu perjuangan diri. Pengorbanan jangan sesekali dilukai.

Jadilah bunga bangsa yang menghargai warisan kemerdekaan. Sayangi dan cintai ibu pertiwi kita dengan sepenuh jiwa. Kita jaga kita, kita jaga Malaysia.

Salam Kemerdekaan ke-64 buat teman-teman pembaca semua. Dirgahayu Malaysia! - Getaran, 29 Ogos 2021 

Isu Pada

Aspirasi Deborah Henry, Marsha Londoh Dan Douglas Lim

28 Aug 2021

Berita Berkaitan

1

Refleksi 4 hari yang lalu

Adab Menghadiri Rumah Terbuka

2

Refleksi 4 minggu yang lalu

Wanita Hari Ini, Mydin Bergabung Salur Bantuan Kepada Anggota Barisan Hadapan

3

Refleksi 1 bulan yang lalu

Self Healing’ Pada Bulan Ramadan, Bikin Ibadah Makin Khusyuk

4

Semasa 2 bulan yang lalu

Laungan Keramat 'Merdeka' Kembali Bergema Di Banda Hilir Selepas 68 Tahun

Sorotan

1

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini