Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Raikan Kepelbagaian Gastro Malaysiana

Raikan kepelbagaian penduduk Malaysia! Mari kita singkap aneka makanan menarik yang ada di setiap negeri di tanah bertuah ini.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 28 Aug 2021 12:18PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Seperti yang kita tahu negara kita mewah dengan aneka pilihan makanan dek kerana gabungan pelbagai kaum yang membentuk wajah Malaysia. Tidak dapat dinafikan melalui makanan kita berupaya mencambah keharmonian sesama kita dan serasi dengan cara ini. 

Makanan juga menjadi salah satu produk atau instrumen yang menyumbang kepada pengukuhan industri pelancongan negara.

Sepanjang 2019, sektor ini berjaya menyumbang pendapatan sebanyak RM86.14 bilion dan tiga komponen utama pengagihan perbelanjaan pelancongan tertinggi adalah melibatkan aktiviti beli-belah sebanyak 33.6 peratus.

Selebihnya adalah penginapan sebanyak 24 peratus serta makanan dan minuman sebanyak 13.3 peratus. 

Setiap negeri di Malaysia ada makanan khas tertentu atau signature dish yang menjadi kebanggaan warganya. Tidak keterlaluan jika disebut makanan-makanan ini turut digemari semua tidak kira bangsa, asal mahupun keturunan.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 negara tahun ini, TARA menghidangkan anda dengan menu-menu mengikut pecahan negeri di negara kita.   

 

Sabah - Bosou

Bosou. Gambar: Shopee
Bosou. Gambar: Shopee

Memandangkan kumpulan etnik peribumi terbesar di Sabah ialah Kadazan-Dusun, jadi jom kita lihat apa makanan menarik yang mewakili Negeri Di Bawah Bayu ini.

Selain daripada hinava, Sabah juga terkenal dengan bosou. Ia sejenis pekasam yang lazimnya dijadikan hidangan pembuka selera.

Bagi menyediakan hidangan ini, buah keluak salai (kepayang) adalah kemestian kerana ia bertindak sebagai pengawet. Ia akan digabungkan bersama nasi, garam dan daging atau ikan segar.

Campuran ini kemudiannya  akan dimasukkan ke dalam balang tertutup atau bekas kedap udara untuk proses penapaian.

Bosou biasanya disimpan dalam bekas tertutup kemas, kedap udara. Penyimpanan yang  betul membolehkan jeruk ini bertahan antara enam bulan hingga setahun. 

 

Kedah - Nasi Daging Air Asam Kerisik

Nasi daging air asam kerisik. Gambar: Daridapur.com
Nasi daging air asam kerisik. Gambar: Daridapur.com

Nasi daging air asam kerisik popular di negeri-negeri yang terletak di utara tanah air. Menu ini selalunya dihidangkan pada hari perayaan atau semasa majlis kenduri-kendara.

Nasi ditanak dengan bahan-bahan tumisan (terdiri daripada rempah-ratus yang telah disangai dan kemudiannya ditumbuk) bersama air rebusan daging.

Dihidangkan pula bersama air asam kerisik istimewa yang memberikan rasa lemak dan masam. Pemecah selera!

Mudah untuk menyediakan air asam kerisik. Anda hanya perlukan sambal belacan dan disatukan dengan bawang, tomato, kerisik dan serbuk perasa mengikut selera masing-masing. 

 

Perlis - Emping Dan Laksa Perlis

Emping Perlis dan Laksa Perlis. Gambar: Putihsalju.blogspot.com dan TripAdvisor.com
Emping Perlis dan Laksa Perlis. Gambar: Putihsalju.blogspot.com dan TripAdvisor.com

Emping dan Laksa Perlis turut disebut-sebut sebagai makanan khas negeri Indera Kayangan di samping makanan laut, pulut ayam Thai, pulut mangga dan pelbagai lagi.

Emping atau nama lainnya ringgi sedap dinikmati begitu sahaja bersama parutan kelapa yang telah digaulkan gula.

Laksa Perlis pula dinikmati bersama kuih pulut udang mahupun kuih spera. Kuih spera atau dipanggil ‘coq spera’ rupanya seakan karipap tetapi mempunyai inti kelapa pedas sebagaimana cucur badak.      

 

Pulau Pinang - Pasembor

Pasembor. Gambar: Penangfoodie.com
Pasembor. Gambar: Penangfoodie.com

Pasembor adalah menu yang pastinya akan mengingatkan kita pada Pulau Mutiara. Ubi kentang goreng bersalut tepung beras, cucur, tauhu, tauge, hirisan timun, sengkuang dan mi kuning menjadi pelengkap menu ini.

Ia dihidangkan bersama kuah kacang manis pedas yang diperbuat daripada udang kertas atau sotong kering kisar dan ubi keledek oren yang dilenyek. 

 

Perak - Pais Ikan Keramat 

Pais ikan keramat. Gambar: Laman Facebook Jabatan Warisan Negara
Pais ikan keramat. Gambar: Laman Facebook Jabatan Warisan Negara

Pais ikan keramat merupakan makanan warisan yang begitu popular di Lenggong, Perak. Sebelum dibungkus dalam daun pisang dan dibakar di atas bara ataupun dikukus, ikan terlebih dahulu diperisakan dengan garam serta perahan jus limau kasturi.

Kemudian, ia digaulkan bersama bahan-bahan yang telah sedia ditumbuk seperti bawang kecil, bawang putih, cili padi, kunyit hidup dan serai. Hirisan halus daun kunyit dan kesum turut menjadi pelengkap. 

 

Selangor - Pecal 

Pecal. Gambar: Shopee
Pecal. Gambar: Shopee

Pecal adalah sejenis salad tradisional Jawa yang terdiri daripada gabungan sayur-sayuran seperti kangkung, bayam, tauge, kacang panjang, timun daun ubi kayu dan daun kemangi yang direbus atau dicelur.

Ia dimakan bersama kuah kacang yang diperbuat daripada kacang tanah goreng yang dikisar dan dicampur dengan air, garam, gula melaka, jus asam jawa, cili, lengkuas, daun limau purut, cekur dan bawang putih.

Tempe dan tauhu goreng, bergedel kentang, cucur udang, rempeyek atau keropok turut disajikan bersama pecal di samping nasi kukus atau kadang-kadang dengan lontong atau ketupat. 

 

Kuala Lumpur - Roti Canai 

Roti canai. Gambar: Ceriasihat.com
Roti canai. Gambar: Ceriasihat.com

Selain daripada nasi lemak, orang Kuala Lumpur juga selalunya gemar bersarapan roti canai.  Kuah kari sama ada daging, ayam atau ikan dan dal serta sedikit sambal menjadi pelengkap hidangan popular ini.

Memenuhi selera orang kita dari semasa ke semasa, roti canai hadir dengan variasi seperti roti telur, sardin, telur bawang, pisang, bom, marjerin, petak, banjir dan sarang burung goyang.

Selain dijual di kebanyakan gerai-gerai tepi jalan untuk sarapan, roti canai juga ada di semua restoran mamak sepanjang hari. 

 

Negeri Sembilan - Masak Lemak Cili Api

Masak lemak cili api. Gambar: Resipichenom.com
Masak lemak cili api. Gambar: Resipichenom.com

Masak lemak cili api Negeri Sembilan mudah dan ringkas untuk disediakan. Bahan-bahan yang diperlukan juga mudah didapati.

Orang Negeri Sembilan biasanya menghasilkan menu ini tanpa menggunakan bawang. Minyak pun tidak diperlukan ketika proses menumis.

Masakan ini kaya dengan elemen antioksidan serta Vitamin C dan A berikutan penggunaan kunyit hidup dan cili api.

Malah, menurut pakar pemakanan Dr. Norman Norawi santan kelapa juga dikatakan sangat baik untuk kesihatan dan mempunyai bahan rantaian trigliserida sederhana (medium chain triglyceride) iaitu sejenis asid laurik (sejenis lemak tepu) yang sangat baik untuk kesihatan jantung.

 

Melaka - Kari Debal Dan Ikan Bakar Portugis

Kari debal. Gambar: Rasamalaysia.com
Kari debal. Gambar: Rasamalaysia.com

Ikan bakar Portugis. Boleh dikatakan ia adalah menu biasa tetapi digemari ramai masyarakat kita.

Ia hanyalah ikan bakar yang disalut dengan pes sambal yang diperbuat daripada bawang kecil, bawang putih, buah keras, lengkuas, serai, cili kisar dan air asam jawa. Pes sambal yang dibuat sempurna menjadi penentu rasa sedapnya.

Selain daripada itu, Melaka juga terkenal dengan kari debal iaitu masakan berasaskan ayam yang dimasak bersama ramuan seperti cuka, lengkuas, biji sawi, buah keras dan sejumlah cili merah (hidup dan kering).

Ia disediakan tanpa menggunakan santan mahupun serbuk kari. Ramai yang mengatakan kari ini nampak seakan asam pedas dan rasanya pula seperti rendang. Kari debal lebih asyik dinikmati sehari selepas dimasak.

Untuk rekod, menu ini telah menerima pengiktirafan sebagai salah satu Makanan Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara. 

 

Johor - Botok-botok

Botok-botok ikan tenggiri. Gambar: Laman Facebook Simply Sugar
Botok-botok ikan tenggiri. Gambar: Laman Facebook Simply Sugar

Ia merupakan makanan berasaskan ikan sama ada parang, tenggiri mahupun kembung.

Dimasak bersama ramuan berempah dan pelbagai jenis daun seperti pucuk pokok puding belacan, mengkudu, ubi, betik dan juga bebuas. Tidak ketinggalan daun kesum, kaduk, kunyit, cekur serta selasih.

Hidangan menu makan tengah hari ini disediakan dengan cara ikan dibungkus dengan dedaun yang disebut tadi secara berlapis-lapis sebelum dibungkus di dalam daun pisang dan dikukus hingga masak.

Menu ini bukan sahaja popular di Johor tetapi juga Singapura, Kepulauan Riau (khususnya dalam kalangan masyarakat Bugis). Botok-botok yang memiliki rasa lemak manis, sedikit pahit serta pedas sesuai dinikmati dengan nasi putih.

 

Pahang - Laksa Pahang

Laksa Pahang. Gambar: Teratakjelata.blogspot.com
Laksa Pahang. Gambar: Teratakjelata.blogspot.com

Keistimewaan laksa ini terletak pada mi atau laksanya yang mana perlu dihasilkan sendiri daripada tepung beras menggunakan acuan dipanggil kebuk.

Ikan kembung atau tenggiri sebagai ramuan utama kuah perlulah dibakar terlebih dahulu sebelum dikisar. Sesetengah orang menyajikan laksa ini dengan kuah merah dan ada juga yang menggemari kuah putih.

Bagi menambah kelazatan saat menikmatinya, ia dimakan bersama daun kaduk, daun selasih, sedikit belacan, hirisan timun, bawang, cili kering, kacang panjang, tauge dan juga perahan jus limau kasturi.

Sekali pandang, laksa Pahang ini seakan laksa Johor. Biarpun nampak seakan sama tetapi tidak sebenarnya. Kuahnya lebih pekat dan rasanya berlemak.   

 

Terengganu - Ketupat Sotong 

Ketupat sotong. Gambar: Laman Fiza.net
Ketupat sotong. Gambar: Laman Fiza.net

Menu istimewa negeri Darul Iman ini juga dikenali dengan nama sotong sumbat.

Ia menggunakan sotong yang disumbat dengan pulut yang dimasak dalam santan serba pekat dan dihidangkan bersama kuah santan. Ada juga yang menghasilkan hidangan ini menggunakan beras pulut merah.

Sesetengah pakar di dalam bidang masakan berpendapat bahawa cara penyediaan masakan ini adalah satu kaedah bijak kerana berjaya memberi kelainan pada cara masakan.

Bagi yang tertanya-tanya apakah perbezaan antara ketupat sotong Terengganu berbanding Kelantan, ketupat sotong Terengganu kuah santannya terdapat campuran hirisan bawang, halia dan halba.

Langsung tidak menggunakan gula melaka dalam penyediaan kuah santannya sebagaimana resepi ketupat sotong Kelantan.   

 

Kelantan - Singgang Daging Dan Ikan

Singgang daging. Gambar: Rasa.my
Singgang daging. Gambar: Rasa.my

Lauk singgang merupakan menu yang cukup dekat di hati orang Pantai Timur. Ia begitu mudah disediakan dan membangkitkan selera.

Rasa masin, manis, masam dan pedas saling bergabung dan mencipta pengalaman makan yang sukar untuk diluahkan dengan kata-kata. Sedap!

Selain daripada singgang ikan, ramai juga yang memilih untuk menghidangkan singgang daging. Menu ini biasanya dipadankan bersama nasi panas, sepiring budu dan ulam-ulaman.     

 

Sarawak - Manok Pansoh

Manok Pansoh. Gambar: Google
Manok Pansoh. Gambar: Google

Ayam pansoh atau manok pansoh merupakan sejenis masakan lazim di kalangan masyarakat di Sarawak dan juga di bahagian Kalimantan Barat, Indonesia.

Ayam pansoh dimasak di dalam buluh yang dipenuhi dengan air (yang kemudiannya akan dijadikan sup) dan bahan perasa. Kemudiannya, buluh tersebut akan ditutup dengan helaian daun ubi kayu yang juga boleh dimakan bersama dengan ayam tersebut.

Untuk makluman, kaum Iban dan Bidayuh sering menyajikan hidangan ini pada hari-hari perayaan terutamanya Gawai Dayak. Menu ini juga telah diangkat sebagai salah satu Makanan Warisan Kebangsaan.  

 

Labuan - Ambuyat

Ambuyat. Gambar: Laman Facebook Borneo
Ambuyat. Gambar: Laman Facebook Borneo

Orang di Labuan dan Brunei begitu menggemari hidangan berkanji yang biasanya diperbuat daripada sagu rumbia ini.

Sebelum ini ia biasanya dihidangkan sebagai menu harian dan hidangan wajib semasa hari-hari istimewa seperti majlis perkahwinan serta hari keramaian kaum Bisaya.

Kaum Kadazan, Murut, Dusun dan Bajau di Sabah juga amat meminati makanan ini yang dipanggil linut.

Ambuyat dimakan bersama bermacam-macam jenis sos pencecah. 

Selamat menjamu selera, Malaysia! - Getaran, 28 Ogos 2021

Isu Pada

Aspirasi Deborah Henry, Marsha Londoh Dan Douglas Lim

28 Aug 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 4 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 4 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

2

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

3

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

4

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

5

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

6

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu