Berita Terkini

16 minit yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Aspirasi Deborah Henry, Marsha Londoh Dan Douglas Lim

Sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64 ini, Douglas Lim, Marsha Londoh dan juga Deborah Henry berkongsi kisah serta harapan mereka sebagai rakyat Malaysia di tahun 2021.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Aug 2021 9:03AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tanggal 31 Ogos ini, negara kita bakal menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64 dan kebetulan juga, ini merupakan edisi ke-31 sisipan gaya hidup TARA.

Seperti takdir yang tersusun indah, untuk ini kami tampilkan tiga orang personaliti popular yang mewakili wajah masyarakat majmuk negara Malaysia iaitu Douglas Lim, Marsha Londoh dan juga Deborah Henry. 

Setiap seorang daripada mereka mempunyai misi dan visi masing-masing serta telah berjaya meninggalkan impak yang mengesankan.

Sebagai warga negara Malaysia yang berani memperjuangkan cita-cita mereka nan pelbagai, kami ingin memberikan mereka ruang berkongsi suara dan harapan tentang perjalanan mereka sebagai rakyat Malaysia sehingga dewasa ini.

 

Deborah Henry : Jelitawan Berwawasan 

Biarpun sudah lebih sedekad meninggalkan takhtanya sebagai Miss Universe dan Miss World Malaysia, salah seorang wajah TARA kami minggu ini iaitu Deborah Henry masih secantik dahulu. Dan lebih menyenangkan, orangnya tetap peramah, bersopan santun serta mudah didekati.

Tidak cukup dengan itu sahaja, wanita berdarah kacukan dari seorang ibu asal Ireland dan bapa yang berbangsa India Malaysia ini juga memang bijak berhujah selain masih gigih memperjuangkan gagasannya selepas memenangi pertandingan ratu cantik dahulu.

Pernah berhijrah ke kota London di usia 18 tahun untuk memulakan kerjaya sebagai seorang peragawati, Deborah kemudian melanjutkan pengajiannya di peringkat universiti dalam bidang sains politik dan ekonomi di University of Queensland, di Brisbane, Australia.

Kini selepas berumah tangga, dia masih aktif dalam membantu komuniti pelarian yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat transit sebelum mereka ditempatkan di negara-negara lain yang boleh menerima kumpulan pelarian asing untuk menjadi warga negara.

“Saya masih giat menguruskan Fugee.org, sebuah pertubuhan tidak berasaskan keuntungan yang diwujudkan untuk membantu komuniti pelarian yang berada di Malaysia.

“Melalui pertubuhan ini, saya membantu komuniti pelarian di Malaysia untuk mendapatkan pendidikan supaya mereka tidak ketinggalan dan terkecuali dari menerima pendidikan formal. 

“Pada masa yang sama saya juga bertanggungjawab ke atas Fugeelah sebuah syarikat sosial yang juga bertujuan membantu anak-anak komuniti pelarian di Malaysia.

“Tujuan utamanya adalah untuk mencari dana bagi menampung sekolah Fugee School di bawah payung Fugee.org yang disebut tadi. 

“Ia merupakan sebuah jenama jauhari dan barang kemas yang mendidik, menggaji dan memperkasakan anak-anak pelarian.

“Dengan penghasilan dan penjualan produk-produk ini, ia dapat membantu anak-anak ini menjalani persekolahan dan membantu mereka secara umum,” jelas Deborah membuka bicara sekaligus menceritakan kesibukannya dewasa ini.

Sungguhpun ia bukan sesuatu yang mudah namun Deborah mengaku yang dia masih mencintai apa yang dikerjakan ini kerana sudah melihat hasil keringatnya.

“Ramai orang tidak tahu akan kedudukan dan kepayahan komuniti pelarian di Malaysia. Mereka tidak mempunyai hak untuk bekerja kerana mereka bukan pendatang tanpa izin.

“Mereka lari dari negara masing-masing disebabkan belenggu peperangan atau bencana alam. Jadi, mereka mencari tempat atau negara untuk berlindung. 

“Namun atas sebab-sebab perjanjian konvensyen yang telah ditandatangani oleh beberapa negara tertentu di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1951, hanya beberapa negara terpilih sahaja yang boleh menerima pelarian.

“Negara-negara membenarkan mereka bermastautin dan memohon kewarganegaraan serta mendapat peluang di samping hak-hak rakyat yang lain seperti bantuan kewangan dan peluang pekerjaan.

“Malangnya, Malaysia tidak termasuk dalam senarai negara-negara yang dimaksudkan. Lantas kita hanya menjadi pusat transit,” jelasnya lagi memberi pencerahan.

Dalam pada itu, Deborah menambah bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang tidak nampak kepentingan untuk membantu para pelarian ini.

“Kadang sukar untuk kita percaya tapi pada tahun 2021 ini masih ramai yang mempersoalkan dan membeza-bezakan taraf sosial sesama manusia.

“Saya kerap mendapat soalan seperti kenapa kita perlu tolong orang luar sedangkan rakyat kita masih banyak yang bermasalah. Lebih baik bantu rakyat kita dahulu. 

“Sayang sekali, ramai tidak nampak bagaimana ini sebenarnya menyumbang kepada sosio-ekonomi negara kita sendiri.

“Sedangkan ada kajian yang menunjukkan kalau pelarian diberi peluang pekerjaan mereka boleh memberi sumbangan ekonomi yang besar pada negara.

“Saya sangat berharap lebih ramai orang akan membuka mata, khasnya mereka yang berpengaruh dan berjawatan dalam pentadbiran negara.

“Kita harus bangga dan bersyukur kita tinggal di sebuah negara yang berbilang kaum dan aliran namun masih mampu hidup dengan aman sentosa.

“Kita harus hentikan bermain sentimen perbezaan bangsa atau agama jika ingin maju ke hadapan. Untuk itu, saya percayakan generasi muda yang akan datang. Harapan saya terletak pada mereka.

“Saya harap mereka sedar akan kepentingan untuk mencari tahu tentang situasi negara yang sudah 64 tahun mencapai kemerdekaan,” katanya lagi penuh semangat.

Deborah juga mengaku biarpun ada beberapa calitan negatif pada tanah air sendiri, dia masih bangga menjadi rakyat Malaysia.

“Itu kenyataan hidup. Tidak semua negara sempurna. Pasti ada kekurangan masing-masing. Seperti juga kita di Malaysia. Namun saya bangga dengan kejayaan yang sudah kita capai melalui bakat-bakat hebat yang ada di negara ini.

“Cuma saya harap kita berhenti membeza-bezakan. Janganlah lihat individu pada warna kulit atau fahaman. Tapi lihatlah bahawa kita sebenarnya semua rakyat Malaysia. See each other as Malaysians first, kemudian barulah kita dapat membangun lebih maju!” ujarnya menutup bicara.

 

Maksud Merdeka Marsha Milan Londoh

Bagi Marsha Milan Londoh, tiada perkara yang lebih bermakna tentang kemerdekaan jika tiadanya semangat perpaduan di kalangan bangsa Malaysia yang mempunyai kepelbagaian kaum, suku etnik, budaya dan agama. 

“Sebagai seorang yang dilahirkan di Sabah, saya memang amat menitikberatkan perpaduan kerana tanpa perpaduan, sukar untuk kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Disebabkan itu, kita harus sentiasa mengeratkan silaturahim. 

“Namun, dalam suasana pandemik ini, ia sedikit sebanyak menggugat semangat kemerdekaan kerana pada hakikatnya kita masih lagi tidak ‘merdeka’ untuk menyambutnya bersama keluarga dan rakan-rakan. 

“Sebab, setiap kali Hari Kebangsaan tiba, saya akan pulang ke kampung untuk menemui keluarga, atau lepak bersama rakan-rakan atau pun terlibat dengan acara berkaitan dengan kemerdekaan negara. 

“Mujurlah ada teknologi digital. Setidak-tidaknya, kita masih dapat berhubung dengan rakan-rakan serta orang tersayang sempena Merdeka ini,” kataya. 

Menurut Marsha lagi, dia dan keluarganya memang sentiasa melakukan persiapan untuk menyambut Hari Kemerdekaan negara bersama-sama. 

“Waktu saya masih kecil, perkara pertama yang bapa saya lakukan adalah meletakkan Jalur Gemilang di bumbung kereta. Bila kita melihat bendera kita berkibar di bumbung kereta atau rumah, semangat kemerdekaan itu amat dirasai.

“Saya sendiri baharu sahaja pasang bendera Malaysia. Walaupun pembantu rumah berasal dari Indonesia, tapi dia pun sama-sama membantu untuk memasang Jalur Gemilang,” katanya sambil tertawa. 

Kata Marsha lagi, setiap kali menjelangnya Hari Kebangsaan, semangatnya pasti berkobar-kobar apabila mendengar lagu 'Standing In The Eyes Of The World.'

“Ada banyak lagu patriotik yang saya suka. Tapi, lagu 'Standing In The Eyes Of The World ada' ‘sesuatu’. Ia bukanlah sebuah lagu tentang merdeka, tapi bila kita dengar lagu itu, semangat cintakan negara terasa begitu mendalam. 

“Banyak lagi cara untuk kita menanam atau menyemai semangat cintakan negara. Yang penting pada waktu dan saat ini kita harus sama-sama mengikut segala SOP yang telah ditentukan kerajaan dalam usaha untuk menangani penurunan wabak COVID-19. 

“Dalam suasana yang cukup getir ini, memang sukar untuk kita survive demi kelangsungan hidup. Tapi, ini sahaja caranya yang kita perlu lakukan untuk membantu negara. 

“Kita juga harus mengikut saranan untuk mengambil vaksin kerana dengan cara inilah kita dapat bergerak bebas dan kembali kepada kehidupan seperti dahulu,” katanya. 

Memiliki semangat patriotisme yang cukup tinggi, Marsha juga seringkali berasa bangga apabila berpeluang menjadi duta kecil buat Malaysia khususnya dalam memperkenalkan budaya negeri Sabah di kalangan masyarakat dan di mata dunia. 

“Malaysia adalah sebuah negara yang unik kerana memiliki kepelbagaian kaum, suku etnik, budaya dan bahasa. 

“Sebagai anak Sabah, saya bangga jika dapat memperkenalkan lagu rakyat Dusun Sabah kepada masyarakat di dalam dan luar negara. Secara tidak langsung, ia dapat membantu untuk mempromosikan pelancongan di Sabah. 

“Atas sebab itu, saya akan pastikan untuk mengeluarkan lagu rakyat Dusun Sabah pada setiap tahun dengan menggunakan platform digital,” katanya dengan nada bangga. 

Buktinya bermula pada tiga tahun yang lepas dia telah menghasilkan lagu 'Sumandak Sabah' bersama seorang lagi rakan artis iaitu Velvet.  Diikuti dengan 'Oi Giman' pada 2019 dan 'Insan Tadau' (2020). 

“Saya tidak sangka lagu itu diterima ramai. Malah, ia juga turut dimainkan di negara luar seperti di Amerika Syarikat dan di London, UK. 

“Tahun ini, saya akan muncul dengan lagu berjudul 'Ika Noh' yang bermaksud 'Itu Kamu'. Lagu ini tentang perpaduan dan saya nyanyikan secara duet bersama Fanzi Ruji dan bakal menjadi lagu OST untuk sebuah projek drama di TV Astro, 'Love Elsa'. 

“Tapi, ia sudah pun boleh didengar menerusi saluran YouYube saya iaitu Marsha Milan,” katanya.

 

Lawak Mampu Menyatukan Kita - Douglas Lim 

Dalam tempoh negara berdepan pandemik ini, entah kenapa nama Douglas Lim tiba-tiba menjadi bualan warganet sekali gus dianggap individu penting untuk memberikan keceriaan kepada negara di saat-saat lesu ini.

Setiap video yang dimuat naik di laman sosial pasti akan dikongsi beribu-ribu pengguna kerana bukan sahaja lucu, malah topik yang dibualkan juga sangat kena dengan situasi semasa.

Pelawak Douglas Lim sebenarnya bukanlah nama baru dalam bidang komedi. Dia sudah berada dalam industri sejak 26 tahun tahun lalu dan kemunculannya sebagai pelakon komedi menerusi siri sitkom 'Kopitiam' pernah mengetengahkan bakat jejaka itu suatu masa dulu. 

Dua dekad bukanlah masa yang sekejap. Douglas menyaksikan bagaimana industri lawak dan juga persembahan komediri tumbuh berkembang di Malaysia. 

“Waktu awal-awal saya buat persembahan komediri di sebuah majlis korporat, rakyat Malaysia tidak begitu tahu atau faham mengenai persembahan ini.

“Mereka ingat saya mungkin kawan kepada bos mereka yang tiba-tiba naik atas pentas buat mereka gelak. Sedangkan ia sebahagian daripada persembahan sama seperti nyanyian dan lain-lain,” ceritanya.

Melihat bagaimana industri komedi ini diterima dengan tangan terbuka dan semakin mendapat tempat di hati masyarakat, Douglas merasakan inilah fasa terbaik hidupnya sepanjang bergelar pelawak, apabila jenakanya diterima masyarakat merentas bangsa dan umur.

Apa yang lebih membanggakan, videonya dinantikan setiap minggu oleh penonton. 

“Saya tak pernah sangka lawak dalam situasi hari ini (pandemik) sudah jadi seperti terapi. Biasanya komedi hanya akan disajikan di majlis keramaian seperti pesta iaitu di mana semua orang bergembira.

“Ia begitu menakjubkan apabila saya menerima komen daripada penonton yang menyukai video saya tak kiralah bangsa apa sekalipun. 

“Sebelum ini jenaka saya banyak dalam bahasa Inggeris, namun selepas saya cuba menyampaikan lawak dalam bahasa Melayu, ia diterima lebih meluas.

“Tidak hanya bangsa Melayu, malah India dan Cina pun turut menontonnya. Saya merasakan kalau kandungan lawak itu baik, maka orang akan tengok,” ulas Douglas yang pernah melakukan persembahan di The Public Theater, New York pada tahun 2018.

Tanpa disangka, Douglas sebenarnya sudah menyatukan semangat perpaduan antara kaum menerusi videonya dalam keadaan negara sedang lesu dan genting. Berkongsi antara komen paling menyentuh hati yang diterimanya, Douglas tersenyum. 

“Ada doktor yang baru menyelesaikan 36 jam kerja. Dia rasa sangat penat. Tapi bila tonton video saya, dia gelak dan mengucapkan terima kasih kepada saya. 

“Selain itu, ada seorang pekerja, suatu hari dia nampak bosnya masuk pejabat dengan muka masam. Dia dah risau kalau-kalau mood bos tak baik, habislah mereka kena marah.

“Tapi tiba-tiba bos keluar sambil gelak-gelak dan tunjuk video saya. Jadi kemarahan dia dah reda. Komen seperti ini sangat menggembirakan saya,” tambahnya yang juga merupakan kini juruhebah radio di Fly FM. 

Kejayaan video-video Douglas adalah berdasarkan kepada satu sifir mudah iaitu dia bijak menggunakan sentimen yang dikongsikan majoriti rakyat Malaysia.

Walaupun ia kedengaran menyindir pihak berkuasa, namun Douglas tidak pernah berhadapan dengan ancaman ataupun tindakan memandangkan segala yang diulas menerusi videonya adalah bedasarkan fakta dilaporkan media.

Bercerita tentang kesilapan individu yang menjadikan semua perkara sebagai jenaka, Douglas yang pernah mempunyai rancangan bernama 'This is Awkward' itu menyelar tindakan sesetengah pelawak yang menjenakakan sesuatu isu yang sensitif. 

“Lawak kena sesuai dengan waktu dan keadaan. Jika tidak, ia akan terlihat menjengkelkan. Ibaratnya seperti ini, kopi dalam cawan minuman ia dianggap lazat, tapi kopi pada baju ia dianggap kotoran.

“Kalau ada kemalangan, janganlah buat lawak tentang kemalangan. Jika ada kematian, jangan buat lawak tentang jenazah,” katanya mengakhiri wawancara.

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Marsha Londoh, Douglas Lim & Deborah Henry

Pengarang Urusan : M. Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri

Teks : Shah Shamshiri, Elyna Ali & Wafa Awla 

Suntingan Teks: Ili Farhana 

Penata Gaya : Vee Mukhtaram dan Nik Erwan Roseli

Busana  : Zara (Marsha) , Kebaya & Qi Pao Milik Penata Gaya (Deborah & Douglas), Kemeja H&M (Douglas) 

Aksesori : Anting-anting Shein & Kalung Milik Marsha (Marsha), Anting-anting Lovisa (Deborah)

Solekan : Jib Salim (Deborah Henry), Saidatul Nisa (Marsha Londoh) & Chandra Shegar (Douglas Lim)

Dandanan : Jib Salim (Deborah Henry), Hamidi Jamili (Marsha Londoh) & Chandra Shegar (Douglas Lim)

Jurugambar : Azim Rahman

Juruvideo : Muharram Kasim dan Syeda Imran

Penyunting Video : Muharram Kasim

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi :  Petra News, Bangsar


 

Isu Pada

Aspirasi Deborah Henry, Marsha Londoh Dan Douglas Lim

28 Aug 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 hari yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

2

Sukan 1 hari yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

3

Semasa 5 hari yang lalu

Malaysia Hantar 100 Kontena Bantuan Ke Gaza

4

Sukan 6 hari yang lalu

Oman Beri Harimau Malaya Kekalahan Pertama

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok