PORTO - Gol sulung Kai Havertz telah membantu Chelsea mengalahkan Manchester City 1-0, untuk menjuarai Liga Juara-Juara Eropah buat kali kedua dalam sejarah kelab itu awal pagi tadi.
Havertz menjaringkan gol tiga minit sebelum babak pertama tamat di Estadio do Dragao dan Chelsea bertahan hingga ke minit terakhir untuk menjadi juara.
Kelab dari London itu menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris 19 mata di belakang juara City, namun kemenangan pada final ini adalah yang ketiga buat Thomas Tuchel ke atas Pep Guardiola dalam masa enam minggu.
Mereka menamatkan impian City untuk mengecapi treble domestik dalam separuh akhir Piala FA dan menangguhkan kemenangan liga di Manchester.
Dalam aksi final yang disaksikan lebih 14,000 penyokong yang mencipta suasana yang meriah, kelab itu memusnahkan harapan City untuk mengecapi kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah pertama yang sudah lama diidamkan Guardiola dan kelab itu.
“Ini satu perlawanan yang sangat sukar. Mereka sangat bersemangat untuk menang. Kami mahu mengecewakan mereka.
“Kami dapat mengatasi beberapa momen yang sukar dengan sikap yang baik dalam bertahan,” kata Tuchel kepada BT Sport. - AFP
