Berita Terkini

1 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 3 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 3 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Bukan Sekadar Mercu Tanda, Stadium Shah Alam Baharu Janji Keselamatan Bertaraf Dunia

Sukan Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 10 Oct 2022 7:04AM

Pembangunan semula Stadium Shah Alam ini akan mengambil kira aspek keselamatan yang bertaraf dunia dengan spesifikasi yang ditetapkan AFC dan FIFA. - Gambar ihsan MBI.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - ‘Tragedi berdarah’ di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia pada 1 Oktober lalu yang menyaksikan penyokong bola sepak dan polis bertempur sehingga 131 maut, mencetuskan persoalan meluas berhubung aspek keselamatan perlawanan di stadium itu, terutama bagaimana penonton boleh memasuki padang tanpa kawalan sewajarnya.

Rusuhan ketika perlawanan Liga 1 Indonesia antara pasukan Arema FC (Arema) dan Persebaya Surabaya itu tercetus selepas Arema tewas 2-3 yang menyaksikan ribuan penyokong masuk ke padang untuk menunjukkan rasa tidak puas hati.

Seramai 131 orang maut dalam kejadian rusuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia pada 1 Oktober lalu. - Gambar AFP
Seramai 131 orang maut dalam kejadian rusuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia pada 1 Oktober lalu. - Gambar AFP

Menurut saksi dan rakaman video, kematian itu berlaku selepas polis didakwa bertindak ganas dengan menendang dan memukul penonton, selain menolak mereka ke tempat duduk di mana ramai yang terpijak atau mati lemas akibat gas pemedih mata dilepaskan.

Susulan kejadian itu, isu keselamatan stadium mula menjadi topik utama, termasuk di Malaysia yang menyaksikan rakyat menuntut aspek itu dititikberatkan.

Kata mereka, walaupun peminat bola sepak di negara ini masih mampu mengawal emosi tidak kira apa jua keputusan dicatat sebaik wisel penamat dibunyikan, tragedi rusuhan di Indonesia harus dijadikan iktibar kerana ‘malang tidak berbau’.

Apa saja kemungkinan boleh berlaku, justeru pihak pengurusan stadium di negara ini diminta mengutamakan aspek keselamatan penonton yang mungkin tidak begitu dititikberatkan sebelum ini.

Ini boleh dilihat apabila kerajaan negeri mengumumkan pembinaan semula Stadium Shah Alam selepas mendapati kemudahan itu yang sedia ada, sudah tidak selamat digunakan sepenuhnya sejak 2020 berikutan kerosakan teruk, terutama pada bahagian bumbung.

Namun, persoalan utama kini, adakah perancangan pembinaan semulanya mengikut spesifikasi ditetapkan dan mengutamakan sepenuhnya soal keselamatan penonton?

Mohd Fahmi Mohd Nordin - Gambar dari media sosial
Mohd Fahmi Mohd Nordin - Gambar dari media sosial

Menjawab perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Darul Ehsan Facilities Management (DEFM), Mohd Fahmi Mohd Nordin berkata, projek pembangunan semula Stadium Shah Alam sudah mengikut tatacara kelulusan daripada pihak berwajib berhubung isu keselamatan, kebakaran dan pengeluaran orang ramai (crowd disbursement).

“Sememangnya di Malaysia setakat ini kita menitikberatkan (isu keselamatan). Ada nisbahnya jumlah marsyal yang perlu ada bersama jumlah penonton yang kita jangka akan hadir. Perkara ini perlu betul.

“Dalam peraturan bola sepak di negara ini, memang kita mengikut standard Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk isu keselamatan, iaitu pengeluaran orang ramai dan pengawalan orang ramai (crowd controlling),” katanya kepada Getaran.

Mohd Fahmi berkata, aspek keselamatan bagi projek pembangunan semula Stadium Shah Alam itu, pastinya merangkumi ruang antara kawasan padang dengan penonton dan pembahagian antara penyokong tuan rumah serta pasukan pelawat.

Perkara terbabit, katanya, sudah pun terkandung dalam senarai penting untuk diselesaikan terlebih dahulu.

Jelasnya, spesifikasi ditetapkan AFC dan FIFA selaku pemegang taruh terbesar bola sepak, banyak mempengaruhi reka bentuk stadium itu sendiri.

“Jadi secara tidak langsung, pembinaan stadium itu terarah kepada keselamatan yang ditetapkan badan bola sepak ini,” katanya.

Ilustrasi Stadium Shah Alam yang baharu. - Gambar ihsan MBI
Ilustrasi Stadium Shah Alam yang baharu. - Gambar ihsan MBI

Ditanya apakah spesifikasi ditetapkan badan berkenaan, Mohd Fahmi berkata, ia termasuk kawasan berkumpul, laluan pengeluaran orang ramai dan jenis kerusi digunakan, selain penguatkuasaan terhadap barangan dilarang dibawa masuk melepasi pintu stadium.

Dalam pada itu, jelasnya, terdapat teknologi tertentu yang digunakan pihak di luar negara untuk mengatasi isu keselamatan yang mungkin timbul di stadium.

“Sebagai contoh, kalau anda lihat, beberapa stadium antarabangsa sudah menggunakan teknologi pengecaman wajah untuk memastikan mereka yang dilarang memasuki stadium di luar negara, boleh disaring menggunakan sistem kamera litar tertutup (CCTV).

“Selepas itu (yang diberi tumpuan juga adalah) pembinaan laluan masuk berpusing atau turnstile serta isu penjualan tiket palsu. Ini kerana perkara terbabit banyak mempengaruhi keselamatan dan kalau anda lihat beberapa perlawanan akhir, sebenarnya ia melebihi kapasiti asal,” katanya.

Beliau menjelaskan, sistem digunakan untuk urusan pertiketan perlu memastikan sama ada penonton di dalam stadium memiliki tiket sah atau sebaliknya.

Mohd Fahmi berkata, sistem pertiketan juga perlu efisien dengan mengaplikasikan teknologi terkini, berbanding menggunakan perkhidmatan marshal atau pembantu pertiketan untuk memeriksa tiket kerana ‘human tend to make mistake’ (manusia cenderung melakukan kesilapan).

Tegasnya, jika untuk acara besar, teknologi tertentu seperti e-pertiketan, iaitu penggunaan telefon pintar bagi pengesanan kod bar, kod QR dan sebagainya dapat membantu mengesahkan tiket tulen atau palsu.

Aspek keberkesanan pertiketan, jelasnya, dapat menangani isu kesesakan (overcrowding), sekali gus berfungsi sebagai ‘penjaga pintu’ (gatekeeper) penting.

“Apabila anda menggajikan manusia sebagai contoh, kadang-kadang dia memberi kawannya masuk. Selain itu, ada juga isu rasuah, bayar tepi atau membenarkan orang tidak sepatutnya masuk.

“Dan tiket palsu pun dibenarkan masuk. Jadi dengan teknologi terkini seperti e-pertiketan dan pertiketan lebih komprehensif, ia dapat membantu menghalang kemasukan tidak sah,” katanya.

Jelasnya, dengan kaedah penjualan tiket yang berkesan seumpama itu, masalah kemasukan penonton melebihi kapasiti dan kesesakan dapat dielakkan.

Stadium Shah Alam telah dibuka pada Julai 1994. - Gambar fail
Stadium Shah Alam telah dibuka pada Julai 1994. - Gambar fail

Mengulas mengenai dakwaan bahawa Stadium Shah Alam sedia ada tidak dibina untuk aspek keselamatan, Mohd Fahmi menafikannya dengan menegaskan, infrastruktur sukan itu adalah binaan ‘state of the art’ (pembangunan mengikut tahap tertinggi) ketika zaman ia didirikan.

Tegasnya, Stadium Shah Alam yang dibina pada tahun 1990 itu, sememangnya salah satu reka bentuk terbaik dengan penggunaan bahan berkualiti.

“Anda boleh nampak ia tiada isu dari segi keselamatan.

“Namun begitu dari semasa ke semasa, peraturan semasa stadium berubah, jadi untuk stadium ini berubah ke arah itu, ia adalah satu cabaran. Ia jadi sukar, berbanding stadium lain sebab stadium lain lebih kecil,” katanya.

Dari segi keselamatan, beliau berkata, sewaktu dibina dahulu, Stadium Shah Alam yang dibuka pada Julai 1994, sudah menepati standard keselamatan ditetapkan dan buktinya pada zaman itu, dianjurkan beberapa perlawanan di peringkat antarabangsa.

Mohd Fahmi memberitahu, stadium itu juga tidak mempunyai masalah kawasan berkumpul (assembly area) dengan adanya empat tanjakan ruang terbuka (open space ramps) yang besar, selain fasiliti pemindahan (evacuation) termasuk tangga serta pintu keluar mencukupi.

“Untuk pengeluaran orang ramai, Stadium Shah Alam sekarang ini adalah di kategori sangat baik, tiada masalah pengeluaran orang ramai. Cuma yang ada isu adalah sijil perakuan Bomba atau Fire Certificate (FC) sahaja. Itu pun kerana peraturan baharu pihak bomba.

“Kelengkapan ‘fire fighting’ (pemadaman api) di Malaysia sebenarnya agak mahal untuk diselenggara. Dari segi kos efektifnya adalah sangat tinggi. Sebab itu, pada waktu terbabit banyak stadium di negara ini menghadapi masalah untuk memperbaharui FC mereka kerana dari semasa ke semasa, spesifikasi berubah berdasarkan dapatan baharu, kajian baharu atau spesifikasi ditetapkan bomba, tentulah kita kena ikut itu,” katanya.

Dr Johan Kamal Hamidon - Gambar oleh Nooreeza Hashim
Dr Johan Kamal Hamidon - Gambar oleh Nooreeza Hashim

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon turut senada menegaskan bahawa aspek keselamatan merupakan perkara tidak boleh dikompromi.

Katanya, aspek itu harus diberi perhatian sepenuhnya dalam apa sahaja acara keramaian, termasuk perlawanan bola sepak yang menghimpunkan ribuan orang ‘di bawah satu bumbung’.

Johan Kamal berkata, dari segi stadium, beliau yakin kerajaan negeri sememangnya mengintegrasi isu keselamatan dalam pembinaan pelan pembangunan stadium baharu.

Ujarnya, projek pembangunan semula Stadium Shah Alam dilihat sebagai usaha tepat pada masanya dan relevan, terutama dengan kepesatan perkembangan teknologi masa kini.

“Pihak kami sangat teruja dengan perancangan stadium ini dan berasa perancangan ini bersesuaian, relevan, ‘tidak out of touch’ (memenuhi ciri semasa), bukan sahaja kepada peminat bola sepak tetapi rakyat selangor keseluruhannya.

“Semua akan mendapat manfaat dengan kemudahan canggih tersebut,” katanya. - Getaran, 10 Oktober 2022


 

Sorotan

1

Kertas Siasatan Logo Mirip Kalimah Allah Pada Kasut Diserah Kepada AG

2

3 Lemas, 3 Masih Hilang Dalam Kejadian Kepala Air Di Lahad Datu

3

Agong, Raja Permaisuri Tiba Di Singapura Untuk Lawatan Negara Sulung

4

Bapa, 2 Anak Lemas Di Sungai Balak

5

Wai Ching Muncul Juara Kejohanan Larian Menara Dunia Di Taipei 101

6

TH Giat Buat Persiapan Akhir, Sedia Sambut Ketibaan Jemaah Haji

Disyorkan untuk anda

Semasa 7 jam yang lalu

PM Mahu Integriti Penjawat Awam Setimpal Pengiktirafan Kerajaan

Semasa 1 hari yang lalu

Bapa, 2 Anak Lemas Di Sungai Balak

Semasa 4 jam yang lalu

Kertas Siasatan Logo Mirip Kalimah Allah Pada Kasut Diserah Kepada AG

Sukan 1 hari yang lalu

Tuan Rumah China Bertemu Indonesia Pada Final Piala Uber