KUALA LUMPUR - Kematian seorang bayi lelaki berusia 18 bulan tiga tahun lalu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh, dengan bapa mangsa dikenal pasti sebagai suspek utama.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan selama hampir tiga tahun itu bermula susulan laporan yang dibuat seorang doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 13 September 2023.
Menurut beliau, mangsa dibawa ke hospital oleh bapanya yang berusia 40 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pemeriksaan perubatan mendapati terdapat kesan lebam di bahagian pinggang, bengkak di bahagian perut serta kecederaan di sekitar dubur mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 10.40 pagi pada hari yang sama. Pada peringkat awal, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki berlaku pengabaian yang menyebabkan kematian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Ab Rahaman berkata, seramai 13 individu termasuk ahli keluarga terdekat serta ahli keluarga pengasuh mangsa telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan dan sampel DNA turut diambil untuk tujuan analisis.
Bagaimanapun, katanya, analisis Jabatan Kimia gagal mengenal pasti suspek kerana sampel cecair yang dipercayai air mani dan ditemui pada dubur mangsa tidak mencukupi untuk ujian serta perbandingan lanjut.
Beliau memberitahu, siasatan diteruskan sehingga membawa kepada penahanan bapa mangsa pada 18 Julai lalu, diikuti bapa saudara mangsa yang berusia 35 tahun pada 22 Julai.
“Hasil semakan mendapati bapa mangsa yang bekerja sebagai buruh di Singapura tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Namun, bapa saudara mangsa mempunyai 13 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah serta didapati positif ganja menerusi ujian saringan air kencing,” katanya.
Ab Rahaman menarik perhatian, polis tidak menolak kemungkinan mangsa turut menjadi mangsa serangan seksual yang dipercayai dilakukan bapanya, namun perkara itu masih dalam siasatan.
Selain itu jelasnya, pemeriksaan terhadap telefon bimbit milik suspek utama turut menemukan imej dan video lucah.
Susulan perkembangan terbaharu itu, polis mengklasifikasikan semula siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.
Beliau berkata, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, manakala bapa saudara mangsa yang telah dibebaskan akan dijadikan saksi pendakwaan. - Getaran, 28 Julai 2026

