SEREMBAN - Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan segera terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang mengeluarkan kenyataan disifatkan menghina institusi diraja Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan sementara, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, institusi raja merupakan lambang yang dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, justeru tidak wajar dijadikan bahan polemik politik atau dieksploitasi sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, beliau amat kecewa dengan kenyataan dikeluarkan beberapa individu kebelakangan ini, yang menyentuh institusi diraja Negeri Sembilan, sehingga tular di media sosial.
“Perkara ini memerlukan tindakan tegas daripada pihak berkuasa keselamatan dan ia perlu dilaksanakan dengan segera.
“Kita tidak mahu tindakan hanya diambil selepas pilihan raya kerana keadaan itu boleh menjejaskan martabat serta kewibawaan institusi diraja,” katanya.
Aminuddin menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan.
Terdahulu, Istana Besar Negeri Sembilan menyeru semua parti politik supaya tidak melibatkan institusi diraja dalam ucapan serta kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, institusi diraja berpegang kepada prinsip berkecuali serta tidak terlibat dengan mana-mana parti atau aktiviti politik.
Beliau turut menasihatkan semua calon yang bertanding agar tidak mengeksploitasi isu agama, kaum dan institusi diraja (3R), sebaliknya menjalankan kempen secara bertanggungjawab, beretika serta mematuhi undang-undang demi mengekalkan keharmonian negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Aminuddin turut mengkritik tindakan segelintir pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman sepanjang kempen PRN.
Katanya, isu sedemikian tidak mendapat tempat di hati rakyat dan hanya segelintir individu yang percaya ia boleh dijadikan alat untuk meraih sokongan politik.
“Mereka menggunakan isu ini sebagai senjata dengan mendakwa ia mampu meningkatkan sokongan orang Melayu terhadap parti mereka,” katanya. - Getaran, 27 Julai 2026

