KUALA LUMPUR - Jenazah seorang rakyat Malaysia yang maut selepas ditikam dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan warga asing di Korea Selatan akan dibawa pulang ke tanah air sebaik sahaja semua urusan dokumentasi selesai.
Difahamkan, bedah siasat ke atas mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Shah, 26, telah selesai dijalankan.
Ketika ini, ahli keluarganya sedang menguruskan dokumentasi yang diperlukan di Daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, sebelum jenazah boleh dibawa pulang ke Malaysia.
Adik mangsa, Ain Sephia, 25, berkata, beliau dimaklumkan oleh kakak iparnya bahawa proses bedah siasat terhadap jenazah abangnya telah selesai.
Menurutnya, beberapa urusan pentadbiran bersama Kedutaan Malaysia di Korea Selatan masih perlu diselesaikan sebelum proses penghantaran pulang jenazah dapat dilaksanakan.
“Setakat ini, kami sudah menyerahkan semua dokumen yang diperlukan. Selepas semua prosedur selesai, barulah urusan membawa pulang jenazah ke Malaysia akan diatur.
“Buat masa ini, kami masih belum dimaklumkan bila jenazah dijangka tiba di Malaysia kerana masih terdapat beberapa proses yang perlu diselesaikan,” katanya seperti dilaporkan BH hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Ahmad Shah meninggal dunia selepas dipercayai ditikam dalam satu pergaduhan berkumpulan di Korea Selatan.
Keluarga mangsa dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.40 pagi selepas isterinya, Nurcahaya Ruslan, menghubungi mereka dan memaklumkan bahawa Ahmad Shah telah meninggal dunia.
Sementara itu, media Korea Selatan, JoongAng Daily, melaporkan, polis dari Balai Polis Eumseong telah menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Suspek disiasat atas kesalahan membunuh serta beberapa kesalahan lain selepas dipercayai menikam mangsa yang berusia lingkungan 20-an menggunakan sebilah pisau.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3 pagi di sebuah jalan di Daeso-eup, Daerah Eumseong.
Siasatan awal mendapati dua kumpulan yang masing-masing dianggotai suspek dan mangsa terbabit dalam satu pergaduhan besar di lokasi kejadian.
Kira-kira 10 individu dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu sebelum suspek didakwa mengeluarkan sebilah pisau dan menyerang mangsa. - Getaran, 27 Julai 2026

