KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan cadangan meletakkan sistem Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selepas mengambil kira pelbagai aspek, sekali gus mengekalkan program prauniversiti itu di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buat masa ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun cadangan memindahkan pengurusan Tingkatan Enam ke KPT disifatkan sebagai langkah yang wajar memandangkan ia merupakan pendidikan pascamenengah, pelaksanaannya memerlukan penelitian lanjut kerana melibatkan perubahan terhadap sistem pentadbiran serta skim perkhidmatan.
“Saya berpendapat rasional cadangan itu memang tepat, namun proses peralihan memerlukan masa kerana melibatkan sistem dan skim perkhidmatan.
“Justeru, buat masa ini kerajaan memutuskan program prauniversiti Tingkatan Enam kekal di bawah Kementerian Pendidikan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Pendidikan hari ini.
Sebelum ini, ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, Anwar mengumumkan KPT akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti yang melibatkan Tingkatan Enam dan program matrikulasi bermula tahun ini.
Menurut beliau, langkah itu secara rasmi meletakkan kedua-dua laluan berkenaan sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan tinggi negara.
Dalam perkembangan sama, Anwar menegaskan identiti Tingkatan Enam sebagai program prauniversiti perlu diperkukuh supaya tidak lagi dilihat sebagai sebahagian daripada pendidikan sekolah menengah biasa.
Beliau berkata, walaupun pelajar Tingkatan Enam masih ditempatkan di sekolah yang sama, mereka seharusnya mempunyai blok pembelajaran, pengurusan, disiplin serta aktiviti berasingan bagi mewujudkan suasana pembelajaran setaraf institusi prauniversiti.
“Saya mahu Tingkatan Enam tidak lagi dianggap sebahagian daripada persekolahan. Semangatnya ialah prauniversiti.
“Walaupun berada di sekolah yang sama, mereka perlu mempunyai blok khas, diuruskan sebagai program yang berasingan serta diberikan pengiktirafan sewajarnya,” katanya.
Beliau turut mencadangkan perhimpunan rasmi pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima diasingkan daripada pelajar Tingkatan Enam agar golongan itu benar-benar dapat menghayati status mereka sebagai pelajar pascasekolah yang sedang mengikuti pendidikan prauniversiti.
“Perdekatan sedemikian pernah diamalkan sebelum ini dan wajar diperkenalkan semula bagi memperkukuh imej serta meningkatkan keyakinan pelajar terhadap laluan pendidikan Tingkatan Enam,” katanya. - Getaran, 28 Julai 2026

