KUALA LUMPUR - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, hari ini mengetuai delegasi kerajaan negeri bagi memberikan penghormatan terakhir kepada remaja, Tan Tze Kim, 18, yang ditemukan maut di podium tingkat lima Kompleks Pentadbiran Negeri Komtar, Jumaat lalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 68 bangunan komersial dan pentadbiran itu yang terletak di tengah bandar George Town, sekali gus menimbulkan persoalan, bagaimana remaja terbabit berjaya memasuki aras tertinggi bangunan berkenaan yang dilengkapi kawalan keselamatan ketat.
Menerusi hantaran di media sosial, Kon Yeow berkata, beliau hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di kawasan parkir Gat Lebuh Macallum, lokasi mayat mangsa ditempatkan selepas kejadian.
“Saya sempat bertemu ibu mendiang, Chan Jo Ann, neneknya, Ow Yeng Saw Cheng, serta ahli keluarga lain bagi menyampaikan ucapan takziah dan rasa simpati atas kehilangan yang amat menyedihkan ini,” katanya.
Beliau berharap keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat sukar tersebut.
Kon Yeow berkata, upacara pengebumian dijadual berlangsung hari ini sebelum proses pembakaran mayat di Krematorium Batu Gantong.
Delegasi yang mengiringi Ketua Menteri termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Lim Swee Khim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Setiausaha Politik Ketua Menteri, Lau Keng Ee; wakil Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; serta beberapa pegawai kerajaan negeri.
Siasatan berhubung kejadian itu masih diteruskan pihak berkuasa, termasuk mengenal pasti bagaimana mangsa dipercayai memperoleh akses ke tingkat tertinggi bangunan berkenaan. - Getaran, 28 Julai 2026
