KUALA LUMPUR -Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sedang melakukan siasatan terperinci susulan tular sebuah video tindakan anggota trafik menyaman dan menawarkan bayaran saman di lokasi kejadian ke atas pasangan warga United Kingdom (UK) yang dalam edisi jelajah Malaysia dengan kenderaan.
Video berkenaan dikesan pada 4.30 petang semalam di YouTube.
@getaranmy Dilaporkan pihak PDRM kini sedang menyiasat insiden yang dikatakan melibatkan seorang anggota polis trafik dan pasangan pelancong yang ditahan kerana disyaki memandu melebihi had laju. #getaranmy #viral #semasa ♬ original sound - Getaran
Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata JSPT tidak akan bertoleransi dengan sebarang salah laku oleh mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat.
Beliau dalam kenyataan hari ini berkata JSPT mengambil maklum akan kejadian yang berlaku dan menasihatkan orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi.
Menurutnya, JSPT akan memaklumkan perkembangan siasatan berhubung perkara ini dan juga tindakan lanjut yang akan diambil.
"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kejadian ini diminta menyalurkannya bagi membantu siasatan kepada JSPT melalui talian bilik gerakan 03-22663356 atau emel [email protected]," katanya.
Semalam, tular di media sosial mengenai satu video yang memaparkan seorang anggota polis trafik yang mengenakan tindakan saman terhadap warganegara UK dengan jumlah yang tertentu. - BERNAMA

