KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka memperkenalkan kad pengenalan diri (ID) khas untuk pembelian minyak masak paket bersubsidi bagi memastikan ia dapat dinikmati kumpulan yang layak.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, dalam satu hantaran melalui akaun Facebook, bagaimanapun tidak menyatakan bila ia akan diperkenalkan.
Beliau berkata, ketika ini pihaknya menerima aduan minyak masak paket bersubsidi tiada di pasaran dan selalu habis sedangkan setiap bulan kerajaan mengeluarkan 60 juta paket bahan makanan asas itu.
"Maka dengan subsidi bersasar, hanya yang ada ID (pengenalan diri) dan disahkan layak sahaja boleh dapatkan minyak masak yang paket bersubsidi ini.
"Ramai yang bertanya mengapa tidak gunakan IC (MyKad) atau (aplikasi) MySejahtera. Ini kerana keperluan keluarga tidak sama dengan keperluan peniaga mikro," katanya.
Beliau berkata, sasaran kerajaan adalah bagi memastikan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) rendah dapat menikmati kemudahan tersebut.
Katanya, pada masa ini minyak masak paket berada dalam pasaran terbuka, justeru kerajaan mahu mensasarkan penjualannya kepada mereka yang memerlukan supaya ia tidak dijual kepada pihak yang tidak sepatutnya.
Fuziah berkata, jika kerajaan menghadkan pembelian minyak masak sedemikian kepada tiga atau lima paket saja, peniaga mikro yang diputuskan termasuk dalam golongan sasar, akan berdepan masalah.
“Lagi satu ialah golongan T20 tidak layak terima subsidi minyak masak paket. Maka perlu kepada ID yang berbeza," katanya.
Sementara itu, dalam satu kemaskini pada jam 1 tengah hari tadi, Fuziah berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk penggunaan MyKad jika inisiatif ini mudah dilaksanakan dengan ada akses kepada dokumen berkenaan.
“Sekiranya memudahkan dengan link kepada MyKad kita boleh pertimbangkan.
“Berkenaan dengan peniaga mikro kita perlu bincang lagi sebab mereka tak semua berdaftar,” katanya.
Pun begitu, beliau meminta semua pihak bersabar kerana mekanisme untuk itu belum lagi dimuktamadkan kerana libat urus masih berterusan. – Getaran, 2 Oktober 2023

