KUALA LUMPUR – Prihatin dengan nasib mangsa bencana alam di Maghribi dan Libya sejak beberapa minggu ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan program solat hajat secara besar-besaran, esok.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Setia Dr Mohd Na'im Mokhtar, dalam satu kenyataan media, berkata ia bagi mendoakan kesejahteraan mangsa di kedua-dua negara terbabit selain mendoakan perdamaian konflik rakyat Sudan.
Beliau berkata, solat hajat akan diadakan di Masjid Negara, Masjid Putra dan di Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin selepas selesai solat Maghrib.
"Seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut diminta melaksanakan Solat Hajat pada tarikh dan waktu yang sama," katanya.
Beliau berkata, program berkenaan adalah bagi mendoakan kesejahteraan buat mangsa banjir besar di Libya, dan juga buat mangsa gempa bumi di Maghribi.
Solat hajat itu juga bagi memohon kepada tuhan dalam memudahkan urusan dan juga segala usaha perdamaian bagi menyelesaikan konflik yang melanda di Sudan.
"Marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan buat seluruh rakyat Maghribi dan Libya serta menghulurkan apa juga bentuk bantuan kepada mangsa-mangsa yang menghadapi ujian susulan bencana tersebut.
"Selain itu, kita juga berdoa supaya segala usaha perdamaian akan berjaya menyelesaikan konflik yang meletus di negara Sudan," katanya.
Kementerian itu dalam masa yang sama turut menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada seluruh mangsa banjir dan juga gempa bumi melibatkan dua negara tersebut.
Mohd Na'im turut mendoakan agar usaha mencari dan menyelamat mangsa dimudahkan dan diberi kelancaran.
Ribut Mediterranean mendarat di timur Libya pada minggu lalu mencetuskan banjir dan memusnahkan kemudahan di sepanjang laluannya.
Media sebelum ini melaporkan Maghribi dilanda gempa bumi berukuran 6.8 skala Richter itu menggegarkan barat daya Marrakesh, lokasi tumpuan pelancong di negara itu.
Sudan sudah tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021, apabila pihak tentera memecat kerajaan peralihan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok lantas mengisytiharkan darurat dalam satu tindakan yang dikecam oleh kuasa politik sebagai rampasan kuasa.
Perselisihan pendapat tercetus sejak beberapa bulan kebelakangan ini antara tentera dan paramilitari mengenai pembaharuan keselamatan tentera. – Getaran, 17 September 2023

