KUALA LUMPUR - Dua beradik maut selepas kereta yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki minyak di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir, di Kuantan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata dua beradik itu, Siti Mazurah Zulkifli, 30, dan Siti Nur Alia Saffiyah, 18 meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 11 malam, ketika lori tangki membawa muatan bahan api petroleum itu dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah menuju ke sebuah stesen minyak di Gambang.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu lori dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Wira dinaiki mangsa.
“Akibat kemalangan itu, dua beradik yang bekerja sebagai jurujual dan pramusaji itu disahkan maut di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat,”katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, pemandu lori berusia 31 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu bebas pengaruh dadah," katanya. – Getaran, 14 Jun 2023
