KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa sepatutnya menunggu sidang hakim untuk meneliti prosiding mahkamah sebelum memulakan siasatan, kata mantan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.
“Pada pandangan saya, jika hendak memulakan siasatan, biarlah perbicaraan selesai supaya ada rasa hormat terhadap penghakiman dan institusi kehakiman.
“Sebaik saja siasatan dimulakan, ia membuka ruang kepada persepsi tidak betul yang mengakibatkan prasangka terhadap badan kehakiman, dan bukan hanya kepada seseorang hakim sahaja,” katanya kepada The Vibes.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penghakiman Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Ghazali yang diputuskan gagal mematuhi protokol.
Zaki berkata, adalah wajar pihak berkuasa merujuk kepada Ketua Hakim Negara terlebih dahulu sebelum melakukan siasatan, melainkan ada keperluan untuk melakukan siasatan secara mengejut.
“Selain daripada melakukan siasatan mengejut atas apa jua alasan, saya fikir ia harus dirujuk kepada orang nombor satu.
“Isunya adalah menghormati, bukan saja kepada seseorang individu tetapi badan kehakiman,” katanya.
Jumaat lalu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan mengeluarkan penghakiman berhubung permohonan dua peguam dan seorang aktivis untuk merujuk dua persoalan Perlembagaan berkaitan siasatan SPRM terhadap Mohd Nazlan.
Panel berkenaan juga berpandangan pihak pendakwa raya mempunyai kuasa memulakan prosiding jenayah terhadap hakim mahkamah atasan.
Bagaimanapun, mereka berpendirian, siasatan itu mesti dilakukan mengikut protokol tertentu bagi memelihara kebebasan badan kehakiman, antaranya badan siasatan perlu terlebih dahulu berunding dengan Ketua Hakim Negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim berkenaan.
Selain itu, badan siasatan tidak boleh menghebahkan fakta siasatan tanpa kebenaran ketua hakim negara dan pendakwa raya mesti berunding dengan Ketua Hakim Negara ketika siasatan, termasuk dalam keputusannya untuk melakukan pendakwaan.
Sementara itu, badan pemerhati rasuah menggesa Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki meletakkan jawatan berikutan kegagalannya mematuhi protokol ketika menyiasat pegawai kehakiman.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Pushpan Murugiah mempersoalkan niat pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan mengenai siasatan terhadap Mohd Nazlan, apabila protokol menetapkan perkara sedemikian tidak seharusnya didedahkan kepada umum.
“C4 percaya Azam sebagai Pesuruhjaya SPRM perlu diminta meletak jawatan kerana kegagalannya mematuhi protokol ketika menyiasat Mohd Nazlan.
“Timbul persoalan mengapa SPRM mengeluarkan kenyataan merujuk kepada hakim dalam siasatannya sedangkan protokol menetapkan bahawa sebarang siasatan terhadap hakim tidak boleh didedahkan kepada umum.
“Malah kenyataan dikeluarkan SPRM juga tidak kena pada masanya sehingga membawa kepada prasangka buruk,” katanya.
Mengulas penghakiman Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu, beliau berkata, keputusan itu menyentuh kebebasan dan akauntabiliti hakim.
“Untuk memelihara kebebasan badan kehakiman daripada tekanan luar yang mungkin cuba mengganggu proses kehakiman, adalah penting pihak berkuasa terlebih dahulu berunding dengan Ketua Hakim Negara.
“Disebabkan kedudukan mereka, terdapat keperluan untuk mengekalkan piawaian yang tinggi apabila melibatkan siasatan terhadap hakim. Terdapat protokol yang perlu diikuti. Protokol ini ada untuk memelihara fungsi badan kehakiman.
“Dalam badan kehakiman, terdapat proses untuk menjalankan penyiasatan terhadap hakim lain,” katanya.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memberitahu Dewan Rakyat bahawa laporan SPRM berhubung siasatannya terhadap Mohd Nazlan telah diserahkan kepada Ketua Hakim Negara pada 21 Februari.
Mohd Nazlan adalah hakim yang bertanggungjawab dalam perbicaraan SRC International membabitkan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dan dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun serta denda RM210 juta.
Bagaimanapun, April lalu, SPRM mengumumkan pihaknya memulakan siasatan terhadap Mohd Nazlan selepas menerima laporan berhubung wang sebanyak RM1 juta di dalam akaun bank Hakim Mahkamah Rayuan tersebut. – Getaran, 28 Februari 2023