Berita Terkini

1 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 3 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 3 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Art Harun Tinggalkan Dewan, ‘Diserang’ Tolak Bahas Tuntutan Waris Kesultanan Sulu

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Jul 2022 4:28PM

Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Speakernya, Datuk Azhar Azizan Harun meninggalkan sidang dewan selepas diserang hebat Ahli Parlimen pembangkang - Gambar Fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Speakernya, Datuk Azhar Azizan Harun meninggalkan sidang dewan selepas diserang hebat Ahli Parlimen pembangkang, yang mempersoalkan tindakannya menolak usul untuk membahaskan rampasan aset PETRONAS yang dituntut waris Kesultanan Sulu.

Azhar bertikam lidah dengan beberapa Ahli Parlimen, antaranya, Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud-WARISAN), Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor-PH) dan Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar-WARISAN) selepas tidak membenarkan isu itu dibahaskan hari ini.

Susulan kekecohan itu, Isnaraissah yang terus mendesak agar isu tersebut dibahaskan, turut digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama dua hari, berkuatkuasa serta-merta.

Selain itu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang turut berdiri mengelilingi Isnaraissah untuk menghalangnya daripada diiringi keluar dewan.

Di awal sesi perdebatan hangat itu, Azhar berulang kali dipersoal berhubung dakwaan konflik kepentingan selepas abangnya, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, beliau akan ‘menyiasat’ laporan rampasan dua anak syarikat PETRONAS berhubung tuntutan dikemukakan waris kesultanan Sulu.

Berang dengan keadaan itu, Azhar berkata, usul tergempar telah dibenarkan dalam persidangan Dewan Rakyat sebelum ini.

Azhar: Ia telah dibincangkan dengan panjang lebar dan Menteri (di Jabatan Perdana Menteri) Ekonomi telah menjelaskan perkara itu.

Isnaraissah: Itu tidak mencukupi.

Azhar: Tolong jangan mencelah apabila saya bercakap. Maka itu dijelaskan oleh Menteri (di Jabatan Perdana Menteri) Ekonomi ketika itu. Semua orang tahu apa yang sebenarnya berlaku tentang aset PETRONAS di Azerbaijan.

Isnaraissah: Tuan Speaker…

Azhar: Sekejap lagi. Kedua, saya menerima pandangan undang-undang bahawa ia adalah benar-benar perkara sub judice kerana terdapat satu atau dua lagi prosiding yang sedang berjalan.

Dari segi konflik kepentingan, tidak ada, dan saya tidak pernah campur tangan dalam apa yang abang saya lakukan. Saya tidak bercakap dengannya tentang kerja. Dan jika apa-apa berlaku di Dewan Rakyat yang akan menyentuh isu berkaitan beliau, saya akan mengenepikan diri saya daripada membuat keputusan. Oleh itu, inilah keputusan saya.

Isnaraissah: Walaupun menteri telah menjelaskannya dengan panjang lebar, aset PETRONAS masih disita.

Azhar: Ya, mereka telah merampasnya. Mereka akan membawa tindakan mahkamah mengikut kehendak mereka. Tolonglah.

Kekecohan itu berlarutan selama lebih 20 minit yang menyaksikan Azhar berlalu pergi meninggalkan dewan.

Beliau kemudiannya ditukarkan dengan Datuk Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat-BERSATU), namun keadaan dewan terus kecoh.

Pada masa sama, Isnaraissah tidak henti-henti mendesak agar Dewan Rakyat memutuskan satu tarikh bagi membahaskan usul yang dibawanya.

“Ini kali ketiga saya mengemukakan usul ini untuk dibentangkan, tetapi sudah tiga kali ditolak. Ini soal kedaulatan negara.

“Saya menuntut supaya speaker memberi tarikh kepada saya untuk usul ini diterima dan dibahaskan. Beri saya tarikh!” katanya kepada Rashid ketika Datuk Seri Takiyuddin Hassan sedang membentangkan pindaan Rang Undang-Undang Perhutanan Negara 1994 bagi bacaan kali kedua.

Tidak tahan didesak, Rashid bagaimanapun berkata, Isnaraissah boleh menulis rayuan kepada Speaker.

Terdahulu Financial Times melaporkan, dua anak syarikat PETRONAS iaitu PETRONAS Azerbaijan (Shah Deniz) dan PETRONAS South Caucasus yang didaftarkan di Luxembourg, dirampas waris Kesultanan Sulu.

Mengulas mengenai laporan itu, PETRONAS mengesahkan mereka telah menerima notis ‘Saisie-arret’ pada 11 Julai tetapi kedua-dua anak syarikat terbabit telahpun melupuskan semua aset di Azerbaijan, sebelum ini.

Namun tidak jelas sama ada kedua-dua syarikat itu masih aktif di Azerbaijan apabila surat undang-undang itu diserahkan.

"PETRONAS menganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukan PETRONAS dari segi undang-undang dalam hal ini," katanya.

Rampasan itu adalah sebahagian daripada penganugerahan timbang tara dikeluarkan mahkamah di Perancis berjumlah AS$14.9 bilion kepada waris Kesultanan Sulu yang tidak berfungsi.

Pada Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan pasukan khas bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya bagi menangani isu tuntutan waris Sultan Sulu terhadap Malaysia.

Wan Junaidi mengesahkan pasukan petugas khas itu yang akan diketuainya turut dianggotai Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Peguam Negara Tan Sri Idris Harun dan pakar-pakar berkaitan timbang tara antarabangsa. - The Vibes, 18 Julai 2022

Sorotan

1

Mangsa Skim Pelaburan Penipuan Berisiko Hilang Hak Untuk Pulih Kerugian – JSJK

2

SPRM Terima Beribu-ribu Dokumen Semasa Siasatan Kes 1MDB – Pegawai Penyiasat

3

Malaysia Berdepan 30,000 Kekurangan Jurutera, Perlu Tampung Dengan TVET

4

Kerajaan Kelantan Ucap Terima Kasih Kepada PM

5

KESUMA Sambut Baik Penyediaan Dana Latihan RM30 Juta

6

Kerajaan Akan Terus Pantau Kadar Inflasi Susulan Kenaikan Gaji Penjawat Awam - PM

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Kerjasama Awam-Swasta Bakal Bantu Selesaikan Isu Kekurangan Jururawat

oleh Wartawan Getaran

Politik 1 hari yang lalu

Undi Pemilih India, Orang Asli Penentu Keputusan PRK KKB - Penganalisis

oleh Diyana Nawwar

Semasa 1 hari yang lalu

Suspek Samun Pemain TFC Diburu Polis

oleh Wartawan Getaran

Semasa 4 jam yang lalu

Kenaikan Gaji Untuk Hargai Penjawat Awam Termasuk Bomba - PM