KUALA LUMPUR - Bencana banjir yang melanda negara, sebagaimana berlaku secara mengejut di Selangor tahun lalu, tidak wajar dipromosikan sebagai produk ‘pelancongan kesukarelawanan’.
Presiden Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFFTA), Dr Fathir Badri berkata, banjir adalah musibah yang menyaksikan ramai mangsa terkesan dengan bencana buruk itu.
“Bila musibah kenapa nak jadikan ia sesuatu yang menyeronokkan dan menggembirakan? Masih ada pihak terkesan dengan bencana itu.
“Jadi kita tak boleh gunakan banjir untuk menarik pelancong datang ke Malaysia. Sebenarnya kita ada banyak lagi produk pelancongan boleh diketengahkan,” katanya kepada Getaran.

Terdahulu, mantan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dipetik sebuah portal bahasa Inggeris sebagai berkata, banjir yang berlaku ketika musim tengkujuh berpotensi untuk menjadi tarikan pelancong.
Menurut beliau, cadangan itu bukan mengenai pelancong datang semata-mata untuk berseronok, tetapi mereka juga boleh belajar membantu dengan kerja sukarelawan semasa banjir.
Beliau turut memberi contoh di Kuala Krai, Kelantan pada 2014 yang disifatkan seperti ‘pesta’ semasa banjir.

Sambil menyifatkan cadangan terbabit sebagai sesuatu yang ‘kelakar’, Fathir mengakui turut terkejut apabila Mohamed Nazri boleh mengeluarkan idea kurang cerdik seperti itu.
“Bagi saya, idea tersebut satu benda kelakarlah. Saya macam terkejut ia keluar dari mulut bekas menteri. Banjir itu sudah jelas bukan produk pelancongan.
“Sepatutnya kita malu negara kita dilanda banjir, ini kita nak pamerkan pula. Kita kalau boleh tak nak keluar berita pun pasal banjir-banjir ni,” katanya.
Fathir bagaimanapun beranggapan cadangan Mohamed Nazri mungkin bermaksud penganjuran pesta air atau Songkran seperti di Thailand.
“Mungkin apa beliau nak sampaikan tu, kita fikir-fikirkan lebih macam Songkran, pesta air macam tu.
“Tapi kalau nak jadikan banjir satu produk pelancong, tak betullah. Keadaan musibah ini kita tak boleh buat untuk suka-suka atau jadikan pesta,” katanya.

Sebagai seorang mantan menteri berpengalaman, Fathir berkata, Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Renggas sepatutnya mencadangkan langkah terbaik untuk memajukan sektor pelancongan di negara ini.
“Saya rasa pelancong dari Eropah dan Asia masih berminat untuk melihat produk eko-pelancongan. Jadi sebagai seorang bekas menteri berpengalaman, saya tak rasa perkara itu patut dicadangkan pun,” katanya.
Malah beliau berkata, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) bersama-sama dengan Tourism Malaysia sedang giat berusaha membantu penggiat industri pelancongan mempromosikan produk eko-pelancongan dalam negara.
“Sebenarnya baru-baru ini, kita buat promosi pelancongan di Dubai. MOTAC dan Tourism Malaysia sendiri bantu kita panggil pembeli berpotensi untuk datang ke program itu.
“Badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan sememangnya bertungkus-lumus dalam menarik pelancong datang ke Malaysia sebab sekarang ini kita bersaing dengan Thailand dan Singapura. Jadi kita kena sama-sama aktif,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Barracuda Adventure Team, Mohd Fadir Hazmi, yang terlibat misi bantuan ke Selangor sebagai membalas budi pihak dari negeri berkenaan yang banyak membantu mangsa banjir di Kuala Krai sekitar tujuh tahun lalu, menyifatkan cadangan tersebut subjektif.
“Ini subjektif. Bagi mangsa banjir, mereka pasti sedih dan masih trauma dengan musibah menimpa mereka.
“Jadi cara terbaik perlu ada agar pihak tertentu tidak dilihat mengambil keuntungan di saat kesusahan orang lain,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, idea tersebut boleh dijadikan perbincangan hebat dalam kalangan penggiat industri pelancongan, NGO dan pihak berkaitan.
“Pelancong ini kena jadi dalam kalangan mereka yang hadir dengan bantuan. Melancong, merasai suasana banjir dan membantu mangsa terjejas.
“Perkara ini kita dah buat sebenarnya, pergi bantu mangsa banjir dan keadaan itu mungkin boleh diolah menjadi produk pelancongan dan dikomersialkan. Melancong sambil beramal,” katanya. - Getaran, 19 Jun 2022

