web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Pengambilalihan Kurangkan Tempoh Konsesi, Beri Banyak Manfaat Kepada Rakyat - ALR

Semasa Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 09 Apr 2022 4:15PM

Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) - Gambar Azim Abd Rahman

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Tawaran pengambilalihan empat konsesi lebuh raya di Lembah Klang dengan nilai perusahaan agregat sebanyak RM5.48 bilion akan memberi banyak manfaat kepada rakyat dan negara.

Jurucakap Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) berkata, empat lebuh raya yang terbabit dalam langkah pengambilalihan itu adalah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).

Menurut beliau, pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada cadangan penstrukturan semula tol bagi empat lebuh raya terbabit seperti yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof 4 April lalu.

Ketiadaan penstrukturan semula katanya, akan menimbulkan dua senario apabila kadar trafik terus meningkat.

“Pertama kerajaan terpaksa terus membayar pampasan tol yang semakin meningkat atau kedua, kadar tol dinaikkan dan mengakibatkan pertambahan beban kewangan yang lebih tinggi kepada pengguna lebuh raya.

“Kedua-dua senario ini adalah tidak ideal dan penyelesaian yang jelas perlu dilaksanakan iaitu kadar tol syarikat konsesi perlu ditetapkan kepada kadar semasa dengan serta-merta menyingkirkan sebarang keperluan untuk kerajaan membayar pampasan,” katanya.

Jurucakap itu menyatakan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama lima  pemegang saham yang juga Ahli Lembaga Pengarah ALR iaitu Tan Sri Azlan Mohd Zainol, Datuk Idrose Mohamed, Datuk Ir Soam Heng Choon, Datuk Dr Nirmala Menon dan Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Katanya, sebarang risiko kenaikan tol pada masa hadapan yang merugikan pengguna lebuh raya juga dapat ditangani.

"Walau bagaimanapun, kita semua perlu maklum bahawa dalam mana-mana penstrukturan semula tol, tempoh konsesi perlu dilanjutkan bagi mengimbangi kehilangan pendapatan bagi syarikat konsesi dan pembayaran balik kesemua hutang-hutang pemegang sukuk," katanya.

Jelasnya lagi, cadangan pengambilalihan itu juga bertujuan untuk mengurangkan tempoh lanjutan konsesi yang diperlukan, secara ringkasnya ALR akan memulangkan konsesi lebuh raya kepada kerajaan setelah semua hutang dibayar sepenuhnya.

“Dua faktor kritikal yang menjayakan struktur inovatif ini adalah pemegang saham ALR tidak memerlukan sebarang pulangan ekuiti.

"Seperti yang akan termaktub dalam Perlembagaan ALR, dokumen pembiayaan dan aku janji kepada kerajaan, pemegang saham ALR tidak berhak untuk menerima sebarang dividen,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, tiada keperluan untuk memanjangkan lagi tempoh konsesi sebaik sahaja kesemua hutang ALR setelah dibayar sepenuhnya. 

“Memandangkan vendor-vendor syarikat konsesi adalah entiti komersial, pertukaran orientasi kepada “tidak berasaskan keuntungan” tidak dapat dilaksanakan di bawah struktur pemilikan yang sedia ada. 

“Justeru, cadangan untuk ALR mengambil alih syarikat konsesi,” katanya.

Menurutnya, ALR juga akan mengurangkan kos modal melalui pembiayaan hutang. 

Tanpa keperluan membayar dividen kepada pemegang saham, katanya, aliran tunai bebas syarikat konsesi (selepas memenuhi keperluan operasi) kini boleh disalurkan sepenuhnya ke arah menyelesaikan obligasi pembiayaan hutang.

Menerusi langkah itu katanya, profil aliran tunai dikhususkan ke arah melunaskan hutang dan ALR dijangka akan menerima penarafan kredit yang kukuh, sekali gus membolehkannya menggunakan pasaran modal bagi membiayai pemerolehan itu termasuk pembayaran balik hutang sedia ada.

"Bagi melancarkan urusan penerbitan sukuk, ALR melantik konsortium bank yang bereputasi tinggi. Sekali lagi ditegaskan disini, ALR tidak akan meminta bantuan kewangan kerajaan untuk menjamin sukuk.

"ALR juga dijangka dapat mempercepatkan kesemua pembiayaan hutang yang diambil dan memulangkan keempat lebuh raya terbabit kepada kerajaan dalam masa yang bersesuaian," katanya.

Pada masa sama jelas jurucakap itu, ALR memberi jaminan tidak akan berlaku pengabaian kakitangan empat syarikat konsesi lebuh raya dan mereka turut terbabit dalam pengambilalihan ini.

Beliau berkata, pengambilalihan akan merangkumi semua infrastruktur dan aset sedia ada di keempat lebuh raya termasuk yang terpenting iaitu tenaga kerja.

Malah kelima-lima pemegang sahamnya juga yakin dan percaya dengan merit penstrukturan semula itu di mana rakyat dan negara akan mendapat manfaat.

“Kami secara sukarela bersetuju untuk berkhidmat di ALR dan bertindak sebagai pengantara sektor swasta bagi memudahkan transaksi tersebut.

“Kami bebas dan tidak berkait dengan kerajaan atau pemegang saham syarikat konsesi yang sedia ada dan tidak mewakili atau menjadi penama kepada mana-mana parti politik mahupun sekutunya,” katanya.

Katanya lagi, ALR akan menegakkan standard tertinggi dalam tadbir urus korporat dan integriti, serta menjaga kepentingan pemegang sukuk.

Selain itu, katanya, ALR juga komited untuk mengekalkan standard perkhidmatan tinggi yang sedia ada dengan mengutamakan keselamatan pengguna lebuh raya dan memastikan pematuhan berterusan terhadap peraturan serta keperluan Lembaga Lebuhraya Malaysia dan perjanjian konsesi masing-masing.

"Sebaik sahaja amanat kami untuk memulangkan konsesi tersebut kepada kerajaan dapat dicapai, sekiranya ada lebihan baki, kami diwajibkan kerajaan untuk menyalurkan baki tersebut ke arah kos penyelenggaraan lebuh raya atau penambahbaikkan mobiliti dalam bandar.

"Kami juga tidak berhak untuk menerima sebarang dividen atau pengagihan pemegang saham daripada ALR," katanya. - Getaran, 9 April 2022

Sorotan

1

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

2

‘Hubungi Pihak Universiti Jika Berdepan Masalah, Jangan Malu Atau Segan’ - Zambry

3

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

4

AGC Klasifikasi Aduan Albert Tei Terhadap Azam Baki Sebagai NFA

5

Retorik Eksklusif MB Johor Khianati Rakyat, Dedah Hipokrasi Politik UMNO

6

PRN Johor: 2.7 Juta Layak Mengundi, Lebih 40,000 Petugas Pilihan Raya Dilantik

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

PM Diberi Sambutan Rasmi Di Pejabat Takaichi

Semasa 2 jam yang lalu

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

Semasa 1 hari yang lalu

Tengkorak Manusia Ditemui Dalam Jaring Nelayan Di Perairan Johor

oleh Sophia Ahmad