web statsweb stats

Berita Terkini

1 bulan yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 bulan yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Nama Bahasa Melayu Perlu Diubah Kembali Kepada Bahasa Malaysia - MPN  

Semasa Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 08 Apr 2022 11:41AM

MPN berpendapat bahawa Ahli Parlimen perlu memahami dan menyokong usul supaya nama Bahasa Malaysia digunakan kembali sebelum ia dimartabatkan ke pentas antarabangsa terutama rantau ASEAN.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Majlis Profesor Negara (MPN) mengesyorkan agar nama Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini diubah kembali kepada Bahasa Malaysia, sebelum ia dimartabatkan ke pentas antarabangsa terutamanya rantau ASEAN.

Timbalan Presiden MPN, Prof Dr Kamaruddin M Said berkata, susulan itu, usul mengenai cadangan tersebut perlu difahami dan disokong pihak berkuasa termasuk Ahli Parlimen di negara ini.

“Nama dan status  bahasa itu sudah dimasukkan ke dalam undang-undang dasar atau Perlembagaan. Dan hidup kita sebagai warganegara kepada negara bangsa tertentu, kita mesti patuh kepada Perlembagaan tersebut.

“Kalau Perlembagaan kata begitu, (kita) patuh melainkan Perlembagaan itu diubah. Misalnya Perlembagan Malaysia Perkara 152 menyebut bahawa bahasa kebangsaan Malaysia ialah Bahasa Melayu. Ia tidak sebut harus juga dikenali sebagai bahasa Malaysia, tidak disebut. 

“Tapi kalau itu ditambah dalam Perlembagaan, maka semua akan menerima namanya sah dari segi Perlembagaan iaitu Bahasa Malaysia, walaupun sebetulnya  Bahasa Melayu. Sama seperti Bahasa Indonesia, akarnya itu Bahasa Melayu tapi sekarang secara perundangan mengikut konstitusi harus dipanggil Bahasa Indonesia,” katanya.

Dr Kamaruddin M Said
Dr Kamaruddin M Said

Beliau berkata demikian pada program Minda Profesor Negara bertajuk Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia sebagai Bahasa Antarabangsa yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook MPN.

Program lebih sejam dihoskan Felo Kluster Wanita dan Masyarakat MPN, Prof Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw itu, turut menampilkan Prof Dr Ir Ari Purbayanto dan Prof Dr Aminuddin Aziz dari Asosiasi Profesor Indonesia (API).

Menurut beliau, usaha untuk mengubah kembali nama Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia sudah dilakukan pada 2007 tetapi tidak berjaya.

“Jadi sekarang harus dicuba lagi supaya pada waktu itu orang tidak begitu mengerti tentang sentimen nama Bahasa Melayu itu di Indonesia. Saya pun baharu mengerti sewaktu (program) di Surabaya.

“Dalam undang-undang dasar Indonesia sudah dinyatakan walaupun bahasa itu Bahasa Melayu, tetapi sebagai bahasa negara, ia dikenali Bahasa Indonesia bukan lagi Bahasa Melayu. 

“Jadi pejuang bahasa di Malaysia harus bersedia mengubah kembali Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia agar kerjasama ini nanti tidak terhalang disebabkan kesilapan nama tersebut, walaupun kedua-dua terasnya adalah Bahasa Melayu tapi mempunyai implikasi,” katanya.

Pada masa sama, Kamaruddin berkata, masalah yang timbul ketika ini juga boleh diselesaikan sekiranya ungkapan Bahasa Malaysia-Indonesia digunakan semasa membuat usul tersebut.

“Jadi tidak timbul kekeliruan di Indonesia bahawa kita hanya bercakap tentang bahasa daerah, bahasa kecil di Indonesia tetapi inilah bahasa rasmi negara Malaysia iaitu Bahasa Malaysia.

“Oleh itu, saya cadangkan pihak berkuasa di Malaysia, termasuk Ahli Parlimennya mesti memahami dan menyokong usul supaya nama Bahasa Malaysia itu digunakan kembali,” katanya.

Jelas beliau lagi, sejak kemerdekaan Tanah Melayu, Bahasa Melayu itu dipanggil bahasa kebangsaan sebagaimana termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Namun katanya, apabila Malaysia ditubuhkan, namanya diubah menjadi Bahasa Malaysia.

“Jadi waktu itu tak ada isu dari segi nama. Tapi kemudian pada 1986, tak tahu apa sebabnya, nama itu diubah kepada Bahasa Melayu. Bermulalah, itu bukan dirancang begitu. 

“Tapi kesan daripada perubahan nama Bahasa Malaysia ke Bahasa Melayu itu sudah menimbulkan kekeliruan sebab tidak ramai orang mengerti tentang konteks Bahasa Melayu daripada persepktif Indonesia,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada Bahasa Melayu berupaya menjadi bahasa kedua di ASEAN, Kamaruddin berkata, tugas tersebut amat besar.

“Berdasarkan apa saya pelajari sewaktu pembentangan kertas kerja di Jakarta 10 tahun lalu, kalau bahasanya dimengerti maka akan ada sambutan. Tetapi kalau bahasa itu tak difahami, tak ada sambutan maka jadi masalah.

“ASEAN mempunyai 10 anggota dan bahasa pengurusannya ialah Bahasa Inggeris, selain itu ada sembilan bahasa lain. Jadi bagi saya tugas sangat besar. Ia memerlukan 10 penterjemah bahasa itu supaya difahami perwakilan, jadi kerjanya bertambah,” katanya.

Justeru beliau berkata, Malaysia dan negara jiran, Indonesia perlu mencari strategi terbaik mengenai cara untuk menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa kedua di ASEAN walaupun hanya melibatkan 10 negara.

“Jadi mereka yang bekerja di ASEAN perlu memahami Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan juga Bahasa Indonesia supaya tak timbul salah faham. 

“Tugas pula akan menjadi lebih berat, terutama yang menterjemahkan sebab resolusi nanti akan ditulis dalam bahasa apa? Tentu sahaja dalam Bahasa Inggeris iaitu bahasa pengurusannya.

“Saya fikir kita perlu berbincang strategi, mungkin MPN dan API perlu meneruskan perbincangan mengenai strategi apa perlu digunakan sama ada idea itu boleh dilaksanakan lima atau 10 tahun lagi,” katanya. - Getaran, 8 April 2022
 

Sorotan

1

Diperdaya Pelaburan Palsu, Pengarah Syarikat Rugi RM10 Juta

2

PRN Negeri Sembilan: Kerjasama PN & BN Jadi PBN - Hamzah

3

Lesen Di Malaysia Batal, Network School Pindah Ke Kazakhstan

4

Zahid Nafi Dakwaan Pertemuan BN-PN-GPS-GRS, Tegaskan Komitmen Kepada Kerajaan Perpaduan

5

Tadbir Urus Yang Baik, Kestabilan Politik Asas Kemakmuran Negara - Sultan Nazrin 

6

Terima Rasuah RM500, Ketua Balai Digantung Tugas 

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Tadbir Urus Yang Baik, Kestabilan Politik Asas Kemakmuran Negara - Sultan Nazrin 

oleh Sophia Ahmad

Semasa 15 jam yang lalu

Diperdaya Pelaburan Palsu, Pengarah Syarikat Rugi RM10 Juta

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

3 Maut Lori Bawa Ayam Rempuh Treler Parkir Di Bahu Jalan

oleh Sophia Ahmad

Semasa 6 jam yang lalu

Berbeza Parti & Ideologi; Anwar, Zahid Tetap Tonjol Semangat Perpaduan

oleh Sophia Ahmad