KUALA LUMPUR - Kes baharu COVID-19 terus menunjukkan penurunan bagi empat hari berturut-turut apabila mencatatkan 10,002 kes semalam, berbanding 12,380 kes kelmarin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka baharu itu menjadikan jumlah kumulatif individu dijangkiti virus berkenaan kini adalah 4,256,469 kes.
Menurutnya, jumlah itu membabitkan 9,904 kes tempatan dengan 98 kes import.
“Separuh daripada jumlah jangkitan semalam, iaitu 5,495 atau 54.94 peratus membabitkan pesakit kategori 1, iaitu tidak bergejala, manakala 4,418 kes berada dalam kategori 2 atau bergejala ringan.
“Sebanyak 30 kes pula berada dalam kategori 3, manakala kategori 4 (33) dan kategori 5 (26),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, daripada 89 kes COVID-19 membabitkan kategori 3, 4 dan 5 dilaporkan semalam, 31 kes atau 34.83 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan suntikan tersebut.
Katanya, 34 kes atau 38.20 peratus sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak, manakala 24 kes atau 26.97 peratus membabitkan individu selesai mendapatkan dos penggalak.
“Selain itu, 51 kes atau 57.30 peratus adalah dalam kalangan individu berumur 60 tahun ke atas dan 60 kes atau 67.42 peratus mempunyai komorbiditi dan tiada kes membabitkan ibu hamil,” katanya.
Pada masa sama, Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 28 kematian baharu direkodkan semalam dengan tujuh kes kematian berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Jelasnya, angka baharu kematian itu menjadikan jumlah kumulatif kematian mencecah 35,127 dengan 7,415 daripadanya adalah kes BID.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kluster baharu dilaporkan semalam dan secara keseluruhan, sebanyak 6,940 kluster direkodkan di negara ini sejak pandemik berkenaan dikesan.
Ujarnya, bagi kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat ini, sebanyak 236 kes dilaporkan dengan 103 kes disahkan COVID-19, manakala133 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.
“Sebanyak 140 kes lagi membabitkan pesakit dalam ICU yang memerlukan alat bantuan pernafasan, iaitu 55 kes disahkan COVID-19 serta 85 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, terdapat 23,302 kes kes sembuh direkodkan setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada virus tersebut adalah sebanyak 4,041,723 kes. - Getaran, 4 April 2022