KUALA LUMPUR - Negara dijangka mengalami Fasa Peralihan Monsun bermula 14 Mac sehingga pertengahan Mei ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, permulaan fasa itu menandakan Monsun Timur Laut yang melanda negara sejak 3 November 2021 sudah berakhir.
Jelasnya, semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir dan lazimnya membawa hujan lebat, berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.
“Kejadian ini berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri di Pantai Barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah, selain barat serta tengah Sarawak.
“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur tidak kukuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Muhammad Helmi berkata, orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada ketika tempoh ini.
Orang ramai juga, kataya, perlu sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca dikeluarkan METMalaysia melalui laman sesawang rasmi, aplikasi mobil MyCuaca dan media sosial rasmi jabatan itu.
Mereka juga, jelasnya, boleh menghubungi hotline METMalaysia di talian 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – Getaran, 11 Mac 2022