KUALA LUMPUR - Enam negeri dan wilayah menunjukkan penggunaan kapasiti katil melebihi 50 peratus membabitkan pesakit COVID-19 bagi kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU), semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kapasiti itu membabitkan pesakit di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).
“Negeri dan wilayah itu adalah Kelantan membabitkan penggunaan kapasiti katil 79 peratus, disusuli Johor (68 peratus) dan Putrajaya (67 peratus).
“Selain itu, Kuala Lumpur (62 peratus), Selangor (57 peratus) dan Pulau Pinang (57 peratus),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, data Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penggunaan kapasiti katil bagi pesakit bukan ICU menunjukkan 12 negeri dan wilayah melepasi 50 peratus.
Katanya, Selangor dan Putrajaya, masing-masing melaporkan penggunaan kapasiti katil paling tinggi melebihi 100 peratus, iaitu 111 peratus, diikuti Kuala Lumpur (91 peratus) dan Terengganu (90 peratus).
Perlis dan Perak pula menyaksikan penggunaan kapasiti katil 89 peratus di setiap negeri, Melaka (77 peratus), Kelantan (73 peratus), Sarawak (72 peratus), Pahang dan Johor masing-masing 61 peratus, manakala Pulau Pinang (57 peratus).
“Bagi penggunaan kapasiti katil di PKRC, hanya satu negeri, iaitu Melaka menunjukkan peratusan melebihi 50 peratus, iaitu 60 peratus.
“Pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat kepada 229 pesakit dengan peratusan penggunaannya adalah 35 peratus,” katanya.
Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 2,048 pesakit COVID-19 dimasukkan ke hospital semalam, membabitkan 263 pesakit kategori 1, 1,014 (kategori 2), 248 (kategori 3), 488 (kategori 4) dan 35 (kategori 5).
Katanya, daripada 30,787 kes harian dilaporkan semalam, kes kategori 1 direkodkan adalah 10,921 kes atau 35.47 peratus, manakala 19,642 kes atau 63.80 peratus (kategori 2), 93 kes atau 0.30 peratus (kategori 3), 74 kes atau 0.24 peratus (kategori 4) dan 57 kes atau 0.19 peratus (kategori 5).
Beliau berkata, daripada 224 kes COVID-19 bagi kategori 3, 4 dan 5 yang dilaporkan semalam, 58 kes atau 25.89 peratus tidak divaksin atau belum lengkap divaksinasi.
“Sebanyak 94 kes (41.96 peratus) sudah menerima dua dos vaksin COVID-19, tetapi belum menerima dos penggalak dan 72 kes (32.14 peratus) menerima dos penggalak.
“Manakala 122 kes (54.46 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas, 96 kes (42.86 peratus) mempunyai komorbid dan dua kes (0.89 peratus) adalah ibu mengandung,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 6,869 kluster direkodkan di negara ini sejak pandemik itu melanda sehingga semalam.
“Kluster baharu direkodkan semalam adalah empat kluster. Jumlah kluster tamat adalah 6,450 kluster dan jumlah kluster aktif, 419 kluster.
“Nilai kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) direkodkan Malaysia semalam adalah 1.04,” katanya. – Getaran, 1 Mac 2022
