KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO menggesa Wisma Putra mengadakan perbincangan dengan negara ASEAN, berhubung sijil vaksin digital MySejahtera yang tidak diterima sebagai bukti imunisasi di Filipina.
Pengerusi Biro Antarabangsa Pergerakan Pemuda UMNO, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham berkata, usaha itu harus diadakan pada kadar segera bagi memastikan insiden yang dianggap sebagai diskriminasi itu, tidak berulang.
Katanya, insiden terbabit secara terang-terangan melanggar piawaian ditetapkan di peringkat antarabangsa.
“Kita berasa sangat kesal dan kecewa dengan isu sekatan dikenakan kepada 15 orang pelancong Malaysia untuk memasuki Filipina, dengan alasan sijil vaksin digital MySejahtera tidak diterima sebagai bukti vaksinasi di negara tersebut.
“Wisma Putra seharusnya mengambil langkah proaktif dengan menegaskan bahawa rakyat Malaysia juga adalah antara pelancong dibenarkan memasuki Filipina," katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, rakyat Malaysia yang mahu melancong ke sana boleh berada di negara tersebut kurang daripada 30 hari tanpa visa, seperti dinyatakan di dalam Arahan Eksekutif No 408 (s1960), malah boleh dirujuk di dalam Resolusi No 159 Inter-Agency Task Force Republic of Philippines.
"Semua sedia maklum bahawa jenis vaksin disediakan kerajaan Malaysia diiktiraf di peringkat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Pertikaian berkenaan kesahihan sijil digital vaksinasi MySejahtera adalah tidak berasas kerana ia turut diterima pakai negara maju, seperti Amerika Syarikat (AS) dan Singapura," tegasnya.
Menurut Ikmal Hazlan, kerajaan Filipina tidak seharusnya menafikan hak pelawat antarabangsa kerana sudah ditetapkan pihak mereka sendiri dan komuniti antarabangsa.
“Wisma Putra hendaklah memandang serius terhadap perkara ini dan Biro Antarabangsa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa agar isu pengiktirafan sijil vaksin ini diperhalusi dan dibincang di peringkat antarabangsa, khususnya ASEAN dengan kadar segera,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kumpulan pelancong berkenaan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquinoitu semalam, selepas pihak berkuasa Filipina tidak membenarkan mereka memasuki negara terbabit.
Insiden tersebut berlaku apabila sijil vaksinasi digital yang dipaparkan menerusi aplikasi MySejahtera tidak diterima sebagai bukti imunisasi di negara berkenaan.
Susulan keadaan, Kedutaan Besar Malaysia di Manila dilaporkan kini berada di lapangan terbang terbabit untuk membantu mereka, termasuk berurusan dengan agensi berkaitan bagi memudahkan proses kemasukan. – Getaran, 14 Februari 2022

