web statsweb stats

Berita Terkini

1 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Rosmah Masih Di Singapura, Tidak Hadir Perbicaraan

Semasa Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 02 Dec 2021 4:39PM

Rosmah Mansor - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke mahkamah pada Isnin ini untuk pendengaran rayuannya bagi membatalkan perbicaraan kes rasuahnya dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam kes tersebut.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah untuk menahan pengeluaran waran tangkap terhadap Rosmah, yang merupakan perayu dalam permohonan itu.

Hakim Hanipah berkata peguam perayu memohon perbicaraan ditangguhkan ke Isnin ini kerana perayu masih belum kembali ke Malaysia seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi melalui perintah bertarikh 15 Oktober.

Beliau berkata peguam perayu mengakui bahawa kegagalan anak guamnya untuk hadir ke mahkamah hari ini adalah tidak mematuhi perintah Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, hakim Hanipah berkata peguam bela responden (Sri Ram) telah mengemukakan bantahan terhadap kelakuan perayu yang tidak mematuhi perintah mahkamah supaya beliau kembali ke Malaysia pada 21 November dan beliau mendesak mahkamah supaya mengeluarkan waran tangkap kerana melanggar perintah mahkamah.

"Kami juga mengambil maklum penjelasan yang dikemukakan oleh peguam perayu khususnya mengenai kesilapan pihak peguam dalam menasihati perayu untuk hadir ke mahkamah hari ini. Kami juga mengambil maklum bahawa hujahan peguam perayu bahawa setakat ini perayu tidak pernah tidak hadir dalam prosiding Mahkamah Tinggi.

"Setelah mempertimbangkan sebab-sebab di atas, kami menggunakan budi bicara kami untuk menahan pengeluaran waran tangkap terhadap perayu ketika ini dan akan memberi peluang kepada perayu untuk hadir di hadapan kami seperti yang dilakukan oleh peguam perayu.

"Oleh itu, seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak, perbicaraan hari ini akan ditangguhkan kepada 6 Disember untuk sambungan perbicaraan," kata hakim itu yang bersidang bersama hakim Datuk M. Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.

Pada 15 Oktober lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Rosmah supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau ke Singapura untuk melawat anaknya, Nooryana Najwa yang dijangka melahirkan anak kedua.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan semasa membenarkan permohonan Rosmah berkata isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu mesti kembali ke Malaysia sebelum atau pada 21 November dan pasport mesti diserahkan balik kepada mahkamah sebelum atau pada 6 Disember 2021.

Terdahulu, Sri Ram memohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Rosmah kerana gagal hadir ke mahkamah hari ini dan turut meminta supaya jaminannya dibatalkan kerana melanggar perintah mahkamah.

"Kita bukan bercakap tentang kanak-kanak, kita bercakap tentang orang dewasa yang tahu apa tanggungjawab dan liabiliti mereka. Perkara di sini adalah perintah tidak dipatuhi. Jika ini kes rakyat biasa, seorang  Ahmad bin Abdul, Muniandy atau Ah Chong, pasti berbeza. Saya tidak tahu kenapa harus berbeza dengan Rosmah binti Mansor dan bukan Ahmad bin Abdul.

"Kita perlu berpandukan perintah mahkamah. Jika orang ramai akan mengabaikan perkara ini maka apa gunanya membuat perintah ini? Perintah biasa adalah waran tangkap mesti dikeluarkan dan jaminan mesti dibatalkan," katanya sambil menambah bahawa Rosmah tidak seharusnya dilayan secara berbeza daripada tertuduh lain atau orang ramai akan hilang keyakinan terhadap mahkamah.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah berkata mereka telah menulis surat kepada pejabat pendaftaran Mahkamah Rayuan untuk memaklumkan bahawa Rosmah akan kembali ke Malaysia pada 6 Disember.

Hakim Hanipah bagaimanapun mencelah dengan berkata surat itu hanya diberikan kepada panel hakim 10 minit sebelum prosiding bermula.

Peguam Datuk Jagjit Singh yang juga mewakili Rosmah berkata beliau akan bertanggungjawab sepenuhnya atas ketiadaan Rosmah dan memohon penangguhan sehingga Isnin.

Peguam itu berkata bahawa terdapat perubahan dalam rancangan perjalanan anak guamnya selepas mengambil kira Laluan Perjalanan Lengkap Vaksini (VTL) yang baru diperkenalkan.

Hakim Hanipah kemudian bertanya sama ada Rosmah telah kembali ke Malaysia, dan Jagjit menjawab bahawa anak guamnya masih di Singapura.

Rosmah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan kes rasuah beliau dalam usaha untuk bebas daripada tiga pertuduhan serta menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kes itu.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Pada 4 Oktober Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya sementara menunggu selesai rayuan beliau dalam kes sama. 

Susulan keputusan itu, Rosmah, 69, memberi keterangan sebagai saksi pembelaan di Mahkamah Tinggi pada 5 Oktober lepas. Perbicaraan dijadual disambung pada 8 Disember. - Bernama

Sorotan

1

Pengawal Keselamatan Dipenjara 8 Bulan, Denda RM50,000 Hina Agong 

2

Pertikaian Peribadi, Hubungan Cinta Jadi Punca Pembunuhan Pelajar IPTS

3

Memanipulasi Tradisi Sebagai Alat Kuasa, Siapa Sebenarnya Mengaut Untung?

4

Prosiding Kes Bapa Rogol Anak Ditangguh, Tunggu Laporan Perubatan

5

Program Mobiliti Antarabangsa Accountants UMK Beri Pendedahan Menyeluruh, Kenali Realiti Dunia Akauntan

6

PRN Johor: Mantan Menteri, Exco, Ahli Parlimen Antara 56 Calon PH

Disyorkan untuk anda

Semasa 4 minit yang lalu

5 Remaja Ditahan Bantu Siasat Kes Gangguan Seksual Terhadap Kanak-Kanak

oleh Amirah Abu Bakar

Semasa 1 hari yang lalu

Prosiding Kes Bapa Rogol Anak Ditangguh, Tunggu Laporan Perubatan

oleh Amirah Abu Bakar

Semasa 20 jam yang lalu

Pertikaian Peribadi, Hubungan Cinta Jadi Punca Pembunuhan Pelajar IPTS

oleh Sophia Ahmad

Politik 16 jam yang lalu

BN Tak Mahu Kerajaan Gabungan, Bergerak Solo Jika Menang PRN - Onn Hafiz

oleh Sophia Ahmad