Evolusi pemanis mulut menyaksikan banyak menu yang menambat selera si pencinta makanan manis.
Kalau dahulu ramai yang suka cafe hopping untuk menikmati secawan kopi bersama hidangan pemanis mulut yang pelbagai.
Semakin berbeza atau unik pemanis mulut yang diperkenalkan, semakin popular sesebuah kafe itu.
Namun kini, trend semakin berubah.
Kini, pencinta makanan tidak semestinya perlu berburu ke kafe pilihan untuk memuaskan selera tekak. Sebaliknya, anda sudah boleh memesan secara online daripada ‘cef-cef amatur’ yang tidak kurang hebatnya.
Bukan sedikit pilihan yang ada. Cuba intai laman media sosial Facebook dan Instagram, pasti ada yang menambat mata sehingga mengumpan keinginan untuk menikmatinya.
Kalau tak mahu tersilap pilih, apa kata pesan daripada senarai berikut.
Pasti anda tidak kecewa kerana pilihan yang ada ini lulus cemerlang dalam ujian rasa yang dijalankan oleh pasukan editorial GETARAN.

1) Flour Journal - @flourjournal
Pencinta makanan manis, pastikan menu daripada Flour Journal menjadi salah satu hidangan yang mesti ada cuba di hujung minggu.
Lebih-lebih lagi jika ingin meraikan teman-teman atau menyambut ulang tahun kelahiran seseorang.
Sekali rasa sudah boleh tahu Flour Journal mengunakan bahan-bahan premium untuk memastikan pelanggan tersenyum puas.
Kami di GETARAN kagum dengan kebolehan Shakilawati Abdul Rahman dalam membakar dan menghias setiap manisan yang dijual.
Belum sempat lagi menjamahnya, hati sudah tertawan. Siapa sangka seorang bekas wartawan mampu menghasilkan hidangan yang cukup membuka selera.
Kembara Flour Journal bermula pada 17 Oktober 2018, apabila Shakila sekadar suka-suka memenuhi permintaan rakan-rakan yang ingin menikmati manisan hasil ‘air tangannya’.
Kini, ia menjadi kerjaya sepenuh masa.

Antara hidangan yang mesti anda cuba ialah tart keju buah-buahan, brownies, kek keju hangus (burnt cheesecake), kek keju hangus Nuttella (Nutella burnt cheesecake), dan kek keju hangus Biscoff (Biscoff burnt cheesecake).
Kek keju hangus Nuttella setanding dengan yang ada di cafe-cafe popular. Begitu juga tart keju buah-buahan.
Sekali rasa sudah boleh tahu Flour Journal mengunakan bahan-bahan premium untuk memastikan pelanggan tersenyum puas.
Jadi tidak hairanlah mengapa ramai juga selebriti yang terpikat dengan manisan daripada Flour Journal.

2) The Cookiss Charm – @thecookisscharm
Apa yang istimewa tentang biskut ini berbanding yang ada di pasaran lain?
Kalau orang lain sibuk dengan biskut ‘berkuah’ coklat, The Cookiss Charm tampil sedikit berlainan.
Tarikan pertama yang membuatkan GETARAN mencuba biskut ini adalah kerana ia lebih enak dimakan setelah disimpan sejuk di dalam peti ais.
Biarpun begitu, sebaik sahaja ia masuk ke dalam mulut, ia mencair perlahan-lahan! Yummy!
Terdapat dalam tiga perisa iaitu chocolate chips, dark chocolate chips, dan cranberries. Setiap satu dijual pada harga RM18 (kira-kira 190 gram).

Hendak tahu siapakah gerangan pemilik resepi ini?
Tidak lain tidak bukan, dia ialah Farah Asyikin, penyanyi yang pernah popular dengan lagu ‘Tak Ingin Akhiri’ suatu ketika dahulu.
Menurut Farah, dia mula membuat biskut ini pada 2013 dan hanya suka-suka untuk dimakan bersama keluarga.
Selain itu, ia juga salah satu cara dia ‘melarikan diri' seketika daripada kemelut perkahwinan keduanya ketika itu.
“One of the things that helped me to get through every emotion during my pregnancy was baking and the smell of the freshly baked cookies,” ulas Farah Asyikin ketika dihubungi.
Tambah Farah lagi, resipi asal biskut ini dikongsi oleh ahli keluarganya, namun dia ada melakukan modifikasi untuk mendapatkan kelainan.

3) Pakcik Shuffle @pakcikshuffle.my
Ketika ada yang mencadangkan untuk GETARAN mencuba sendiri menu yang disediakan oleh Pakcik Shuffle, hati mula bertanya-tanya siapa gerangan pakcik ini?
Kenapa gunakan nama Pakcik Shuffle untuk jual makanan? Adakah kerana dia asalnya guru tarian?
Satu demi satu soalan bermain di fikiran.
Rupa-rupanya dialah 'pakcik shuffle ke sana ke sini' yang viral di media sosial ketika rakyat Malaysia terkurung di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas.
Ada empat pilihan kuih yang boleh anda tempah daripada Pakcik Shuffle. Pulut sambal, pulut manis, tako si pandan dan tako bunga telang.
Keempat-empat kuih ini mempunyai ‘paras rupa’ yang sedap mata memandang. Elok terletak bagaikan memanggil-manggil kita untuk menikmatinya.

Tentang rasa, tidak mengecewakan. Lulus cemerlang! Pulutnya lembut sekata, rasanya juga tidak terlalu manis. Begitu juga dengan adunan santan di atas kuih tako, ia secukup rasa.
Ketika dihubungi, Pakcik Shuffle berkongsi yang dia mula berniaga kuih secara online bermula pada Mei 2020.
Ada empat pilihan kuih yang boleh anda tempah daripada Pakcik Shuffle. Pulut sambal, pulut manis, tako si pandan dan tako bunga telang.
Mulanya, dia hanya menjual pulut sambal memandangkan dia seorang peminat pulut.
Kemudian, menu semakin bertambah setelah ada permintaan daripada rakan-rakan dan kenalan.
Kombo Pedas Manis (RM30) adalah yang paling popular dalam kalangan pelanggan.
Tunggulah Ramadan hadapan. Ada menu baharu yang hendak diperkenalkan oleh Pakcik Shuffle atau nama sebenarnya, Azrin Anwar Yahaya.

4) Dapur Dian - @dapurdian.my
“Dian jual kek pisang sedap!” – itu tagline yang terpampang di akaun Instagram pemilik akaun ini.
Jadi, jika anda penggemar kek pisang, pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk menempah kek pisang daripada pemilik akaun media sosial ini.
Percayalah, anda tidak akan menyesal.
Keknya gebu, padat dengan rasa pisang, mewah dengan taburan kepingan badam dan cip coklat.
Kemanisannya juga tidak terlalu menyengat. Ia secukup rasa dan boleh dimakan berulang kali dalam satu masa (bertambah-tambah).
Menurut Dian Mashitah Zainudin, dia mendapat resipi kek pisang ini daripada kelas online yang diikuti beberapa tahun dahulu.
Bagi kek pisang terdapat tiga pilihan yang boleh ditempah; kek pisang perisa asli, kek pisang coklat dan kek pisang keju.
Setiap satu berharga RM25 untuk perisa asli dan RM33 untuk perisa coklat dan keju.

Dua lagi menu popular yang mesti anda cuba dari Dapur Dian ialah kuih bakar pandan dan kuih bakar berlauk. Resipi keluarga ini cukup memikat selera.
Kuih bakar pandan memiliki aroma dan rasa pandan yang memuaskan hati.
Begitu juga dengan kuih bakar berlauk, mewah dengan potongan daging dan lembut. Kuih bakar ini dijual dalam beberapa kombinasi dan harganya bermula daripada RM23.
Diharapkan perkongsian ini memberi idea untuk anda memilih pemanis mulut yang ingin dicuba dalam waktu terdekat ini.
Sesekali tiada salahnya memberi peluang kepada cef amatur untuk memuaskan selera anda. - Getaran, 15 Mac 2021
Gambar: Instagram Flour Journal dan The Cookiss Charm & Unsplash