Pelakon Hollywood, Hayden Panettiere, yang terkenal menerusi wataknya dalam siri televisyen Heroes dan Nashville, dilaporkan meninggal dunia.
Mendiang berusia 36 tahun.
Berita kematian Panettiere disahkan wakilnya kepada The Guardian pada malam Ahad, selepas ia terlebih dahulu dilaporkan rangkaian televisyen Amerika Syarikat, ABC News.
Bagaimanapun, punca kematiannya masih belum didedahkan.
Dalam satu kenyataan, bapa aktres itu, Skip Panettiere, menyifatkan pemergian anaknya sebagai kehilangan yang amat memilukan.
“Dengan penuh kesedihan, kami berkongsi berita mengenai pemergian tragis Hayden yang amat kami sayangi.
“Dia adalah insan luar biasa, penuh cahaya dan memiliki jiwa yang begitu kuat, selain mencurahkan kasih sayang serta kegembiraan yang tidak terhingga kepada semua yang mengenalinya dan jutaan peminat yang menyaksikan lakonannya,” katanya.
Skip turut meminta ruang dan privasi diberikan kepada keluarga kerana mereka masih berusaha menerima hakikat kematian mendiang, yang disifatkannya sebagai sesuatu yang sukar dipercayai.
Dilahirkan pada 1989, Panettiere memulakan kerjaya sebagai pelakon sejak masih bayi, ketika berusia hanya 11 bulan menerusi sebuah iklan permainan.
Dia kemudian membuat penampilan sulung di layar perak pada usia sembilan tahun sebagai pengisi suara watak Dot dalam filem animasi A Bug’s Life.
Pada 2000, Panettiere membintangi filem Remember the Titans, sebelum memperoleh watak utama pertamanya pada 2004 menerusi filem Tiger Cruise terbitan Disney Channel, sebagai anak kepada watak yang dilakonkan Bill Pullman.
Namanya mula melonjak ketika usia remaja menerusi siri popular Heroes, apabila dia membawakan watak Claire Bennet, seorang ahli kumpulan sorak yang memiliki kuasa untuk pulih daripada kecederaan.
Siri berkenaan, yang cukup dikenali dengan slogan save the cheerleader, save the world, mencetuskan fenomena global dan ditayangkan selama empat musim dari 2006 hingga 2010.
Panettiere turut menerima dua pencalonan Anugerah Golden Globe hasil lakonannya sebagai Juliette Barnes, bintang muzik country yang berdepan pelbagai konflik dalam siri Nashville.
Selain televisyen, dia turut mencipta nama dalam francais seram Screammenerusi watak Kirby Reed dalam Scream 4 pada 2011 dan kembali menghidupkan watak sama dalam Scream 6 pada 2023.
Panettiere melahirkan seorang anak perempuan, Kaya Klitschko, pada 2014 hasil hubungannya dengan bekas tunang, juara tinju heavyweight Ukraine, Wladimir Klitschko.
Pada 2018, Panettiere menyerahkan hak penjagaan penuh kepada Klitschko bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada proses pemulihan daripada kemurungan selepas bersalin serta masalah penyalahgunaan dadah dan alkohol.
Dalam satu wawancara pada 2022, Panettiere secara terbuka menceritakan perjuangannya berdepan masalah ketagihan dan kemurungan selepas bersalin.
“Saya sendiri tidak tahu di mana masalah alkohol itu berakhir dan di mana kemurungan selepas bersalin bermula. Saya benar-benar memaksa diri sehingga terlalu penat,” katanya.
Awal tahun ini, Panettiere turut menerbitkan memoir bertajuk This Is Me: A Reckoning, yang mengupas secara terbuka perjalanan hidupnya, termasuk tekanan menjadi terkenal sejak kecil, pengalaman berdepan kemurungan selepas bersalin, masalah ketagihan serta proses pemulihan yang dilaluinya.
Pemergian Panettiere berlaku tiga tahun selepas adiknya, Jansen Panettiere, meninggal dunia secara mengejut pada usia 28 tahun.
Jansen meninggal dunia pada 2023 akibat kardiomegali, iaitu keadaan jantung yang membesar, selain komplikasi berkaitan injap aorta. - Getaran, 17 Ogos 2026