Cinta tidak mengenal usia! Menyentuh tentang hal ini, hubungan cinta di antara aktor kacak, Lee Do Hyun dengan bekas pelakon gandingannya dalam siri ‘The Glory’ iaitu Lim Ji Yeon bukanlah menjadi suatu rahsia lagi.
Bahkan, ia juga pantas menarik perhatian netizen kerana Lim Ji Yeon lebih tua lima tahun daripadanya. Lee Do Hyun dilahirkan pada tahun 1995, manakala Lim Ji Yeon pula lahir pada 1990.
Namun, Lee Do Hyun mengakui bahawa dia sama sekali tidak berasa janggal dengan jarak perbezaan usianya itu dengan Lim Ji Yeon.

“Saya senang berbual dengannya. Bahkan, setiap kali berbual saya hanya menggunakan panggilan namanya sahaja. Tidak ada gelaran khas apa-apa. Malah, kami juga tidak menggunakan panggilan manja,” katanya.
Lee Do Hyun juga menjelaskan bahawa dia mula menjalinkan hubungan yang serius dengan Lim Ji Yeon pada April yang lalu.
“Kami bermula sebagai rakan pelakon dan selepas itu berusaha untuk mengenali antara satu-sama lain dengan perasaan yang baik,” katanya.

Lee Do Hyun mendedahkan perkara itu sewaktu diwawancara JTBC mengenai kejayaan siri drama lakonannya, ‘The Good Bad Mother’ usai episod akhirnya, baru-baru ini.
Dalam siri drama tersebut, Lee Do Hyun telah membawakan peranan sebagai seorang pendakwa raya pelakon memainkan watak pendakwa raya yang berhati dingin tetapi mahu berbakti kepada ibunya.
Lakonannya di dalam siri drama tersebut mendapat pujian penonton dan rata-rata menyifatkan bahawa melakonkan wataknya dengan sempurna.
Ditanya tentang perbezaan wataknya dengan keperibadian dirinya yang sebenar, Lee Do Hyun menjawab:
“Saya rasa Kang Ho lebih penyayang, memandangkan bagaimana dia mahu membalas kasih sayang yang diberikan kepadanya oleh Mijoo (salah satu watak dalam ‘The Good Bad Mother’) dan bagaimana penampilannya yang dipenuhi aegyo (stail ala-ala cute) serupa dengan saya (dalam kehidupan sebenar) tetapi merupakan versi yang dinaik taraf. Saya fikir mereka serupa tetapi berbeza,” jelasnya.
Lee Do Hyun juga mendedahkan berita tentang hubungan cintanya dengan Lim Yin Jeon mula diketahui saat dia menjayakan penggambaran ‘The Good Bad Mother’.
“Selepas tersebarnya hubungan saya dengan Lim Ji Yeon menerusi media, saya cepat-cepat memohon maaf kepada seluruh tim produksi ‘The Good Bad Mother’.
“Saya bimbang kisah peribadi saya itu nanti akan memberikan kesan dan impak yang negatif terhadap siri drama tersebut.
“Tetapi, baik pengarah, penulis skrip mahu pun seluruh pelakon, mereka amat memahaminya dan memberitahu bahawa itu adalah satu perkara yang normal bagi orang muda untuk bercinta.
“Saya juga gembira apabila penonton terhibur dengan drama ini dan juga lakonan saya. Ia membuatkan saya mahu menjadi aktor yang lebih baik lagi di masa akan datang,” katanya.
Apabila ditanyakan sama ada, Lim Ji Yeon sudah menonton lakonannya dalam siri drama tersebut, Lee Do Hyun berkata, dia tidak mahu membebankan kekasihnya itu yang mempunyai jadual yang sibuk dan padat.
“Saya memang ada meminta dia untuk menonton, tapi dia juga sibuk dengan syuting. Jadi saya tidak bertanya lagi apakah dia sudah menontonnya atau tidak tidak.
“Tapi, dia tahu bila siri drama itu selesai penggambaran dan apabila episod terakhirnya berakhir, dia beritahu saya: “Tahniah atas kejayaan siri drama tersebut. Kamu telah melakukannya dengan baik sekali”.
Lee Do Hyun kini dalam persiapan untuk perkhidmatan ketenteraan yang diwajibkan ke atas dirinya dan mungkin akan mendaftarkan namanya menjelang akhir tahun ini.
Mengenai kemungkinan tempoh perkhidmatan ketenteraan itu akan menjejaskan hubungannya dengan Lim Ji Yeon, Lee Do Hyun mengulas: “Dia menyedari akan hal tersebut. Kami sedaya upaya akan melakukan yang terbaik dalam hubungan kami ini.
“Secara peribadi, saya percaya khidmat ketenteraan yang perlu saya jalani ini sama sekali tidak akan menjejaskan hubungan kami. Tapi, saya tidak tahu bagaimana pula pemikirannya tentang hal ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, susulan kejayaan 'The Glory', Lim Ji Yeon mula terlibat dengan projek siri baharu bergenre thriller, ‘Lies Hidden in My Garden’ yang dijangka akan ditayangkan pada 19 Jun ini. – Getaran, 14 Jun 2023